Rakan Sebaya Dah Beli Rumah, Adakah Anda Rasa Ketinggalan?

KONGSI

Enam orang kenalan anda memuat naik gambar kunci rumah baharu di Instagram pada minggu lepas. Enam orang. Dalam masa satu hujung minggu saja.

Sementara itu, anda pula masih lagi bayar RM1,400 setiap bulan kepada tuan rumah. Anda kini berumur 29 tahun, sudah bekerja selama lima tahun, tapi masih belum membeli sebarang hartanah.

Malah, ibu anda pun sering bertanya soalan “Bila kamu nak beli rumah?”. Mungkin anda terfikir bagaimana rakan-rakan sebaya anda mampu untuk membeli kediaman pada usia tersebut. Secara tidak langsung, anda pun terasa seperti ketinggalan di belakang, betul tak? 

Persoalan Tentang “Bila Nak Beli Rumah?”  

Soalan ini setaraf dengan “Bila nak kahwin?” dari saudara-mara. Ia seolah-olah menjadi kayu ukur untuk tentukan jika hidup anda sudah stabil. Raya tahun lepas, mesti ada sesetengah makcik-makcik anda bertanya kenapa kita masih lagi menyewa. “Menyewa ni macam bakar duit saja,” katanya, seolah-olah itu satu pesanan mendalam yang kita tak pernah fikirkan sebelum ini.

Di Malaysia, memiliki hartanah ini ibarat bukti seseorang sudah berjaya dalam hidup. Maknanya, kita ini ‘orang dewasa’ yang sudah stabil kewangannya. Menyewa? Itu katanya cuma satu fasa sementara yang kita patut sudah lama tinggalkan.

Apa yang tidak ditunjuk dalam hantaran Instagram ialah duit RM80,000 yang ibu bapa kawan kita pindahkan secara diam-diam untuk bayaran pendahuluan. Ataupun macam mana mereka sekarang terpaksa belanja separuh daripada gaji untuk bayar ansuran bulanan bank. Kita cuma nampak hasil akhirnya saja dan rasa macam kita seorang saja yang masih belum nampak ‘jalan’ untuk membeli rumah lagi.

Realiti Sebenar Dalam Membeli Rumah Pertama

Disebabkan ramai kenalan anda sudah membeli rumah, anda pun mula untuk menyemak senarai hartanah dan slip gaji, mana tahu ada peluang untuk beli rumah juga. 

Situasi AndaJumlah
Gaji bulanan RM3,500
Simpanan semasaRM35,000 (selepas 5 tahun bekerja)
Harga purata hartanah (Malaysia)RM486,678
Harga purata hartanah (untuk perumahan jenis kondominium di KL)RM600,000
Bayaran pendahuluan (10% dari RM600,000)RM60,000 sehingga RM70,000 (termasuk kos guaman, duti setem, dan lain-lain)
Ansuran bulanan (Pinjaman RM540,000, 35 tahun, ~4.3% p.a.)RM2,400 sehingga RM2,500
Realiti jika anda beli rumah sekarang69% sehingga 71% daripada pendapatan anda

*Nota: Ansuran bulanan adalah berdasarkan kadar faedah 4.5% dan tempoh pinjaman 35 tahun untuk pinjaman RM540,000 selepas deposit 10% bagi hartanah RM600,000. Kadar mungkin berbeza mengikut bank, jenis pinjaman, dan profil kewangan anda.

Bila ansuran bulanan mencecah RM2,400, ia bermakna 70% daripada pendapatan anda akan habis untuk bayaran rumah sahaja. Bank Negara Malaysia (BNM) sudah nasihatkan untuk pastikan jumlah bayaran hutang bawah 60% daripada gaji bersih dan ada sebab kenapa garis panduan itu diberikan. Kalau tak, anda akan jadi terlalu ‘sesak’ sampai tak ada simpanan langsung untuk kegunaan kecemasan, bil perubatan, atau apa-apa saja.

Apa yang Rakan-Rakan Anda Cerita

Kalau anda ada masa, cuba tanya kepada kawan-kawan anda macam mana mereka uruskan pembelian hartanah masing-masing. Jawapan mereka mesti agak mengejutkan.

Ada yang beli rumah harga RM400,000 dan kena bayar lebih kurang RM1,900 setiap bulan untuk 35 tahun akan datang. Itu belum kira yuran penyelenggaraan, cukai tanah, dan bil utiliti. Bulan lepas pula terpaksa tolak jemputan kenduri kahwin di Pulau Pinang sebab lepas bayar pinjaman rumah, dia sudah tidak mampu nak bayar duit minyak dan hotel.

Seorang lagi kawan anda membeli rumah ‘landed‘ dan menghabiskan RM15,000 dalam setahun untuk kos yang tidak dijangka. Tiba-tiba pendingin hawa rosak (RM3,500), bumbung bocor (RM6,000), masalah anai-anai (RM2,000) dan sebagainya. 

Selain itu, ramai juga individu yang membeli rumah di kawasan Semenyih atau Rawang sebab itu saja yang harga rumah yang mampu dimiliki. Tapi sekarang, mereka habiskan masa tiga jam setiap hari menghadap kesesakan jalan raya untuk ulang-alik dari tempat kerja. Seorang lagi rakan sekerja mengaku yang dia ‘kaya rumah’ tapi ‘miskin tunai’. Lepas tolak bayaran bank, baki duit dia tak sampai RM500 sebulan.

Tapi, ada juga seorang lagi kenalan yang membeli pangsapuri kecil di Cheras tiga tahun lepas. Bila anda tanya macam mana dia uruskan kewangan, dia tunjuk ‘spreadsheet‘ yang dia buat. Dia letak deposit sebanyak 20%, bukan 10%. Sebab itulah bayaran bulanan dia perlu bayar jadi lebih rendah. Dia ambil masa berbulan-bulan untuk bandingkan kadar faedah pinjaman antara bank. Dia juga ada simpanan kecemasan yang diasingkan sepenuhnya daripada simpanan rumah. Bayaran bulanan dia cuma 28% daripada pendapatan anda.

Menyewa Bukanlah Bermakna Anda ‘Membakar’ Duit

Sewa RM1,400 sebulan membolehkan anda tinggal di Bangsar iaitu kawasan yang anda memang suka berbanding jika membeli rumah murah di kawasan yang anda kurang gemar. Menyewa memberi anda fleksibiliti jika ada peluang yang lebih baik di tempat lain. Ia tidak mengunci anda dengan hutang selama 35 tahun, sedangkan anda sendiri tidak pasti di mana anda akan berada dalam masa lima tahun lagi.

Ada juga rakan-rakan yang sudah stabil kewangannya dalam usia 40-an yang masih menyewa. Mereka memilih untuk membina tabung kecemasan dan melabur dalam kerjaya mereka terlebih dahulu sebelum komited dengan hutang hartanah. Ini adalah pilihan yang bijak sebenarnya.

Di Mana Anda Berada Sekarang

Buat masa ini, anda sedang membina tabung kecemasan dan fokus untuk meningkatkan pendapatan. Simpanan RM35,000 yang anda ada sekarang belum mencukupi untuk bayaran pendahuluan di kawasan yang anda benar-benar ingin mendiami. Walaupun anda berjaya mengumpul RM60,000 sekalipun, anda tak akan mempunyai sebarang baki simpanan jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini.

Anda juga belum pasti di mana anda akan berada dalam masa lima tahun lagi. Mungkin anda ingin menyambung pengajian ke peringkat Sarjana. Mungkin peluang kerjaya yang lebih baik dalam industri anda akan muncul di bandar lain. Mengikat diri anda dengan komitmen hartanah ketika hala tuju kerjaya belum tetap adalah sesuatu yang perlu difikirkan semula.

Kalau dilihat semula, tiada pun tarikh akhir untuk membeli hartanah. Anda bukannya akan kehilangan ‘mata merit’ hanya kerana membeli rumah pertama pada usia 35 tahun dan bukannya 28 tahun. Kunci rumah itu tetap akan ada di sana apabila anda sudah benar-benar bersedia.

Jika anda salah seorang yang rasa tekanan yang sama tentang pembelian hartanah, cuba kongsikan cerita anda di ruangan komen.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tips kewangan dan kemaskini terkini.

5 1 vote
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments