Selama ini, ramai golongan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan terpaksa bergantung pada individu lain setiap kali mahu menempah perkhidmatan e-hailing. Maxim E-Hailing Malaysia baru-baru ini mengambil langkah proaktif untuk mengubah keadaan itu.
Pada 17 April 2026, Maxim bersama Persatuan Orang Buta Malaysia menganjurkan Seminar Mobiliti Inklusif 2026 di Wisma SBM, Kuala Lumpur.
Kira-kira 40 peserta yang mengalami masalah penglihatan hadir untuk belajar menggunakan aplikasi Maxim secara berdikari melalui sokongan voice talkback dan pembaca skrin (screen reader).
Peserta Dibimbing Untuk Buat Tempahan Sendiri Guna Arahan Suara
Pengisian utama seminar ini bukan sekadar pembentangan. Malah, peserta terus dibimbing membuat tempahan menggunakan arahan suara dengan memasukkan destinasi, menavigasi aplikasi, dan mensimulasikan permintaan perjalanan.
Sepanjang sesi itu, fasilitator akan memastikan setiap peserta dapat belajar menggunakan ciri-ciri terbabit mengikut cara sendiri.
Salah seorang peserta demonstrasi langsung itu yang dikenali sebagai Farahin memaklumkan bahawa ia merupakan satu pengalaman bermakna bagi dirinya kerana dapat menavigasi aplikasi dan menguruskan perjalanan sendiri dengan lebih yakin.
“Saya berpeluang untuk merasai sendiri pengalaman membuat tempahan secara berdikari semasa demonstrasi langsung dengan bimbingan daripada pihak Maxim,” kata Farahin.
Ada Tambang Khas untuk Pengguna OKU
Selain sesi teknikal, peserta juga diterangkan tentang tambang mesra OKU Maxim termasuk syarat kelayakan, langkah pendaftaran, dan struktur harga yang ditawarkan.
Perkara ini penting kerana kebolehcapaian bukan hanya soal teknologi. Malah, harga yang berpatutan juga memainkan peranan dalam memastikan komuniti OKU benar-benar dapat menggunakan perkhidmatan ini dalam kehidupan harian mereka.
Di penghujung program ini, satu simulasi perjalanan sebenar turut dijalankan bersama pemandu Maxim yang telah ditetapkan. Peserta terpilih berpeluang menaiki kenderaan dan berinteraksi secara langsung dengan pemandu termasuk berkomunikasi mengenai lokasi pengambilan dalam persekitaran yang terkawal.
MOU Antara Maxim dan Persatuan Orang Buta Malaysia
Seminar ini merupakan sebahagian daripada tindakan lanjut kepada Memorandum Persefahaman (MOU) yang telah dimeterai antara Maxim E-Hailing Malaysia dan Persatuan Orang Buta Malaysia, sebagai komitmen bersama untuk memperluaskan akses mobiliti kepada komuniti cacat penglihatan.
Ketua Bahagian Kuala Lumpur Maxim E-Hailing Malaysia, Syed Abdul Syarif berkata, teknologi yang mesra akses tidak seharusnya menjadi satu ciri tambahan, sebaliknya perlu menjadi satu standard.
“Seminar ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kami untuk menjadikan mobiliti harian lebih inklusif dan memperkasa semua,” jelas Syed Abdul Syarif.
Timbalan Presiden Persatuan Orang Buta Malaysia, Dr Ahmad Shamsuri turut menyatakan bahawa inisiatif seperti ini memberikan pendedahan yang bermakna serta membantu ahli persatuan membina keyakinan untuk bergerak secara berdikari.
Untuk makluman, Maxim mula beroperasi di Malaysia pada 2019, bermula di Kuantan sebelum berkembang ke seluruh negara. Syarikat ini menyediakan perkhidmatan e-hailing dan penghantaran yang mematuhi undang-undang Malaysia sepenuhnya.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
