Bil TNB Naik Selepas Pasang Meter Pintar? Ini Penjelasan Yang Anda Perlu Tahu

KONGSI

TNB telah memasang meter pintar di seluruh Semenanjung Malaysia dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Namun segelintir isi rumah mendapati bahawa bil elektrik mereka adalah lebih tinggi daripada sebelum menggunakan meter pintar yang dipasang oleh TNB.

Sehingga akhir tahun 2025, lebih daripada 5 juta meter pintar telah dipasang, dengan sasaran 10.4 juta rumah menjelang 2028. Bagi sesetengah isi rumah, bil pertama selepas pemasangan ibarat memberi kejutan. Ia secara tidak langsung telah menimbul persoalan adakah meter pintar ini menjadi punca mengapa elektrik menjadi lebih mahal?

Perbezaan Antara Meter Pintar Dan Meter Lama

Dalam sistem lama, meter elektrik dibaca secara manual. Seorang petugas TNB akan datang sebulan sekali dan mencatat angka yang terpapar pada meter. Jika akses terhalang, TNB akan mengeluarkan bil anggaran berdasarkan penggunaan lalu dan melaraskannya kemudian apabila bacaan sebenar dapat diambil. Kaedah ini kerap dilakukan semasa tempoh PKP, apabila banyak isi rumah tidak mendapat bacaan meter fizikal selama berbulan-bulan.

Walau bagaimanapun, kewujudan meter pintar telah menghapuskan cara bacaan manual sepenuhnya. Ia merekod penggunaan elektrik secara automatik dan menghantar data kepada TNB pada selang waktu tertentu melalui komunikasi frekuensi radio. Maklumat yang sama turut tersedia kepada pengguna melalui aplikasi myTNB, jadi anda boleh memantau penggunaan elektrik secara sendiri tanpa perlu menunggu bil bulanan.

Malaysia merupakan negara pertama di Asia Tenggara yang melaksanakan pemasangan meter pintar secara nasional. Pemasangan adalah percuma dan TNB biasanya menghantar surat pemberitahuan kira-kira sebulan sebelum kerja penukaran dilakukan. Anda boleh menyemak sama ada kawasan kejiranan anda tersenarai untuk jadual pemasangan di laman meter pintar TNB.

Kenapa Bil Elektrik Naik Selepas Pemasangan Meter Pintar

Apabila bil elektrik meningkat selepas pemasangan meter pintar, ada sesetengah pihak yang mendakwa meter tersebut mengenakan caj lebih tinggi. Namun kenyataan tersebut kurang meyakinkan kerana meter pintar sebenarnya membuat pengiraan lebih tepat di mana ia mencatatkan penggunaan sebenar berbanding anggaran yang dibaca secara manual. 

Dengan meter lama, jika penggunaan sebenar melebihi anggaran, jurang itu mungkin tidak akan kelihatan selagi caj masih berdasarkan anggaran.

Dalam terma Ringgit, sebuah isi rumah yang sebenarnya menggunakan elektrik bernilai RM220 sebulan tetapi menerima bil berdasarkan anggaran sekitar RM180 mungkin tidak akan menyedari perbezaan itu. 

Apabila bacaan meter pintar menggantikan kaedah anggaran yang digunakan, lonjakan daripada RM180 kepada RM220 berkemungkinan akan terasa lebih mendadak, walaupun ia hanya mencerminkan penggunaan sebenar. 

Perkara ini kerap berlaku seiring perubahan lain yang mempengaruhi penggunaan seperti cuaca yang lebih panas menyebabkan penghawa dingin digunakan untuk tempoh yang lebih lama, lebih banyak masa bekerja dari rumah, atau peralatan baharu yang menolak penggunaan ke peringkat bayaran yang lebih tinggi.

Fahami Caj Elektrik Anda

Sejak 1 Julai 2025, TNB telah menyusun semula caj elektrik domestik. Berbanding sistem blok lima peringkat yang lama, bil kini terdiri daripada beberapa komponen yang dikenakan mengikut tahap penggunaan. Berikut adalah ringkasan caj utama.

KomponenKadar
Caj tenaga (1,500 kWh pertama)27.03 sen/kWh
Caj tenaga (melebihi 1,500 kWh)37.03 sen/kWh
Caj kapasiti4.55 sen/kWh
Caj rangkaian12.85 sen/kWh
Caj runcitRM10/bulan (dikecualikan jika penggunaan 600 kWh ke bawah)

Secara keseluruhan, isi rumah yang menggunakan sehingga 1,500 kWh sebulan membayar kira-kira 44.43 sen setiap kWh sebelum pelarasan bahan api, rebat, atau cukai.

Bil turut dipengaruhi oleh Pelarasan Bahan Api Automatik (Automatic Fuel Adjustment atau AFA), yang menggantikan surcharge ICPT sebelum ini. AFA dilaraskan setiap bulan berdasarkan harga bahan api global dan dihadkan pada tambah atau tolak 3 sen setiap kWh. Isi rumah yang menggunakan 600 kWh atau kurang sebulan dilindungi sepenuhnya daripada sebarang surcaj AFA.

Secara praktikal, isi rumah yang menggunakan 500 kWh sebulan akan membayar kira-kira RM222 dalam caj gabungan, dengan caj runcit RM10 dikecualikan. Isi rumah yang menggunakan 900 kWh pula akan membayar lebih kurang RM400 sebelum sebarang rebat.

Rebat Untuk Penggunaan Elektrik Sederhana

Rebat Insentif Kecekapan Tenaga (Energy Efficiency Incentive) terpakai kepada pengguna domestik yang menggunakan 1,000 kWh atau kurang sebulan. Bergantung pada penggunaan, rebat ini boleh mengurangkan caj tenaga sehingga 25 sen setiap kWh.

TNB menganggarkan kira-kira 85% isi rumah akan membayar jumlah yang sama atau lebih rendah di bawah struktur tarif baharu, terutamanya mereka yang mengekalkan penggunaan bulanan di bawah 1,000 kWh.

Bagi isi rumah yang ingin gambaran lebih jelas, kalkulator bil elektrik TNB membolehkan anda menganggarkan caj berdasarkan penggunaan sendiri.

Cara Meter Pintar Bantu Anda Menguruskan Kos

Meter pintar tidak akan menurunkan bil elektrik anda secara automatik. Nilainya terletak pada kemampuannya dalam memberikan gambaran yang lebih jelas tentang berapa banyak elektrik yang anda gunakan, dan bila anda menggunakannya.

Melalui aplikasi myTNB, pengguna boleh memantau penggunaan harian, membandingkan penggunaan dari bulan ke bulan dan mengesan lonjakan yang luar biasa. Ini dapat memudahkan anda mengenal pasti tabiat atau peralatan yang menaikkan kos secara tersembunyi.

Jika penggunaan harian melonjak secara tiba-tiba, ia mungkin disebabkan suhu penghawa dingin yang terlalu rendah atau peralatan lama yang menarik lebih banyak kuasa daripada yang dijangka. Corak ini sukar dikesan daripada bil bulanan semata-mata.

Meter pintar juga membolehkan isi rumah mendaftar untuk tarif Masa-Penggunaan TNB (Time-of-Use atau ToU), yang tersedia kepada pengguna kediaman sejak 1 Julai 2025. Di bawah skim ini, elektrik lebih murah semasa waktu luar puncak dan sedikit lebih mahal semasa waktu puncak pada hari bekerja.

Waktu luar puncak terpakai sebelum pukul 2 petang dan selepas pukul 10 malam pada hari bekerja, serta sepanjang hari pada hujung minggu. Bagi isi rumah yang menggunakan di bawah 1,500 kWh sebulan, kadar tenaga luar puncak ialah 24.43 sen setiap kWh, berbanding 27.03 sen di bawah tarif standard.

Kos tenaga semasa waktu puncak meningkat kepada 28.52 sen setiap kWh. Dengan cara mengalihkan kira-kira 400 kWh penggunaan ke waktu luar puncak boleh menjimatkan lebih kurang RM10.40 sebulan. Jumlahnya memang tidak besar, namun bagi isi rumah yang rutinnya berada di luar waktu puncak, ia tetap memberikan penjimatan kecil dan secara tidak langsung dapat meringankan sedikit beban bil bulanan.

Sehingga akhir 2025, lebih daripada 70,000 isi rumah telah mendaftar untuk tarif ToU. Permohonan boleh dibuat melalui aplikasi myTNB, laman web myTNB, atau di cawangan Kedai Tenaga.

Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Bil TNB Masih Tidak Memaparkan Nilai Sebenar

Jika penggunaan elektrik anda tidak berubah tetapi bil meningkat dengan ketara selepas pemasangan meter pintar, anda dinasihatkan untuk menyemak semula.

Mulakan dengan menyemak data penggunaan dalam aplikasi myTNB. Bandingkan penggunaan harian dan bulanan dengan tempoh yang sama tahun lalu, dan ambil kira perubahan seperti peralatan baharu, unit penghawa dingin tambahan, atau lebih banyak masa dihabiskan di rumah.

Jika angka masih tidak memaparkan kos sebenar, anda boleh menghubungi CareLine TNB di 1-300-88-5454 untuk meminta pemeriksaan meter. Meter pintar diuji dan diperakui oleh SIRIM serta dikawal selia oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Walaupun kerosakan jarang berlaku, TNB tetap menjalankan semakan ketepatan dan akan melaraskan pengebilan sekiranya meter didapati rosak.

Sediakan data penggunaan anda terlebih dahulu kerana kaedah ini dapat mempercepatkan proses.

Jadi, Adakah Bil TNB Anda Akan Naik Atau Turun?

Sama ada bil naik atau turun, ia bergantung kepada seberapa tepat bacaan meter anda sebelum ini.

Bagi golongan muda yang sedang bekerja dan cuba untuk menyeimbangkan kos bayaran sewa, bayaran pinjaman, dan perbelanjaan harian, nilai sebenar meter pintar sememangnya memberi kesan terhadap komitmen bulanan.

Melihat kepada cara penggunaan hari demi hari akan memudahkan anda memahami ke mana wang anda ‘pergi’ dan bagaimana cara untuk menyesuaikan diri untuk dalam mengimbangi semula gaya hidup.

Mahu lebih banyak tips penjimatan wang? Ikuti kami di saluran WhatsApp rasmi kami untuk panduan dan kemas kini terkini.

5 1 vote
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments