Rakyat Malaysia tidak boleh bergantung kepada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semata-mata untuk persaraan. Isu perancangan persaraan semakin meruncing apabila data terkini menunjukkan tahap kesediaan persaraan yang membimbangkan. Setakat Oktober 2024, hanya 36% ahli KWSP aktif dalam sektor formal memenuhi paras Simpanan Asas mengikut umur, yang ditetapkan pada RM240,000 pada usia 55 tahun.
Dalam masa yang sama, KWSP telah memperkenalkan penanda aras kecukupan persaraan baharu. Menjelang 2028, rakyat Malaysia disarankan mempunyai sekurang-kurangnya RM390,000 untuk keperluan asas persaraan, RM650,000 untuk persaraan yang mencukupi, dan RM1.3 juta bagi tahap keselamatan persaraan yang lebih selesa.
Kajian Literasi Kewangan Malaysia RinggitPlus 2025 atau 2025 RinggitPlus Malaysian Financial Literacy Survey (RMFLS) mendapati bahawa walaupun 55% rakyat Malaysia berpendapatan bawah RM2,000 telah mula merancang untuk persaraan, meningkat daripada 48% pada 2024, masih terdapat 47% rakyat Malaysia yang hidup berdasarkan gaji ke gaji pada setiap bulan. Statistik ini jelas menunjukkan keperluan yang mendesak untuk simpanan persaraan tambahan selain KWSP.
Jurang simpanan persaraan ini bukan isu baharu. Menyedari cabaran ini lebih sedekad lalu, kerajaan telah memperkenalkan Skim Persaraan Swasta atau Private Retirement Scheme (PRS) pada tahun 2012 bagi menggalakkan rakyat Malaysia membina pendapatan persaraan tambahan di luar KWSP. Jika anda sedang mempertimbangkan untuk menyumbang kepada PRS, ini perkara penting yang perlu anda ketahui.
Apakah Skim Persaraan Swasta?
PRS ialah skim pencen caruman ditakrif yang membolehkan individu membuat caruman secara sukarela ke dalam instrumen pelaburan bagi membina dana persaraan. Skim ini sesuai untuk mereka yang ingin mengembangkan simpanan persaraan tetapi kurang pengetahuan atau pengalaman dalam pelaburan.
Namun begitu, PRS bukan pengganti kepada KWSP. Ia berfungsi sebagai pelengkap kepada KWSP, membolehkan individu mewujudkan satu lagi dana persaraan yang boleh digunakan apabila bersara, tanpa bergantung sepenuhnya kepada KWSP.
Kewujudan skim sukarela ini juga memberi peluang kepada pekerja sektor swasta dan individu bekerja sendiri untuk mempelbagaikan simpanan persaraan mereka mengikut keupayaan kewangan masing-masing.
Perbezaan Antara KWSP dan PRS
KWSP merupakan asas simpanan persaraan kebanyakan rakyat Malaysia, manakala PRS memberi kawalan dan fleksibiliti tambahan.
Dengan KWSP, anda akan peroleh:
- Caruman wajib dengan kadar tetap
- Dividen minimum dijamin kerajaan pada kadar 2.5 peratus
- Pilihan pelaburan yang terhad
Dengan PRS, anda akan dapat:
- Caruman sukarela dengan sebarang jumlah pada bila-bila masa
- Potensi pulangan lebih tinggi bergantung kepada prestasi dana
- Kebebasan memilih penyedia, jenis dana dan tahap risiko
- Pelepasan cukai tambahan sehingga RM3,000 setahun
Secara ringkas, KWSP ialah jaringan keselamatan (safety net) persaraan anda, manakala PRS ialah peluang untuk membina simpanan tambahan.
Penyedia PRS di Malaysia
Pengurus dana PRS yang dikenali sebagai penyedia PRS perlu mendapat kelulusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Semua aktiviti PRS pula ditadbir oleh Pentadbir Pencen Swasta Malaysia (PPA), sebuah badan yang diluluskan Suruhanjaya Sekuriti bagi melindungi kepentingan ahli PRS dan mendidik orang ramai mengenai skim ini.
Setakat ini, terdapat sembilan penyedia PRS yang diluluskan:
- AHAM Asset Management Berhad
- AIA Pension and Asset Management Sdn. Bhd.
- AmFunds Management Berhad
- Hong Leong Asset Management Berhad
- Kenanga Investors Berhad
- Manulife Investment Management (M) Berhad
- Principal Asset Management Berhad
- Public Mutual Berhad
- RHB Asset Management Berhad
Anda boleh melabur dalam dana PRS melalui cawangan atau laman sesawang penyedia ini. Selain itu, platform pelaburan digital seperti FSMOne dan Versa turut membolehkan anda membandingkan dan melabur dalam pelbagai dana PRS dalam satu tempat dengan kelebihan seperti tiada caj jualan dan alat perbandingan dana yang lebih mudah.
Caruman PRS
Berbeza dengan KWSP, anda bebas menentukan jumlah dan masa caruman PRS. Tiada keperluan untuk memperuntukkan sebahagian gaji setiap bulan pada kadar tetap. Jumlah caruman bergantung sepenuhnya kepada kemampuan dan kesediaan anda.
Kebiasaannya, pelaburan permulaan minimum adalah sekitar RM100, menjadikan PRS mudah diakses oleh kebanyakan rakyat Malaysia. Jika anda tidak pasti berapa jumlah yang perlu disimpan, kalkulator persaraan PPA boleh membantu menganggarkan sasaran simpanan berdasarkan matlamat persaraan anda.
Adakah Pelaburan PRS Selamat?
Tiada pelaburan yang benar-benar bebas risiko. PRS membolehkan anda menyesuaikan pilihan pelaburan mengikut toleransi risiko, namun tahap risiko ini akan mempengaruhi pulangan yang dijangka. Seperti pelaburan lain, PRS tidak dilindungi oleh PIDM. Jika prestasi dana tidak memberangsangkan, nilai pelaburan anda boleh menjadi lebih rendah daripada jumlah yang disumbangkan.
Oleh itu, penyedia PRS diwajibkan menawarkan sekurang-kurangnya tiga dana teras dengan tahap risiko berbeza, iaitu dana Konservatif, Sederhana dan Pertumbuhan.
Anda juga tidak terikat dengan satu pilihan sahaja. Pelaburan boleh dibuat dalam dana daripada beberapa penyedia PRS untuk tujuan kepelbagaian. Pertukaran dana dalam penyedia yang sama biasanya boleh dilakukan pada bila-bila masa, tertakluk kepada terma dokumen pendedahan (disclosure document). Untuk pertukaran antara penyedia PRS, ia dibenarkan sekali setahun selepas tahun pertama caruman, dengan kemungkinan caj pemindahan.
Sesetengah dana PRS turut menawarkan ciri imbangan semula automatik atau glide path, khususnya dalam Dana Tarikh Sasaran. Dana ini akan menukar pelaburan daripada agresif kepada lebih konservatif apabila anda semakin hampir dengan usia persaraan.
Bagi memaksimumkan manfaat PRS, sedikit pengetahuan pasaran adalah satu kelebihan kerana anda dapat membuat keputusan yang lebih bijak tentang dana yang dipilih dan masa yang sesuai untuk menukar pelaburan.
Pelepasan Cukai Pendapatan PRS
Salah satu tarikan utama PRS ialah manfaat cukai. Anda boleh menolak sehingga RM3,000 setahun daripada pendapatan bercukai, sekali gus mengurangkan cukai yang perlu dibayar. Keuntungan daripada pelaburan PRS juga dikecualikan daripada cukai, termasuk cukai Pendapatan Sumber Asing.
Pelepasan cukai ini telah dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2030 seperti diumumkan dalam Belanjawan 2025. Bergantung kepada kadar cukai anda, caruman RM3,000 boleh menjimatkan cukai sehingga RM840 setahun.
Pengeluaran PRS
Caruman PRS anda akan dibahagikan secara automatik kepada dua sub-akaun dengan nisbah 70:30.
- Sub-Akaun A (70%): Hanya boleh dikeluarkan apabila mencapai umur persaraan 55 tahun, sekiranya berlaku kematian, atau jika anda meninggalkan Malaysia secara kekal.
- Sub-Akaun B (30%): Membenarkan satu pengeluaran sebelum persaraan setiap tahun. Walau bagaimanapun, pengeluaran ini akan dikenakan penalti cukai sebanyak 8% kecuali jika digunakan untuk tujuan perumahan atau perubatan.
Apabila anda mencapai umur 55 tahun, pengeluaran daripada kedua-dua sub-akaun boleh dibuat tanpa sebarang penalti.
Bagaimana Cara Untuk Mula Menyumbang ke Dana PRS?
Untuk memulakan caruman, anda perlu membuka akaun PPA melalui laman sesawang rasmi PPA dengan bayaran pembukaan sekali sahaja sebanyak RM10. Selepas itu, anda boleh menyumbang ke mana-mana dana PRS pilihan melalui PRS Online di laman sesawang PPA atau secara terus di cawangan penyedia PRS.
Kini, kebanyakan penyedia PRS juga menawarkan platform digital dan aplikasi mudah alih bagi memudahkan pengurusan akaun PRS secara dalam talian.
Bolehkah Majikan Membuat Caruman PRS Untuk Pekerja?
Ya, majikan boleh membuat caruman PRS secara sukarela untuk pekerja mereka. Langkah ini memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. Majikan boleh menawarkan PRS sebagai skim pencen swasta bersama faedah lain seperti insurans perubatan bagi menarik dan mengekalkan pekerja berkualiti. Selain itu, majikan layak menerima pengecualian cukai ke atas caruman sehingga 19% daripada gaji asas pekerja.
Patutkah Anda Mula Menyumbang ke PRS?
Jika anda sudah mencarum kepada KWSP tetapi bimbang simpanan tersebut tidak mencukupi, PRS mungkin pilihan yang sesuai. PRS wajar dipertimbangkan jika:
- Anda ingin menyimpan lebih daripada apa yang disediakan oleh KWSP
- Anda bekerja sendiri atau bergaji tidak tetap
- Anda mempunyai pendapatan lebihan dan ingin mengurangkan cukai
- Anda selesa dengan risiko pelaburan untuk pulangan yang berpotensi lebih tinggi
- Anda mahukan kawalan terhadap cara dana persaraan dilaburkan
Mulakan Dengan Jumlah Kecil Dan Secara Berperingkat
Anda tidak perlu bermula dengan jumlah yang besar. Dengan serendah RM100, anda sudah boleh membuka akaun PRS dan membina dana persaraan kedua. Apabila pendapatan meningkat, tambah caruman anda untuk memaksimumkan pelepasan cukai tahunan sebanyak RM3,000.
Kunci utama adalah dengan bermula sekarang. Dengan pelepasan cukai yang dilanjutkan sehingga 2030 dan sasaran persaraan yang semakin meningkat, setiap tahun penangguhan bermaksud peluang pertumbuhan simpanan yang terlepas.
Bersedia untuk memulakannya? Layari laman sesawang PPA untuk membuka akaun PRS anda hari ini.
Mahukan lebih banyak tip kewangan praktikal? Sertai saluran rasmi WhatsApp RinggitPlus untuk kemas kini berkala.
