Apa Yang Berlaku Kepada KWSP Anda Apabila Anda Meninggalkan Malaysia Secara Kekal

KONGSI

Jika anda bercadang untuk meninggalkan Malaysia secara kekal, anda mungkin layak untuk mengeluarkan baki keseluruhan di dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Sama ada anda layak atau tidak, dan bagaimana prosesnya, bergantung kepada status kewarganegaraan dan pemastautinan anda, serta cara dan masa anda meninggalkan negara ini.

KWSP membenarkan pengeluaran penuh melalui peruntukan meninggalkan negara, namun syarat dan keperluan dokumen berbeza mengikut status pemohon, sama ada warganegara Malaysia, pemastautin tetap, atau pekerja asing.

Siapa Yang Layak Untuk Keluarkan KWSP Apabila Meninggalkan Malaysia?

Warganegara Malaysia hanya layak membuat pengeluaran penuh KWSP melalui peruntukan meninggalkan negara sekiranya mereka melepaskan kewarganegaraan secara rasmi. Tetapi, kalau anda sekadar berpindah ke luar negara dan masih mengekalkan pasport Malaysia, ia dianggap tidak memenuhi syarat walaupun perpindahan itu bertujuan kekal.

Namun, syarat untuk pekerja asing dan ekspatriat pula adalah berbeza. Kelayakan mereka akan dikaitkan dengan tamatnya tempoh bekerja di Malaysia dan bukannya melibatkan rancangan perjalanan mereka pada masa hadapan. 

Dalam kebanyakan kes, KWSP tidak memerlukan bukti yang mengatakan bahawa anda tidak akan kembali ke Malaysia. Dokumen seperti surat penamatan kontrak, permit kerja yang dibatalkan, atau penjelasan cukai pendapatan adalah sudah memadai.

Pemastautin tetap pula berada di antara dua kategori ini. Jika anda melepaskan status Permanent Resident (PR), prosesnya lebih kurang sama seperti warganegara Malaysia yang melepaskan kewarganegaraan. Jika anda meninggalkan Malaysia tetapi mengekalkan status PR, kelayakan tidak begitu jelas dan biasanya ia dinilai mengikut kes..

Bolehkah Anda Mengeluarkan Keseluruhan Baki KWSP?

Ya, peruntukan meninggalkan negara membenarkan pengeluaran penuh baki KWSP daripada semua akaun, termasuk Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera, dan Akaun Fleksibel.

Bagi ahli yang menyertai KWSP sebelum penstrukturan semula akaun 2024, nama lama Akaun 1 dan Akaun 2 mungkin masih terpapar dalam penyata, tetapi jumlah keseluruhan daripada semua akaun akan disertakan dalam pengeluaran.

Dokumen Yang Diperlukan

Pengeluaran KWSP memerlukan dokumentasi yang spesifik. Penghantaran dokumen yang tidak lengkap boleh mengakibatkan kelewatan atau penolakan permohonan.

Semua pemohon perlu menyediakan:

  • Butiran akaun bank panel KWSP
  • Pasport yang sepadan dengan rekod KWSP, atau pasport lama jika nombor pasport telah berubah
  • Bukti bahawa maklumat peribadi anda sepadan dengan rekod KWSP, seperti sijil perkahwinan, sijil kelahiran, atau surat pengesahan identiti

Dokumen tambahan mengikut status:

Warganegara Malaysia yang melepaskan kewarganegaraan

  • Borang K atau Borang Y yang mengesahkan pelepasan kewarganegaraan
  • Surat daripada Jabatan Pendaftaran Negara, Kedutaan Malaysia, atau Konsulat
  • Surat pengesahan penyerahan kad pengenalan

Pekerja asing dan ekspatriat

  • Surat letak jawatan atau penamatan kontrak daripada majikan
  • Penyata penjelasan cukai pendapatan atau pembatalan permit kerja daripada Jabatan Imigresen
  • Memo check-out daripada Imigresen Malaysia
  • Pengesahan caruman majikan jika anda masih bekerja semasa memohon

Permohonan boleh dikemukakan secara peribadi di cawangan KWSP atau melalui pos berdaftar. Salinan dokumen perlu disahkan oleh pihak yang diberi kuasa seperti majikan, pegawai kedutaan, atau pegawai KWSP.

Cara Untuk Memohon

Kumpulkan kesemua dokumen yang diperlukan mengikut status anda dan sahkan dokumen tersebut melalui pihak berkuasa seperti majikan, pegawai kedutaan, atau pegawai KWSP. Muat turun dan lengkapkan Borang KWSP 9K (AHL) dari laman web KWSP. Jika status anda telah berubah, kemas kini akaun bank Malaysia anda sebelum mengemukakan permohonan.

Permohonan boleh dikemukakan di mana-mana cawangan KWSP atau melalui pos berdaftar. KWSP akan menyemak dokumen anda dan menghubungi anda jika maklumat tambahan diperlukan.

Berapa Lama Tempoh Pemprosesan Untuk Permohonan Anda?

Pemprosesan boleh mengambil masa beberapa minggu. Tempoh yang terbaik untuk membuat permohonan adalah sekurang-kurangnya dua bulan sebelum tarikh berlepas atau tarikh luput permit kerja anda.

Setelah permohonan anda diluluskan, KWSP akan mengeluarkan bayaran mengikut jumlah dan status ahli. Pengeluaran yang lebih besar mungkin dibuat dalam bentuk cek bank atau draf bank, yang perlu diambil secara peribadi dengan kad pengenalan serta dokumen pengesahan yang diperlukan seperti pasport dan surat pelepasan kewarganegaraan.

Jumlah yang lebih kecil boleh dikreditkan ke akaun bank, tertakluk kepada pengesahan. Bayaran juga boleh dibuat dalam mata wang asing melalui draf permintaan atau pindahan telegrafik, dimanayuran mungkin akan dikenakan.

Adakah Pengeluaran KWSP Akan Dikenakan Cukai?

Pengeluaran KWSP melalui peruntukan meninggalkan negara tidak dikenakan cukai di Malaysia. Penjelasan cukai mungkin diperlukan untuk mengesahkan bahawa anda tiada tanggungan tertunggak.

Negara yang bakal menjadi destinasi perpindahan anda mungkin menganggap pengeluaran KWSP ini adalah sesuatu yang sedikit berbeza. Sesetengah negara mewajibkan pelaporan atau pembayaran cukai ke atas simpanan persaraan asing. Untuk memudahkan urusan anda, adalah lebih baik jika anda berunding terlebih dahulu dengan pakar cukai sebelum membuat pengeluaran.

Apa Yang Berlaku Kepada Akaun KWSP Anda Selepas Pengeluaran Dilakukan?

Akaun KWSP anda kekal dalam sistem sebagai akaun dorman selepas pengeluaran. Anda boleh menyambung semula caruman jika anda kembali bekerja di Malaysia, sama ada sebagai warganegara Malaysia yang mendapat semula kewarganegaraan, pemastautin tetap yang kembali, atau pekerja asing baharu.

Kesilapan Biasa Yang Perlu Dielakkan

Nombor pasport, nama, dan maklumat lain mesti sepadan dengan rekod KWSP. Jika nama anda berubah selepas berkahwin atau anda mendapat pasport baharu, bawa dokumen sokongan bersama. Kebanyakan permohonan akan berdepan kelewatan kerana masalah maklumat yang tidak sepadan.

Pastikan anda mengemukakan semua dokumen yang disahkan dengan menyemak senarai semak dokumen rasmi. Permohonan yang tidak lengkap biasanya akan terus ditolak. Jika akaun bank Malaysia anda masih menunjukkan status lama, berkemungkinan bayaran anda akan gagal, justeru anda digalakkan untuk mengemaskini status akaun sebelum membuat  pengeluaran KWSP.

Wang Dalam Akaun KWSP Perlu Dikeluarkan Atau Dikekalkan?

Jika wang dibiarkan dalam KWSP, ia akan terus menjana dividen dalam Ringgit. Kerajaan menjamin kadar minimum sebanyak 2.5% setahun, sementara purata pulangan secara sejarahnya lebih tinggi daripada itu.

Sebaliknya, anda mungkin mempertimbangkan untuk mengeluarkan sebahagian atau keseluruhan KWSP jika memerlukan wang tunai untuk menetap di luar negara, atau ingin mempunyai lebih kawalan ke atas simpanan persaraan di negara baharu. 

Perlu diingat bahawa KWSP mengisytiharkan dividen setahun sekali, biasanya pada penghujung Februari atau awal Mac, maka pengeluaran sebelum pengumuman bermakna anda tidak akan menerima dividen tahun tersebut. 

Kadar pertukaran wang dan pertimbangan cukai juga boleh mempengaruhi masa yang sesuai untuk membuat pengeluaran.

KWSP menyediakan asas yang kukuh untuk simpanan persaraan. Jika anda ingin menyimpan lebih banyak, anda boleh meninjau Skim Persaraan Swasta (PRS). PRS membolehkan anda melabur secara sukarela, dengan potensi manfaat cukai dan kawalan lebih besar ke atas cara simpanan anda berkembang.

Ikuti kami di saluran WhatsApp rasmi kami untuk tips kewangan dan kemas kini terkini.

5 1 vote
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments