Sebelum memohon pinjaman perumahan, pinjaman kereta, atau kad kredit, anda perlu tahu apa yang bank akan lihat apabila mereka menyemak sejarah kredit anda. Di Malaysia, pemberi pinjaman bergantung pada laporan CCRIS (Central Credit Reference Information System) yang diuruskan oleh Bank Negara Malaysia.
Dengan menyemak laporan CCRIS, anda dapat mengesan kesilapan laporan sebelum ia menyebabkan pinjaman anda ditolak oleh pihak bank. Proses tersebut kini tidak memerlukan sebarang bayaran dan boleh dilakukan sepenuhnya secara dalam talian.
Apa Perbezaan Antara CCRIS Dan Skor Kredit?
Laporan CCRIS dan skor kredit mempunyai tujuan yang berbeza.
- Laporan CCRIS: Laporan data fakta yang diuruskan oleh Bank Negara Malaysia tanpa sebarang “skor” yang dilampirkan. Ia memaparkan sejarah pinjaman dan pembayaran balik anda daripada bank sejak 12 bulan yang lalu. Termasuklah baki pinjaman tertunggak, had kredit, corak pembayaran, dan permohonan kredit baharu.
- Skor Kredit: Nombor 3 digit (300-850) yang dijana oleh Agensi Pelaporan Kredit swasta seperti CTOS dan Experian. Agensi-agensi ini mengira skor ini dengan menganalisis data CCRIS anda bersama maklumat lain daripada rekod undang-undang dan pembayaran bil utiliti.
Laporan CCRIS adalah data daripada institusi kewangan manakala skor kredit adalah gred yang diberikan oleh syarikat swasta berdasarkan data tersebut. Kebanyakan pemberi pinjaman akan menyemak kedua-dua laporan CCRIS dan skor kredit anda apabila menilai permohonan anda.
Cara Semak Laporan Online CCRIS Anda Secara Percuma
Bank Negara Malaysia menyediakan portal dalam talian yang selamat yang dipanggil eCCRIS untuk rakyat Malaysia mengakses laporan kredit mereka sendiri.
Untuk pendaftaran kali pertama, layari eccris.bnm.gov.my dan klik “Daftar Sekarang” (“Register Now”). Anda perlu mengisi maklumat peribadi anda, termasuk nama penuh, nombor MyKad, tarikh lahir, nombor telefon bimbit, dan alamat e-mel.
Sistem ini memerlukan pengesahan digital. Ia bermaksud melakukan pemindahan sekali sahaja sebanyak RM1.00 daripada akaun perbankan internet anda ke akaun Bank Negara Malaysia yang ditetapkan. Ini adalah langkah keselamatan, dan RM1 tersebut akan dikembalikan kepada anda dalam tempoh dua hari bekerja.
Selepas identiti anda disahkan, anda akan menerima Kata Laluan Sekali Sahaja (OTP) 6 digit pada nombor telefon bimbit yang didaftarkan. Kembali ke laman utama eCCRIS. Kemudian pilih “Log Masuk Kali Pertama” (“First Time Login”), kemudian masukkan nombor MyKad anda dan OTP.
Sistem akan meminta anda untuk mencipta ID Pengguna dan kata laluan kekal, serta menyediakan soalan keselamatan peribadi anda. Kemudian anda boleh mengakses laporan anda pada bila-bila masa dengan log masuk ke portal eCCRIS.
Selepas persediaan awal, anda boleh melihat, memuat turun, atau mencetak laporan CCRIS terkini anda pada bila-bila masa anda memerlukannya.
Rekod CCRIS Apakah Yang Boleh Menghalang Kelulusan Pinjaman?

Bank menyemak laporan CCRIS anda untuk melihat bagaimana anda menguruskan pembayaran balik yang sebelum ini. Laporan itu menunjukkan sejarah pembayaran anda bagi setiap pinjaman menggunakan sistem bernombor yang meliputi 12 bulan terakhir.
Angka ‘0’ bermaksud pembayaran telah dibuat tepat pada masanya. ‘1’ bermaksud tunggakan satu bulan (satu bayaran terlepas), ‘2’ bermaksud tunggakan dua bulan, dan seterusnya. Rekod yang sempurna menunjukkan ‘0’ untuk semua bulan merentasi semua akaun anda.
Bank mencari petanda amaran (red flags) yang menunjukkan anda mungkin menghadapi kesukaran dalam pembayaran balik. Sejarah pembayaran lewat akan menimbulkan kebimbangan, walaupun ia agak kecil. Satu atau dua bulan yang menunjukkan angka ‘1’ atau ‘2’ akan menjadikan pemberi pinjaman berhati-hati untuk meluluskan kredit baharu. Mana-mana rekod yang menunjukkan ‘3’ atau lebih tinggi menandakan anda telah terlepas beberapa bayaran. Ia juga memberi isyarat bahawa anda mempunyai masalah pembayaran balik yang serius.
Klasifikasi Akaun Perhatian Khas (Special Attention Account) bermakna pinjaman itu adalah pinjaman tidak berbayar (non-performing loan), biasanya kerana anda telah gagal membayar balik selama 90 hari atau lebih. Akaun di bawah program penstrukturan semula hutang seperti AKPK (Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit) juga menerima klasifikasi ini, walaupun bank selalunya melihat hutang yang distruktur semula secara lebih positif berbanding kegagalan bayaran (default) kerana ia menunjukkan anda mengambil langkah aktif untuk menyelesaikan situasi tersebut.
Pelbagai permohonan kredit juga boleh menjejaskan anda. Laporan itu menyenaraikan setiap permohonan kredit yang telah anda buat dalam tempoh 12 bulan yang lalu. Apabila bank seperti Maybank, CIMB, atau Public Bank melihat banyak permohonan dalam tempoh yang singkat, mereka mungkin mentafsir tindakan itu sebagai tingkah laku terdesak. Secara tidak langsung, ia memaparkan situasi di mana anda sedang bergelut dari segi kewangan atau melampaui kemampuan diri.
Bagaimana Cara Memperbetulkan Maklumat Yang Salah Dalam Laporan CCRIS Saya?
Jika anda mendapati sebarang kesalahan dalam laporan anda, seperti pinjaman yang telah diselesaikan masih menunjukkan baki tertunggak, anda perlu membetulkannya. Bank Negara Malaysia hanya mengumpul dan memaparkan data yang diterimanya, namun ia tidak boleh mengubah maklumat yang diserahkan oleh bank.
Untuk memperbetulkan maklumat kredit, seperti baki yang tidak betul atau status pembayaran yang salah, hubungi institusi kewangan yang melaporkan maklumat tersebut. Anda perlu berurusan dengan khidmat pelanggan atau unit aduan mereka dan memberikan bukti sokongan, seperti surat penyelesaian atau resit pembayaran. Bank perlu mengesahkan tuntutan anda dan kemudian menyerahkan data yang diperbetulkan kepada Bank Negara Malaysia.
Bagi kesilapan maklumat peribadi, seperti alamat yang salah, anda boleh menyerahkan “Permintaan Pengesahan Data” (Data Verification Request) melalui portal eCCRIS. Selepas institusi disahkan dan dibetulkan oleh institusi itu, mereka akan menghantar data yang dikemas kini kepada BNM dalam kitaran pelaporan seterusnya.
Berapa Lama Masa Diambil Untuk Hutang Yang Selesai Dibayar Ditunjukkan Dalam CCRIS?
Sistem CCRIS tidak dikemas kini dalam masa nyata (real-time). Institusi kewangan menyerahkan data mereka kepada Bank Negara Malaysia secara berperingkat. Semua institusi mesti menyediakan data terkini mereka selewat-lewatnya pada 10 hari bulan bulan berikutnya.
Jika pinjaman kereta diselesaikan sepenuhnya pada 15 Mei, bank mempunyai masa sehingga 10 Jun. Kemudian barulah bayaran tersebut akan memaparkan status “diselesaikan” pada laporan CCRIS.
Boleh Ke Kalau Saya Mahu Mengakses Laporan CCRIS Orang Lain Dengan Kebenaran Mereka?
Tak boleh. Laporan CCRIS anda mengandungi data kewangan peribadi yang sangat sensitif. Di bawah undang-undang Malaysia, laporan CCRIS hanya boleh diberikan kepada pemilik maklumat tersebut.
Anda tidak boleh membenarkan pihak ketiga. Ia termasuklah ahli keluarga, rakan, atau penasihat profesional, untuk mendapatkan laporan anda daripada Bank Negara Malaysia bagi pihak anda. Langkah privasi yang ketat ini melindungi identiti kewangan anda. Jika seseorang perlu menyemak sejarah kredit anda, anda perlu memuat turun laporan anda sendiri dan berkongsinya dengan mereka secara terus.
Semak Laporan Anda Sebelum Memohon Kredit
Menyemak laporan CCRIS anda secara berkala melalui portal eCCRIS adalah percuma. Ia dapat membantu anda memahami dengan tepat apa yang akan dilihat oleh pemberi pinjaman apabila menilai permohonan anda. Mengesan kesilapan lebih awal bermakna anda boleh membetulkannya sebelum ia menggagalkan permohonan pinjaman untuk membeli rumah, kereta, atau urusan perniagaan anda.
Selain hanya menyemak kesilapan, meneliti laporan CCRIS anda menunjukkan kedudukan kewangan anda. Jika anda melihat tanda pembayaran lewat, anda akan tahu bahawa anda perlu fokus untuk membina semula sejarah pembayaran anda sebelum memohon kredit utama. Jika laporan anda bersih tetapi anda masih mendapat penolakan, isu itu mungkin terletak pada skor kredit anda atau faktor lain seperti nisbah khidmat hutang (debt-service ratio).
Selepas menyemak data CCRIS anda, pertimbangkan untuk menyemak skor kredit penuh anda dengan CTOS atau Experian untuk mendapatkan gambaran lengkap tentang kesihatan kredit anda. Anda juga boleh menggunakan alat perbandingan RinggitPlus untuk sebelum menyerahkan permohonan kad kredit atau pembiayaan anda.
Ikuti kami di saluran WhatsApp rasmi kami untuk tips dan kemas kini wang terkini.
