3 Aplikasi Ini Boleh Tukarkan Sisa Plastik Di Rumah Anda Jadi Bernilai

KONGSI

Beberapa aplikasi kitar semula memberi bayaran ke dalam akaun bank atau e-Wallet Touch ‘n Go anda untuk setiap kilogram (kg) sisa plastik yang anda berikan. KITARecycle, Riiicycle, dan Recircle merupakan antara platform yang wujud di Malaysia. Ketiga-tiga aplikasi tersebut beroperasi dengan cara tersendiri tetapi memegang matlamat yang sama, iaitu untuk menjadikan beg plastik dalam almari dapur anda sesuatu yang bernilai.

Sejak 2024, Malaysia berdepan tekanan yang semakin meningkat dalam pengurusan sisa pepejal perbandaran. Menurut MalayMail, negara ini menghasilkan kira-kira 39,000 tan sisa pepejal perbandaran setiap hari, dan plastik menyumbang lebih 20% daripada jumlah itu, berdasarkan data Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Malaysia turut mencatat kedudukan tertinggi antara enam negara utama Asia dari segi penggunaan plastik per kapita tahunan, menurut World Wide Fund for Nature (WWF).” 

KITARecycle Manfaatkan Infrastruktur Sedia Ada

KITARecycle yang dikendalikan oleh SWM Environment Sdn Bhd merupakan salah satu daripada tiga syarikat utama yang menguruskan sisa pepejal di Malaysia. Ia beroperasi di negeri-negeri selatan seperti Johor, Melaka dan Negeri Sembilan, dan menggunakan sistem kutipan sisa yang sedia ada di kawasan tersebut. Anda hanya perlu cetak kod QR dalam aplikasi, lekatkan pada beg sisa yang sudah diasingkan, letak dalam sangkar kitar semula berhampiran rumah, dan biarkan kakitangan konsesi timbang serta imbas semasa mereka mengambilnya. Sistem akan terus mengkreditkan Mata Kitar Semula ke akaun anda, dan mata itu boleh dicairkan terus ke bank.

Menerusi semakan kami di portal KITARecycle, selain plastik, anda juga boleh mengitar semula buku dan majalah, surat khabar, kadbod, aluminium serta skrap logam. Aplikasi ini boleh dimuat turun di Google Play dan App Store.

Riiicycle dan Recircle Sasar Kawasan Bandar

Dua lagi aplikasi iaitu Riiicycle dan Recircle adalah platform sektor swasta yang mengambil pendekatan berbeza kerana mereka menyasarkan kawasan padat penduduk seperti di Lembah Klang dan Pulau Pinang. 

Riiicycle meletakkan Mesin Kutipan Pintar (SCM) automatik di pusat beli-belah dan lobi bangunan komersial, jadi anda cuma perlu imbas, masukkan plastik dan mesin akan terus kira berat serta beri mata ganjaran. Bagi anda yang ingin mengetahui maklumat lanjut atau lokasi SCM berdekatan tempat tinggal anda, boleh layari portal Riiicycle serta muat turun aplikasi di App Store dan Google Play.

Recircle pula berfungsi sebagai perkhidmatan kutipan atas permintaan yang lebih sesuai untuk isi rumah atau pejabat kecil yang menghasilkan banyak sisa dalam satu masa. Anda hanya perlu membuat tempahan kutipan melalui aplikasi, kemudian pengumpul tempatan yang disahkan akan datang ke rumah anda, timbang dan bayar terus di situ juga. Tinjauan kami di portal Recircle mendapati mereka turut menerima minyak masak terpakai, tayar, perabot terpakai, kertas dan surat khabar, logam, kartrij dakwat, barangan elektronik dan bateri kereta. Muat turun aplikasi Recircle di App Store dan Google Play.

Kenali Kod Plastik Sebelum Kitar Semula

Tidak semua plastik yang ada di rumah anda mempunyai nilai yang sama. Botol air mineral dan minuman berkarbonat dikenali sebagai PET (Kod 1) adalah yang paling laku kerana boleh dikitar semula menjadi gentian sintetik dan botol baharu. Bekas detergen dan botol syampu pula dengan kod HDPE (Kod 2) merupakan sejenis bahan tahan lasak dan sentiasa mendapat permintaan daripada industri pembuatan paip dan bekas. Beg runcit, pembalut makanan, dan straw plastik yang tergolong dalam kategori LDPE dan PP (Kod 4 dan 5) pula merupakan jenis paling rendah nilainya kerana mudah tercemar dan tidak semua platform menerimanya. Sebagai panduan tambahan, cara paling mudah untuk kenal pasti jenisnya ialah lihat kod segitiga kitar semula yang tertera pada bahagian bawah bekas plastik.

Anda juga perlu mengasingkan plastik mengikut jenisnya dengan betul sebelum diserahkan untuk kitar semula kerana kelompok yang bercampur jenis atau tercemar biasanya terus ditolak oleh pemproses sebab ia berisiko menyebabkan mesin tersumbat semasa proses meleburkan plastik.

3kg Botol PET Boleh Jana Duit Sehingga RM2.40

Sebagai contoh, jika anda mempunyai 3kg botol jenis PET yang ingin diserahkan untuk kitar semula melalui KITARecycle, setiap kg boleh menghasilkan lebih kurang 30 hingga 45 Mata Kitar Semula, jadi 3kg anda boleh ditukar kepada wang tunai bernilai kira-kira RM1.50 hingga RM2 apabila dipindahkan ke akaun bank. Kalau anda pergi sendiri ke kiosk pintar di Putrajaya atau Lembah Klang dengan botol dalam keadaan bersih, kadarnya lebih tinggi, mencecah RM2.40 untuk jumlah 3kg yang sama.

Perlu diingatkan, kadar ini boleh berubah ikut platform dan masa. Jadi anda perlu semak aplikasi masing-masing untuk angka terkini sebelum menghantar sisa.

Cara Maksimumkan Hasil Kitar Semula

Kalau nak memaksimumkan hasil, cuci terlebih dahulu sebelum anda menyimpan kerana sisa cecair atau makanan boleh menurunkan gred kelompok anda di mata pemproses. Hancurkan botol supaya storan rumah anda tak cepat penuh dan anda boleh kumpul lebih banyak sebelum hantar. Asingkan penutup botol daripada badan botol juga penting kerana kilang uruskan HDPE dan PET secara berasingan, walaupun kedua-duanya datang dari botol yang sama.

Anda Boleh Jimat Sehingga RM50 Sebulan

Menurut Malaymail, anggaran rasmi menunjukkan sehingga 40% sisa isi rumah biasa sebenarnya bahan boleh kitar semula yang bernilai. Jika purata isi rumah menghasilkan 140.4kg sisa sebulan, ia bermakna (140.4kg x 0.4) 56.16kg daripadanya sebenarnya plastik yang boleh ditukar menjadi duit. Untuk isi rumah pinggir bandar yang konsisten buat pengasingan, jumlah ini boleh mencecah RM30 hingga RM50 sebulan dalam bentuk kredit e-dompet dan cukup untuk menampung kos tol Touch ‘n Go atau sebahagian bil utiliti asas.

Kitar Semula Bukan Jalan Penyelesaian

Walau bagaimanapun, jangan salah anggap bahawa ini adalah penyelesaian kepada masalah pencemaran plastik. Kumpulan alam sekitar seperti Greenpeace menegaskan bahawa langkah yang paling berkesan bukanlah dengan mengitar semula selepas plastik menjadi sisa, tetapi dengan cara mengurangkan pengeluarannya dari awal dengan sasaran memotong sekurang-kurangnya 75% pengeluaran plastik bermula dengan barangan sekali guna seperti beg. 

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.   

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen