Apa Yang Anda Perlu Tahu Jika Mahu Batalkan Kad Kredit

KONGSI

Perkara Yang Perlu Dipertimbangkan Sebelum Batal Kad Kredit

Mari kita bincangkan tentang satu topik penting dalam pengurusan kewangan peribadi yang mungkin ramai terlepas pandang iaitu pembatalan kad kredit. Kenapa pula nak batalkan kad kredit? Mungkin ada yang kata sebab kad kredit mereka tak banyak manfaat yang menarik, yuran tahunan pula terlalu tinggi atau yang paling bahaya – takut berbelanja sampai terlebih bajet. 

Apa Yang Saya Kena Pertimbangkan Sebelum Nak Batalkan Kad Kredit?

Ramai yang mungkin fikir, “Potong je kad tu, habis cerita!” Sebenarnya, prosedur untuk batalkan kad kredit bukanlah semudah itu. Proses ini boleh memberi kesan langsung kepada skor kredit anda. Penting ya untuk anda jaga skor kredit – ia ibarat rekod prestasi kewangan anda. 

Kebiasaannya, institusi kewangan akan merujuk skor tersebut untuk menilai sama ada anda layak atau tidak untuk mendapatkan pinjaman pada masa hadapan. Contohnya untuk melanjutkan pelajaran atau membeli aset besar seperti rumah. Mereka akan melakukan prosedur ini dengan merujuk kepada pinjaman anda yang telah dibayar balik, sebarang hutang tertunggak dan gaji semasa anda yang menjadi sebahagian dari sejarah kredit. 

Tapi jika anda membatalkan kad kredit terlalu cepat selepas mendapatkannya, pihak bank pun ragu-ragu. Kalau anda merancang untuk mengambil pinjaman atau membuat pembelian besar seperti membeli rumah dalam masa terdekat, persepsi negatif ini boleh menjejaskan peluang anda untuk mendapatkan kelulusan dari pihak bank. Malah pihak bank juga akan membuat tanggapan yang anda tidak serius dalam menguruskan komitmen kewangan.

Bila Masa Sesuai untuk Batalkan Kad Kredit?

Ada sebab-sebab yang baik dan kurang baik untuk anda pertimbangkan sebelum membuat keputusan untuk membatalkan kad kredit. Jom kita lihat satu persatu:

Sebab-sebab yang Baik untuk Membatalkan Kad Kredit:

Faedah dan Yuran yang Tinggi: 

Jika kad kredit anda mengenakan kadar faedah yang membebankan atau pelbagai yuran tersembunyi yang tidak berbaloi, mungkin sudah tiba masa untuk cari alternatif kad lain.

Pindahan Baki Hutang: 

Kalau anda telah memindahkan baki hutang sedia ada ke kad kredit baharu dengan tawaran yang lebih menarik, pembatalan kad lama boleh membantu anda untuk fokus pada satu pembayaran sahaja.

Sukar Mengawal Perbelanjaan: 

Bagi individu yang agak sukar untuk mengawal perbelanjaan menggunakan kad kredit, pembatalan kad boleh menjadi langkah proaktif untuk mengukuhkan disiplin dalam pengurusan kewangan.

Risiko Penipuan: 

Jika anda ragu-ragu dengan tahap keselamatan data peribadi anda di mana butiran kad anda mungkin telah terdedah atau berlaku insiden keselamatan siber, pembatalan kad adalah langkah penting untuk mengurangkan risiko penipuan kewangan.

Sebab-sebab yang Kurang Baik untuk Membatalkan Kad Kredit:

Satu-satunya Sumber Kredit Anda: 

Jika anda cuma ada satu kad sahaja dan ia adalah satu-satunya rekod kredit anda, kalau boleh tak perlu batalkan kad anda kerana pembatalannya akan menghilangkan bukti keupayaan anda dalam menguruskan hutang dan komitmen kewangan. Macam mana bank nak tahu sama ada anda layak menerima kredit jika tiada bukti rekod secara bertulis?

Sejarah Kredit yang Baik dan Agak Lama: 

Kad kredit yang anda miliki untuk jangka masa yang agak panjang dengan rekod pembayaran cemerlang sebenarnya telah menyumbang secara positif kepada skor kredit anda. Tetapi jika anda mahu membatalkannya tanpa sebab yang kukuh, agak rugi jugalah kerana anda akan kehilangan manfaat seperti kadar faedah yang lebih rendah di masa hadapan. Namun, jika bank tidak menghargai kesetiaan anda dengan memberi tawaran yang lebih menarik, mungkin sudah tiba masanya ucap selama tinggal kepada kad anda itu dan beralih ke kad baharu yang lagi menarik.

Prosedur yang Betul untuk Pembatalan Kad Kredit

Sudah ada beberapa sebab yang kukuh untuk batalkan kad kredit? YAY! Sekarang jom kami tunjukkan cara untuk menguruskan pembatalan kad kredit anda dengan betul. Langkah-langkah yang betul untuk membatalkan kad kredit adalah sangat penting bagi mengelakkan sebarang masalah di kemudian hari.

Semak Skor Kredit Anda: 

Sebelum membuat keputusan, fahami kedudukan skor kredit anda.Ia akan menjadi sesuatu yang sangat membantu apabila anda mengetahui skor kredit anda sebelum dan selepas membatalkan kad kredit. Walaupun tiada apa yang boleh dilakukan untuk mengubahnya, tetapi apabila anda mengetahui skor tersebut, ia akan membantu anda mengira risiko jika ingin membatalkannya lagi pada masa hadapan. Anda boleh berbuat demikian dengan menyemak laman web Biro Kredit oleh Bank Negara Malaysia.

Jelaskan Semua Baki Tertunggak: 

Pastikan tiada lagi hutang tertunggak pada kad kredit tersebut.

Batalkan Arahan Pembayaran Automatik: 

Pastikan tiada lagi pembayaran bil atau langganan yang dihubungkan secara automatik kepada kad yang ingin dibatalkan.

Tebus Semua Mata Ganjaran: 

Jangan biarkan mata ganjaran atau ganjaran kesetiaan anda luput dan dilepaskan begitu sahaja. Tebus kesemuanya!

Hubungi Pihak Bank: 

Maklumkan kepada bank secara rasmi niat anda untuk membatalkan kad tersebut.

Hantar Surat Rasmi: 

Hantar surat bertulis kepada bank untuk mengesahkan niat pembatalan kad kredit anda dan pastikan anda mendapatkan salinan surat yang telah dicop sebagai bukti penghantaran. Proses ini sangat penting sebagai bahan bukti jika timbul sebarang isu pada masa akan datang.

Dapatkan Maklumat Susulan: 

Selepas menghantar surat, pastikan anda mendapatkan maklumat susulan dengan pihak bank untuk mengesahkan status pembatalan kad kredit anda.

Jika keputusan anda untuk membatalkan kad kredit adalah kerana faedah yang ditawarkan tidak lagi sesuai dengan keperluan, anda boleh gunakan alat perbandingan kad kredit seperti yang terdapat di RinggitPlus. Mana tahu boleh cari kad yang lagi sesuai dengan gaya hidup anda! 

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments