Berapa Banyak Cukai Yang Boleh Anda Jimat Dengan SSPN Dan PRS

KONGSI

Setiap tahun apabila tibanya musim cukai, SSPN dan PRS pasti akan muncul dalam senarai pelepasan cukai. Kedua-duanya jenis simpanan yang sekali gus mengurangkan bil cukai anda. SSPN ialah akaun simpanan pendidikan yang dikendalikan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). PRS pula singkatan untuk Private Retirement Scheme (Skim Persaraan Swasta) iaitu tabung persaraan tambahan yang anda carum sendiri di atas KWSP.

Ramai membandingkan kedua-dua skim ini kerana masing-masing memberi ganjaran apabila anda menyimpan. Tetapi ia pelepasan berasingan dengan had berasingan, jadi kalau anda layak untuk SSPN dan PRS, anda boleh menuntut kedua-duanya sekali dalam tahun yang sama.

Bagaimana Simpan SSPN Berfungsi

PTPTN telah mengendalikan SSPN sejak tahun 2004 sebagai akaun simpanan untuk pendidikan tinggi anak-anak. Anda hanya perlu membuka akaun dan menamakan anak anda sebagai penerima manfaat. Deposit simpanan pula boleh bermula daripada serendah RM20.

Terdapat dua versi SSPN. Simpan SSPN Prime ialah akaun simpanan asas. Jika baki akaun anda mencapai RM1,000, ia didatangkan dengan perlindungan takaful percuma yang ditanggung sepenuhnya oleh PTPTN. Simpan SSPN Plus pula menawarkan perlindungan takaful yang lebih komprehensif, tetapi anda perlu membayar caruman bulanan tetap. Bahagian caruman takaful bagi SSPN Plus ini boleh dituntut di bawah pelepasan insurans nyawa dan takaful yang berasingan, sekiranya anda masih mempunyai baki kelayakan di bawah kategori pelepasan tersebut. 

Menerusi akaun-akaun ini, simpanan anda akan menjana dividen yang diisytiharkan oleh PTPTN pada setiap tahun. Bagi tahun 2025, kadarnya ialah 4.10%, iaitu kadar tertinggi dalam tempoh 11 tahun. Pada tahun 2024 pula, kadarnya ialah 4.05%. Simpanan ini dijamin sepenuhnya oleh kerajaan, jadi baki wang anda tidak akan berkurangan. Skim ini juga patuh Syariah. 

Bagi keluarga yang mempunyai pendapatan isi rumah bulanan RM4,000 atau ke bawah, anda layak mendapat geran padanan (matching grant) sehingga RM10,000 sebaik sahaja anak anda mendaftar masuk ke institusi pengajian tinggi. Pelepasan cukai yang diberikan adalah sehingga RM8,000 setahun berdasarkan simpanan bersih anda, iaitu jumlah wang yang anda masukkan ditolak dengan jumlah yang dikeluarkan sepanjang tahun tersebut.

Bagaimana PRS Berfungsi

PRS ialah dana persaraan sukarela yang diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti dan ditadbir oleh Pentadbir Pencen Swasta (Private Pension Administrator, PPA). Anda boleh memilih penyedia dan jenis dana yang sesuai, kemudian membuat caruman mengikut kemampuan sendiri. Caruman biasanya bermula daripada RM100, dan terdapat caj pendaftaran akaun PPA sekali sahaja sebanyak RM10. 

Penyedia menawarkan pelbagai pilihan dana bermula daripada dana konservatif hingga agresif. Semakin agresif dana yang dipilih, semakin tinggi turun naik nilainya. Pulangan simpanan tidak dijamin, dan nilai simpanan anda boleh menyusut.

Sesiapa sahaja yang berumur 18 tahun ke atas boleh menyertainya, sama ada warganegara atau bukan warganegara, serta sama ada anda bekerja makan gaji atau bekerja sendiri.

Pelepasan cukai yang diberikan adalah sehingga RM3,000 setahun. Had ini dikongsi bersama dengan premium anuiti tertangguh (deferred annuity). Oleh itu, jika anda mencarum untuk kedua-duanya, RM3,000 ialah gabungan had maksimum bagi kedua-duanya.

Anda Boleh Tuntut Kedua-Duanya Dalam Tahun Yang Sama

SSPN dan PRS diletakkan pada ruangan berasingan dalam borang cukai anda dengan had penolakan yang berbeza. 

Pelepasan PRS ini juga berasingan daripada pelepasan RM4,000 untuk KWSP dan skim yang diluluskan. Jadi biarpun anda sudah maksimumkan pelepasan KWSP, itu tidak menghalang anda untuk menuntut pelepasan PRS.

Walau bagaimanapun, kedua-dua pelepasan ini bukanlah bersifat kekal. Pelepasan SSPN dijadualkan berakhir pada Tahun Taksiran 2027 dan pelepasan PRS sehingga 2030. Namun, kerajaan boleh melanjutkannya lagi dalam Belanjawan akan datang seperti yang pernah dilakukan dalam Belanjawan 2025. Tiada sebarang perubahan dibuat untuk kedua-dua pelepasan ini dalam Belanjawan 2026. 

Berapa Banyak Penjimatan Ikut Peringkat Pendapatan 

Pelepasan cukai berfungsi mengurangkan jumlah pendapatan yang dikenakan cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), dan bukannya memotong jumlah bil cukai anda secara terus. Jika anda menuntut pelepasan SSPN RM8,000, LHDN akan mengira seolah-olah pendapatan tahunan anda kurang RM8,000. Penjimatan sebenar anda ialah jumlah cukai yang sepatutnya dikenakan ke atas RM8,000 tersebut, bergantung kepada julat cukai (tax band) anda.

Berikut ialah nilai penjimatan sebenar bagi tuntutan penuh untuk setiap pelepasan:

Pendapatan Bercukai Sebelum PelepasanPenjimatan SSPN RM8,000Penjimatan PRS RM3,000
RM45,000RM480RM180
RM60,000RM880RM330
RM85,000RM1,520RM570
RM120,000RM2,000RM750

Pendapatan bercukai ialah baki pendapatan anda selepas menolak KWSP dan semua pelepasan lain. Pelepasan pada tahap pendapatan lebih tinggi bernilai lebih besar, sebab cukai yang dipotong dikenakan pada kadar yang lebih tinggi. Kalau pelepasan anda berjaya turunkan pendapatan bercukai ke RM35,000 atau kurang, anda layak mendapat rebat cukai RM400, jadi penjimatan sebenar boleh menjadi lebih besar daripada apa yang jadual ni tunjukkan.

Siapa Yang Boleh Tuntut Setiap Pelepasan

Untuk SSPN, pelepasan diberikan kepada ibu bapa kandung, ibu bapa angkat, atau penjaga sah dari segi undang-undang yang menyimpan ke dalam akaun anak mereka. Anak-anak yang layak adalah daripada bayi yang baru lahir sehinggalah yang berumur bawah 29 tahun. 

Anda boleh membuka akaun SSPN atas nama diri sendiri sebagai penerima manfaat, tetapi PTPTN menegaskan bahawa anda tidak layak menuntut pelepasan cukai bagi akaun tersebut. Tanpa meletakkan nama anak sebagai penerima manfaat, tiada pelepasan SSPN yang boleh dituntut. 

Had RM8,000 ini ialah had bagi setiap pembayar cukai, bukannya bagi setiap anak. Sekiranya anda dan pasangan membuat pemfailan cukai secara berasingan, hanya seorang sahaja daripada anda yang boleh menuntutnya dan sebaiknya dituntut oleh pasangan yang berada dalam julat cukai lebih tinggi. Peraturan ini merupakan syarat baharu bermula Tahun Taksiran (YA) 2025. Sebelum ini, ibu bapa yang memfailkan cukai berasingan masing-masing boleh menuntut RM8,000. Menuntut RM8,000 penuh memberikan penjimatan RM1,120 lebih tinggi dalam julat cukai 25% berbanding julat 11%. 

Jika anda memfailkan cukai secara bersama, anda menuntutnya bersama-sama dalam satu borang. Ibu bapa yang telah bercerai merupakan pengecualian, masing-masing boleh menuntut sehingga RM8,000 dalam borang cukai berasingan, dan PTPTN mengambil maklum bahawa LHDN akan menyemak serta memadankan rekod bekas pasangan semasa memproses tuntutan. 

PRS pula terbuka kepada sesiapa sahaja yang berumur 18 tahun ke atas, tidak kira sama ada anda mempunyai anak atau tidak. Walau bagaimanapun, pelepasan ini hanya memberi manfaat kepada individu yang bermastautin dari segi cukai (tax resident). Pembayar cukai bukan pemastautin dikenakan cukai pada kadar rata tanpa sebarang pelepasan, jadi mereka tidak akan mendapat apa-apa pemulangan cukai sekiranya mencarum dalam PRS. 

Cara Pengeluaran Wang 

Simpan SSPN Prime membolehkan anda mengeluarkan wang pada bila-bila masa. Had harian dalam talian ialah RM1,000 setiap akaun, dan apa-apa jumlah lebih besar perlu dibuat melalui kaunter PTPTN. Plus pula berbeza sedikit, anda cuma boleh mengeluarkannya selepas tiga tahun dan perlu kekalkan sekurang-kurangnya RM1,000 dalam akaun.

Pelepasan anda dikira atas simpanan bersih tahun tersebut. Contohnya, masukkan RM8,000 tetapi keluarkan RM1,000 dalam tahun yang sama, anda cuma boleh menuntut RM7,000.

Ada satu pengecualian bermula YA2025, kalau anda keluarkan wang untuk membayar yuran kolej atau universiti anak, pengeluaran itu tidak akan mengurangkan tuntutan anda. Tetapi pengeluaran lain tetap akan mengurangkannya.

PRS jauh lebih ketat. Caruman anda dipecahkan secara automatik iaitu 70% masuk sub-akaun A, 30% masuk sub-akaun B. Sub-akaun A dikunci sehingga anda berusia 55 tahun. Dari sub-akaun B, anda boleh buat satu pengeluaran setahun dengan setiap penyedia, tapi kena jadi ahli sekurang-kurangnya setahun dulu. Apa-apa yang anda keluarkan, 8% akan dipotong sebagai penalti cukai.

Pengeluaran untuk perumahan atau rawatan kesihatan dikecualikan daripada penalti. Sama juga dengan pengeluaran penuh apabila anda meninggalkan Malaysia untuk selamanya, meninggal dunia, atau alami kehilangan upaya yang serius. Jadi kuncian ni sebenarnya cuma sampai persaraan pada usia 55, anda boleh mengeluarkan kesemua wang dari kedua-dua sub-akaun tanpa dikenakan penalti.

Mana Satu Yang Patut Diutamakan? 

Jika anda mempunyai anak bawah 29 tahun dan sedang menyimpan untuk pendidikan mereka, mulakan dengan SSPN. Pelepasannya lebih besar, pulangannya juga dijamin dan anda masih boleh mendapat semula wang itu kalau berlaku apa-apa masalah. Tetapi kalau tiada anak, PRS sahaja pilihan yang boleh anda tuntut.

Sekiranya anda mempunyai anak dan hanya memiliki beberapa ribu ringgit lebihan, fikir dahulu bila anda perlukan wang itu semula. Wang SSPN boleh diambil semula bulan depan, sementara PRS pula terkunci sampai persaraan, melainkan anda sanggup membayar penalti 8%. Untuk sesiapa dalam lingkungan dua puluhan atau tiga puluhan, ia merupakan komitmen jangka panjang untuk penjimatan cukai RM330 sehingga RM750 setahun sahaja.

Penjimatan cukai sepatutnya berfungsi sebagai “bonus” ke atas wang yang sememangnya anda berhasrat untuk simpan, bukannya menjadi punca utama anda mula menabung. Memasukkan RM8,000 ke dalam SSPN semata-mata untuk mendapatkan penjimatan RM880 hanya berbaloi sekiranya anda sememangnya berhasrat menyimpan wang tersebut dalam SSPN dari awal. 

Apa Yang Anda Perlukan Semasa Memfailkan

Anda tidak perlu memuat naik sebarang dokumen semasa mengisi e-Filing. Anda hanya perlu memasukkan jumlah pelepasan dalam borang, kemudian simpan semua penyata simpanan sebagai bukti sekiranya diminta oleh LHDN kemudian hari. 

Untuk SSPN, muat turun penyata anda daripada aplikasi myPTPTN yang memaparkan penyata pelepasan cukai bersama jumlah simpanan anda. Transaksi deposit mestilah sampai kepada PTPTN sebelum 31 Disember untuk diambil kira bagi tahun taksiran tersebut. Bagi pembayaran di luar kaunter PTPTN, PTPTN menyarankan bayaran dibuat sebelum 25 Disember bagi memberi ruang masa untuk pemprosesan. Untuk PRS, penyedia anda akan mengeluarkan penyata caruman PRS. Caruman anda juga perlu sampai kepada penyedia sebelum 31 Disember untuk diambil kira bagi tahun berkenaan. 

Pastikan anda menyimpan kedua-dua penyata ini selama tujuh tahun, kerana LHDN berhak membuat semakan audit susulan bagi tempoh tersebut.

Ikuti kami di saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini. 

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen