Bolehkah Saya Naikkan Had Kredit?
Jawapannya, ia bergantung kepada pendapatan anda. Dalam garis panduan yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), ada had tertentu untuk jumlah kredit yang boleh diberikan oleh pihak bank kepada pemegang kad. Jika pendapatan tahunan anda kurang daripada RM36,000, had kad kredit maksimum yang boleh diberikan oleh setiap bank ialah dua kali ganda daripada gaji bulanan anda. Malah, anda hanya boleh memiliki sehingga dua kad kredit sahaja. Sebagai contoh, kalau gaji anda berjumlah RM2,500 sebulan, had kredit maksimum anda ialah RM5,000 bagi setiap pengeluar kad.
Namun, jika pendapatan tahunan anda melebihi RM36,000, maka pihak bank akan mempertimbangkan permohonan anda untuk menaikkan had kredit. Keputusan ni biasanya bergantung pada tahap pendapatan dan rekod kredit anda.
Cara Untuk Menaikkan Had Kredit Kad Anda
Kalau anda memang bercadang untuk menaikkan had kredit kad secara kekal, anda perlu membuat permohonan rasmi kepada pihak bank yang mengeluarkan kad anda.
Proses ini mungkin sedikit berbeza antara setiap bank, tetapi secara amnya anda perlu mengisi borang permohonan beserta dokumen pendapatan seperti slip gaji, penyata KWSP, borang EA, borang cukai dan sebagainya. Anda boleh menghantar permohonan ini secara terus kepada pihak bank, melalui pos, faks atau dalam talian. Untuk makluman anda, pihak bank akan mengambil masa untuk memproses permohonan sebelum mengeluarkan keputusan sama ada anda lulus atau ditolak.
Andai kata anda memerlukan tunai dengan segera untuk tujuan kecemasan, permohonan kenaikan sementara mungkin lebih sesuai. Biasanya ia sah untuk tempoh 30 hari dan proses permohonan jenis ini jauh lebih mudah kerana boleh dilakukan melalui telefon atau laman sesawang bank pengeluar kad kredit anda.
Satu lagi langkah yang boleh bantu tingkatkan had kad kredit ialah dengan mengemaskini maklumat pendapatan. Kalau anda baru dapat kenaikan gaji, atau baru tukar kerja yang beri gaji lebih tinggi, bank mungkin pertimbangkan untuk naikkan had kredit anda. Tapi proses ini pun ambil masa, jadi sesuai kalau anda tidak terlalu terdesak.
Ya, Anda Boleh Naikkan Had Kredit. Persoalannya, Perlu Ke?
Hanya sebab anda perlukan duit lebih, ini tidak bermaksud anda perlu mengambil langkah drastik dengan menaikkan had kredit. Anda harus berfikir secara bijak sama ada ia benar-benar memberi manfaat atau sebaliknya.
Antara situasi tertentu yang anda boleh pertimbangkan untuk menaikkan kredit adalah apabila anda baru sahaja dapat kenaikan gaji, anda seorang yang berdisiplin dalam membayar hutang tepat pada masa, atau tiada pilihan lain untuk mendapat akses tunai tambahan. Akan tetapi, jika anda cenderung dalam berbelanja berlebihan, atau situasi kewangan anda buat masa sekarang hanya mampu membayar minimum setiap bulan, maka anda perlu berfikir masak-masak kerana ini adalah punca utama ramai individu terjebak dalam bebanan hutang kad kredit.
Tidak Mahu Naikkan Had? Anda Boleh Mohon Kad Kredit Baru
Kalau anda hanya ada satu kad kredit dan pendapatan tahunan melebihi RM36,000, tepuk dada tanya selera sekiranya anda patut ke memohon kenaikan had kredit atau terus mohon kad kredit baru? Ini kerana, jawapannya bergantung sepenuhnya kepada keperluan dan situasi kewangan anda.
Jika kad sedia ada menawarkan manfaat menarik seperti rebat tunai atau kadar faedah yang rendah, mungkin lebih baik untuk anda kekalkan kad tersebut dan hanya mohon kenaikan had kredit. Sebaliknya, kalau anda temui kad kredit lain yang boleh melengkapkan kad sedia ada, contohnya satu kad fokus pada rebat minyak petrol manakala satu lagi untuk membeli-belah, jadi tiada masalah untuk anda tambah satu lagi kad dalam koleksi.
Kalau anda sedang mempertimbangkan kad kredit baru, pastikan anda membuat perbandingan terlebih dahulu. Gunakan halaman perbandingan kad kami yang boleh memudahkan anda mencari kad yang paling sesuai dengan keperluan anda.
