“Eh, jomlah jalan-jalan!” Ayat ni memang senang sebut, tapi bila tengok baki akaun bank, terus rasa macam nak menangis, kan?
Ramai antara kita (terutama yang baru mula kerja atau tengah belajar) rasa travel ni benda mewah yang perlukan simpanan beribu-ribu. Tak semestinya! Pakar kewangan sarankan anda menggunakan formula 50/30/20.
Maksudnya, peruntukkan 30% daripada gaji bersih (selepas tolak KWSP dan cukai) untuk kemahuan—termasuklah tabung travel anda.
Contohnya: Kalau gaji bersih anda adalah RM4,500, anda mempunyai RM1,350 untuk menampung perbelanjaan mengikut gaya hidup anda. Kalau anda sanggup ketepikan separuh daripada bajet kemahuan tersebut (RM675 sebulan), anda sudah mempunyai bajet yang cukup untuk melancong!
Mari kita lihat pecahan kos sebenar untuk tiga destinasi popular: Thailand, Pulau Pinang, dan Sabah.
Hujung Minggu di Pulau Pinang (3 Hari: RM750)
Pulau Pinang merupakan destinasi wajib untuk foodie. Berikut adalah kos yang anda perlukan jika anda dari Kuala Lumpur:
- Pengangkutan: RM80 (Bas pergi-balik) atau RM200 (Kapal terbang). Tip: Anda boleh jimat RM120 dengan menaiki bas—boleh buat makan Nasi Kandar!
- Penginapan: RM150 (Hotel bajet/Airbnb, RM75 semalam x 2 malam).
- Makan-makan: RM180 (RM60 sehari). Char Kuey Teow dalam RM8, Nasi Kandar dalam RM10 hingga RM15.
- Aktiviti: RM120 (Penang Hill, tokong, atau melawat Street Art).
- Transport Lokal: RM100 (Grab sekitar George Town).
Jangka masa simpanan: Kalau anda menyimpan RM675 sebulan, anda cuma perlukan sebulan lebih sahaja untuk pergi ke Pulau Pinang dengan kapal terbang!
Pengembaraan di Thailand (7 Hari: RM3,500)
Thailand adalah “syurga” bajet. Tetapi, anda mempunyai pilihan untuk mengembara secara backpacking atau mewah sedikit jika anda mempunyai lebihan bajet.
- Penerbangan: RM300 (KL ke Bangkok pergi-balik, kena buat tempahan 2 hingga 3 bulan awal!).
- Penginapan: RM1,380 (Hotel bajet, RM230 semalam x 6 malam). Jika anda berkongsi dengan kawan, kos tersebut jadi separuh!
- Makan-makan: RM630 (RM90 sehari). Street food RM8 hingga RM15, kalau kafe atau restoran RM30 hingga RM60.
- Pengangkutan: RM500 (Pengangkutan lapangan terbang RM120, Grab atau Bangkok BTS RM200, penerbangan domestik ke Chiang Mai RM175, pengangkutan Chiang Mai RM55).
- Aktiviti: RM600 (Lawatan ke tokong, kelas memasak RM250 hingga RM300, atau melawat pusat konservasi gajah RM200 hingga RM250).
Jangka masa simpanan: Dengan simpanan RM675 sebulan, anda memerlukan tempoh masa dalam 5 hingga 6 bulan untuk mengumpul RM3,500.
Bagi pemegang pasport Malaysia, anda tidak memerlukan visa untuk melancong di Thailand kurang daripada 60 hari. Tetapi, anda haruslah memastikan pasport masih aktif sekurang-kurangnya 6 bulan sebelum tarikh anda ke sana. Bermula 1 Mei 2025, anda diwajibkan untuk mengisi Thailand Digital Arrival Card (TDAC) secara dalam talian dalam tempoh 3 hari sebelum sampai. Jangan lupa! Kalau tidak, anda akan sangkut pula di imigresen!
Terokai Alam Semulajadi di Sabah (10 Hari: RM4,550)
Bercuti di Sabah adalah lebih mahal sedikit disebabkan oleh faktor geografi, tetapi pengalaman di sana memang tiada lawannya.
- Penerbangan: RM350 (KL ke Kota Kinabalu). Kena tempah tiket penerbangan lebih awal jika anda tidak mahu dikenakan harga puncak sebanyak RM400+.
- Penginapan: RM1,350 (Hotel bajet dalam RM80 hingga RM120, dan eco-lodge RM150 hingga RM250, purata RM150 semalam untuk 9 malam).
- Makan-makan: RM1,000 (RM100 sehari, kedai penjaja sekitar RM12 hingga RM20, atau restoran dalam RM40 hingga RM80).
- Pengangkutan: RM700 (Penerbangan domestik dalam Sabah RM100 hingga RM200, Sewa kereta, bot, dan sewa kereta).
- Aktiviti: RM1,150 (River cruise Kinabatangan RM300 hingga RM400, menyelam di Semporna RM150 hingga RM300, island hopping RM100 hingga RM200, melawat pusat perlindungan hidupan liar RM250 hingga RM350).
Jangka masa simpanan: Anda memerlukan sekitar 7 bulan (simpan RM675/sebulan) untuk bercuti ke Sabah.
Apa Yang Anda Wajib Tahu Sebelum Membuat Tempahan
Insurans perjalanan (travel insurance) adalah tidak wajib tetapi anda disyorkan untuk mengambilnya. Malang tidak berbau, kan? Sebelum anda membayar insurans secara asing, semak dahulu kad kredit anda. Pelbagai kad kredit premium sebenarnya sudah menawarkan perlindungan insurans secara percuma kalau anda menggunakan kad tersebut untuk menempah tiket penerbangan.
Jika anda terpaksa membeli secara berasingan, kos kebiasaan untuk percutian seminggu di Asia Tenggara adalah dalam RM30 ke RM50 sahaja. Insurans ini adalah penting kerana ia memberikan perlindungan untuk kes kecemasan perubatan, pembatalan perjalanan, atau kehilangan bagasi. Tip dari pakar: cari polisi yang memberikan anda perlindungan perubatan sekurang-kurangnya RM300,000.
Makanan halal dan vegetarian juga adalah sangat senang untuk dijumpai di Thailand. Dengan komuniti Muslim hampir 8 juta orang, negara tersebut dipenuhi dengan restoran yang mempunyai sijil halal, terutamanya di Bangkok, Chiang Mai, dan kawasan selatan. Anda cuma perlu mencari tanda halal yang dipamerkan di hadapan kedai tersebut.
Kalau anda seorang vegetarian pula, terdapat pelbagai kafe trendy di sekitar Chiang Mai atau pun di street food market sekitar Bangkok.
Tip Untuk Melancong Dengan Kos Lebih Murah

- Perancangan dari segi masa adalah kunci sebenar: Perbezaan harga tiket RM300 dengan RM150 itu bukanlah nasib, tetapi ia adalah kerana faktor masa. AirAsia atau Firefly selalunya menawarkan harga termurah dalam tempoh tiga ke enam bulan sebelum tarikh pelepasan. Jangan tunggu last minute!
- Berlepas pada waktu hari bekerja: Kalau anda perasan, tiket penerbangan dari KL ke Kota Kinabalu pada hari Selasa atau Khamis selalunya 15% hingga 20% lebih murah berbanding hari Ahad. Anda boleh menggunakan taktik yang sama jika nak melancong ke Bangkok!
- Guna kad kredit pulangan tunai semasa tempah: Cari kad yang menawarkan pulangan tunai dalam 5% ke 8% untuk perbelanjaan dalam talian. Cara tersebut secara tidak langsung dapat mengurangkan kos sebenar hotel dan tiket penerbangan anda.
- Kongsi kos penginapan: Bila melancong dengan kawan atau pasangan, kos tempat tinggal automatik akan jadi separuh. Bayangkan bilik hotel anda berharga RM150 untuk satu malam, tetapi seorang hanya perlu bayar RM75 sahaja. Jadi, anda masih boleh tidur selesa walaupun bajet macam backpacker!
- Elak musim puncak kalau boleh: Bulan Disember hingga Februari adalah waktu paling sibuk di mana-mana sahaja. Harga hotel dengan penerbangan boleh melambung sampai 30% ke 50%! Kalau nak cuaca cantik dengan harga berpatutan, kami galakkan anda berlepas sekitar April hingga Mei atau September hingga Oktober. Jadi tak perlulah menghadap musim hujan monsun, dan tidaklah terlalu mahal seperti musim cuti.
- Beli tiket pergi-balik secara berasingan: Kadang-kadang, tempah dua tiket sehala (one-way) guna syarikat penerbangan tambang murah adalah jauh lebih jimat daripada anda membeli terus tiket pulang. Bandingkan dahulu dua-dua pilihan tersebut sebelum anda menekan butang bayar!
Waktu Bercuti Yang Sesuai Untuk Harga Berpatutan
Ini ringkasan bila anda patut pergi dan waktu yang patut anda elak:
| Destinasi | Waktu Paling Sesuai | Waktu Yang Perlu Dielak (Mahal!) |
| Thailand | Mei hingga Oktober (Musim hujan tetapi murah), November (Cuaca cantik sebelum musim puncak) | Januari (Paling mahal), Disember hingga Februari |
| Sabah | Mac hingga April, Oktober hingga November | Jun hingga September (Harga boleh meningkat 30% sehingga 40%) |
| Penang | Bila-bila masa (Harga tidak banyak berubah) | Tahun Baru Cina, cuti umum besar |
| Secara Am | April hingga Mei, September hingga Oktober | Disember hingga Februari, cuti sekolah (20% sehingga 30% lagi mahal) |
Harga mengikut musim boleh memberi kesan besar pada bajet anda. Kalau anda mahu berjimat beratus-ratus ringgit untuk destinasi yang sama, anda kena tahu bila nak membuat tempahan.
Mulakan Tabung Simpanan Percutian Anda Dengan Jumlah RM675 Sebulan Je!
Ramai rakyat Malaysia tidak jadi nak melancong ke Thailand atau buat pengembaraan ke Sabah kerana mereka tidak tahu berapa banyak sebenarnya kena simpan. Tetapi sekarang anda sudah tahu, kan? Kalau anda mempunyai bajet sekitar RM1,350 untuk kemahuan anda setiap bulan, anda cuma perlu ketepikan separuh sahaja (RM675) dari jumlah tersebut sebagai simpanan percutian. Dengan cara ini, anda boleh ke Pulau Pinang dalam masa kurang dari dua bulan, atau ke Thailand dalam masa empat bulan sahaja!
Kalau anda terasa terbeban dengan jumlah RM675 tersebut, jangan risau—mulakan dengan RM300 sebulan. Walaupun ia akan mengambil masa lebih lama sedikit (contohnya 2.5 sebulan untuk ke Pulau Pinang, atau 10 bulan untuk ke Thailand), prinsipnya tetap sama. Pilih satu destinasi, tetapkan jumlah simpanan bulanan yang realistik, dan tengok simpanan percutian anda makin bertambah.
Kami sarankan anda bermula dengan percutian ringkas yang buat anda teruja. Bila dah capai target simpanan tu, terus buat tempahan! Lepas anda sudah berjaya buat sekali, anda mesti akan rasa lebih bersemangat untuk menyimpan untuk pengembaraan yang lebih besar pula.
Nak tabung bercuti anda bertambah dengan lebih cepat? Cuba bandingkan akaun simpanan faedah tinggi supaya duit anda “bekerja” lebih keras, atau bandingkan kad kredit pulangan tunai yang boleh mengurangkan kos perjalanan anda melalui ganjaran dan rebat.
Jangan lupa ikuti kami di saluran WhatsApp rasmi untuk tips kewangan dan kemas kini terkini!
