Jika anda pemegang kad kredit Islamik (kad kredit-i), anda mungkin telah menerima notis daripada bank berkaitan Penukaran Kontrak Syariah atau Shariah Contract Replacement. Bagi ramai pengguna, istilah ini kedengaran teknikal dan agak mengelirukan. Namun hakikatnya, ia merujuk kepada satu perubahan penting yang sedang dilaksanakan secara menyeluruh dalam industri perbankan Islam di Malaysia.
Antara Oktober hingga Disember 2025, tujuh bank Islamik di Malaysia akan melaksanakan penukaran kontrak kad kredit Islamik daripada struktur Ujrah kepada Tawarruq. Perubahan ini melibatkan berjuta-juta pemegang kad di seluruh negara dan menandakan satu fasa baharu dalam penyelarasan amalan perbankan Islam.
Persoalannya, mengapa bank-bank beralih kepada Tawarruq, dan apakah kesannya kepada anda sebagai pemegang kad? Dalam artikel ini, kami kongsikan penerangan lengkap serta pilihan yang tersedia untuk membantu anda memahami perubahan ini dengan lebih jelas.
Apakah Maksud Penukaran Kontrak Syariah?
Kad kredit Islamik bukanlah sekadar kad kredit konvensional yang dijenamakan semula. Sebaliknya, ia beroperasi berdasarkan kontrak Syariah tertentu bagi memastikan semua transaksi bebas daripada riba dan mematuhi prinsip Syariah.
Sebelum ini, kebanyakan bank Islamik menggunakan struktur Ujrah, di mana kemudahan kredit disediakan melalui kontrak Qard (pinjaman tanpa faedah), manakala bank mengenakan fi perkhidmatan untuk pengurusan kad. Ringkasnya, struktur ini menggabungkan dua kontrak berasingan, satu untuk kemudahan kredit dan satu lagi untuk perkhidmatan kad.
Kini, kebanyakan bank Islam di Malaysia menggunakan konsep Tawarruq, yang juga dikenali sebagai Commodity Murabahah, sebagai asas kepada struktur kad kredit Islam. Melalui mekanisme ini, had kredit kad tidak diwujudkan melalui pinjaman tunai, sebaliknya melalui transaksi jual beli komoditi yang patuh Syariah.
Bagaimana Tawarruq Berfungsi?
Secara ringkas, Tawarruq melibatkan beberapa peringkat transaksi yang berlaku secara automatik sebaik sahaja anda terus menggunakan kad selepas tarikh penukaran atau kelulusan.
1. Anda Melantik Bank Sebagai Ejen (Wakalah)
Dengan meneruskan penggunaan kad, anda secara automatik memberi kuasa kepada bank untuk membeli dan menjual komoditi bagi pihak anda. Dalam peranan ini, bank bertindak sebagai ejen pembelian untuk memperoleh komoditi dan juga sebagai ejen jualan untuk menjual komoditi tersebut kepada pihak lain.
2. Jual Beli Pertama: Bai’ Murabahah (Jual Beli Dengan Untung)
Seterusnya, Bank sebagai ejen pembelian anda, akan membeli komoditi seperti minyak sawit mentah atau logam daripada penjual komoditi pihak ketiga pada harga kos. Komoditi ini kemudian dijual kepada anda melalui kontrak Bai’ Murabahah, di mana harga kos dan kadar keuntungan bank dinyatakan dengan jelas. Pembelian ini dibuat secara bayaran bertangguh, yang mewakili kewajipan hutang anda kepada bank.
Sebagai contoh, jika bank membeli komoditi pada harga RM10,000 dan mengenakan keuntungan tahunan sebanyak 18%, bank akan menjual komoditi tersebut kepada anda pada harga kos berserta keuntungan yang dipersetujui, dengan bayaran dibuat secara ansuran atau tertangguh.
3. Jual Beli Kedua: Jualan Tunai (Spot Sale)
Selepas itu, Bank sebagai ejen jualan anda, akan menjual komoditi yang sama kepada pembeli komoditi lain secara serta-merta (spot payment basis). Hasil jualan tunai inilah yang kemudiannya dijadikan sebagai had kredit yang tersedia dalam kad anda.
4. Anda Menggunakan Had Kredit Seperti Kad Kredit Biasa
Had kredit ini boleh digunakan seperti kad kredit biasa untuk pembelanjaan harian. Setiap kali anda membuat bayaran balik, jumlah tersebut akan menambah semula had kredit yang boleh digunakan. Dari sudut Syariah, baki yang tersedia ini diklasifikasikan sebagai Dayn, iaitu hutang patuh Shariah, manakala bayaran balik anda disimpan oleh bank di bawah konsep Wadi’ah atau amanah.
Sekiranya terdapat had yang tidak digunakan, jumlah tersebut akan diselesaikan melalui proses Muqasah, iaitu penolakan bersih antara baki hutang dan harga jualan bank, sama ada semasa pembaharuan kad atau penutupan akaun.
Kenapa Proses Ini Tidak Kelihatan Kepada Pengguna?
Keseluruhan proses jual beli komoditi ini berlaku secara automatik melalui Bursa Suq Al-Sila’ (BSAS), sebuah platform yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Sebagai pemegang kad, anda tidak perlu membeli atau menjual komoditi sendiri, menguruskan dokumentasi, atau melakukan sebarang tindakan tambahan. Bank mengendalikan semua urusan ini sebagai ejen anda, manakala anda hanya menggunakan kad seperti biasa.

Mengapa Bank Beralih ke Tawarruq untuk Kad Kredit Islamik?
Penukaran kontrak ini bukan keputusan yang dibuat oleh sebuah bank sahaja. Ia merupakan langkah penyelarasan di peringkat industri perbankan Islam yang diselia oleh Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM), selaras dengan garis panduan Syariah yang BNM telah tetapkan.
Isu Struktur Ujrah dalam Kad Kredit Islamik
Di bawah struktur Ujrah, kad kredit Islamik menggabungkan Qard sebagai kemudahan kredit dan fi perkhidmatan untuk pengurusan kad. Walaupun kedua-dua kontrak ini patuh Syariah, resolusi Syariah dari BNM menekankan bahawa fi perkhidmatan tidak seharusnya bergantung kepada pinjaman.
Memandangkan penggunaan kad kredit itu sendiri melibatkan Qard, struktur ini memerlukan pemisahan dan penjelasan kontrak yang lebih jelas bagi memastikan tiada manfaat bersyarat daripada pinjaman, selari dengan keperluan Syariah semasa.
Struktur Tawarruq Lebih Sesuai untuk Kad Kredit Islamik
Sebagai penyelesaian, industri perbankan Islam beralih kepada struktur Tawarruq. Tawarruq berasaskan transaksi jual beli sebenar, di mana keuntungan diperoleh melalui margin jualan dan bukannya daripada pinjaman.
Pendekatan ini membolehkan struktur kontrak yang lebih jelas, selain memudahkan pematuhan terhadap prinsip Syariah dan resolusi yang ditetapkan oleh BNM.
Nota penting: Kedua-dua struktur Ujrah dan Tawarruq adalah patuh Syariah dan telah diluluskan oleh badan Syariah masing masing. Penukaran ini dibuat bagi menyeragamkan amalan industri serta memastikan produk kad kredit Islamik kekal selari dengan rangka kawal selia dan garis panduan Syariah terkini.
Apa yang Perlu Dilakukan bagi Pemegang Kad?
Bagi kebanyakan pemegang kad, tiada tindakan diperlukan. Penggunaan kad selepas tarikh penukaran dianggap sebagai persetujuan terhadap kontrak baharu.
Jika anda terus menggunakan kad seperti biasa selepas tarikh penukaran, ini bermakna anda telah memberikan persetujuan secara automatik terhadap perkara berikut:
- Anda menerima struktur Tawarruq yang baharu sebagai kontrak Syariah kad kredit anda.
- Anda melantik bank sebagai ejen untuk melaksanakan transaksi komoditi bagi pihak anda.
- Anda tertakluk kepada terma dan syarat kad kredit yang telah dikemas kini.
Perkara yang Kekal Sama Selepas Penukaran
- Kad anda masih boleh digunakan seperti biasa. Tiada keperluan untuk kad baru atau nombor baharu.
- Had kredit tetap sama. Contohnya, jika had kredit RM10,000 sebelum penukaran, ia kekal RM10,000.
- Semua manfaat kad kekal termasuk pulangan tunai, mata ganjaran, akses lounge lapangan terbang, insurans pelancongan, dan lain-lain.
- Yuran tahunan tidak berubah. Jika percuma seumur hidup, ia tetap percuma. Jika ada yuran, jumlahnya kekal.
- Kadar caj keseluruhan untuk baki tertunggak tidak berubah. Contohnya, kadar efektif 18% setahun sebelum ini kekal sama.
- Had Kod Kategori Saudagar (Merchant Category Code – MCC) untuk memastikan perbelanjaan halal masih berkuat kuasa. Kad akan menolak transaksi di peniaga haram secara automatik.
- Pelan ansuran sedia ada seperti pindahan baki, pelan wang pendahuluan, pelan pembayaran ansuran, atau pelan mudah kekal sama.
- Tempoh tanpa caj atau grace period tetap 20 hingga 25 hari dari tarikh penyata.
- Struktur caj lewat bayar kekal sama.
- Semua arahan automatik untuk bayaran utiliti, Takaful, dan lain-lain terus berfungsi tanpa gangguan.
Perkara yang Berubah Selepas Penukaran
- Pengiraan kad kini beralih daripada sistem berasaskan fi pengurusan kepada sistem berasaskan harga jualan. Walau bagaimanapun, bank menegaskan bahawa jumlah caj bersih yang anda bayar tetap sama.
- Terma dan syarat kad dikemas kini untuk mencerminkan kontrak Tawarruq baharu. Bank akan menghantar versi terkini melalui emel, aplikasi perbankan, atau penyata kad kredit.
- Kontrak Tawarruq mempunyai tempoh tertentu (contohnya 5 tahun bagi Maybank) dan akan diperbaharui secara automatik pada akhir tempoh mengikut keperluan Syariah.
Terminologi Dalam Penyata Mulai Januari 2026
Beberapa istilah baharu akan digunakan dalam penyata kad kredit anda:
Istilah Baharu:
- Bank’s Sale Price – Jumlah maksimum yang perlu dibayar, termasuk kos belian bank ditambah keuntungan.
- Bank’s Purchase Price – Kos asal bank membeli komoditi, biasanya sama dengan had kredit anda atau had kredit + 50% untuk beberapa bank.
- Total Profit / Ceiling Profit Rate – Jumlah keuntungan maksimum yang boleh dikenakan, sebahagian daripada Bank’s Sale Price.
Istilah Lama Yang Diganti:
- Fixed Management Fee (FMF) → Ceiling Profit Rate / Charge
- Actual Management Fee (AMF) → Effective Profit Rate / Charge
- Management Fee → Profit Charge
Bilakah Bank Akan Beralih ke Struktur Tawarruq?
Bank Simpanan Nasional (BSN)
Tarikh pelaksanaan: 25 Oktober 2025 (SUDAH DILAKSANAKAN)
BSN adalah bank pertama yang melaksanakan penukaran daripada Ujrah kepada Tawarruq. Semua kad kredit Islamik BSN yang aktif kini beroperasi di bawah kontrak Tawarruq, termasuk:
- Kad Kredit BSN Al-Aiman Visa/Mastercard Klasik
- Kad Kredit BSN Al-Aiman Visa/Mastercard Emas
- Kad Kredit BSN Al-Aiman Visa/Mastercard Platinum
- Kad Kredit BSN-Teachers Al-Aiman Emas
- Kad Kredit BSN G-Card Al-Aiman Visa
- Kad Kredit BSN-UUM Al-Aiman Mastercard Emas
- Kad Kredit BSN-UUM Al-Aiman Mastercard Platinum
- Kad-i Korporat BSN Visa
Sekiranya anda pemegang kad BSN, kad anda kini berlandaskan kontrak Tawarruq secara automatik.
HSBC Amanah
Tarikh pelaksanaan: 9 Disember 2025 (SUDAH DILAKSANAKAN)
Semua kad kredit Islamik HSBC Amanah yang aktif kini beralih daripada Ujrah kepada Tawarruq, termasuk:
- HSBC Amanah MPower Platinum Credit Card-i
- HSBC Amanah Premier World Mastercard Credit Card-i
- HSBC Amanah MPower Credit Card-i
Sekiranya anda pemegang kad HSBC Amanah, kad anda kini beroperasi di bawah kontrak Tawarruq secara automatik.
AmBank Islamic
Tarikh pelaksanaan: 17 Disember 2025
Semua kad kredit Islamik yang aktif akan beralih daripada Ujrah kepada Tawarruq, termasuk:
- AmBank SIGNATURE Priority Banking Credit Card-i
- AmBank SIGNATURE Priority Banking World Mastercard-i
- AmBank Islamic Visa Infinite Card-i
- AmBank Islamic World Mastercard-i
- AmBank Islamic Visa Signature Card-i
- AmBank Islamic Al-Taslif Platinum & Gold Card-i
- AmBank Islamic CARz Platinum & Gold Card-i
- e-Cosway
Tarikh akhir untuk menarik diri: Sebelum 17 Disember 2025
RHB Islamic
Tarikh pelaksanaan: 18 Disember 2025
Semua kad kredit Islamik yang aktif akan beralih daripada Ujrah kepada Tawarruq, termasuk:
- RHB Islamic Cash Back Credit Card-i
- RHB Islamic Rewards Visa Credit Card-i
- RHB World MasterCard Credit Card-i
- Semua kad kredit Islamik RHB yang lain
Tarikh akhir untuk menarik diri: Sebelum 18 Disember 2025
Maybank Islamic
Tarikh pelaksanaan: 26 Disember 2025
Semua kad kredit Islamik yang aktif akan beralih daripada Ujrah kepada Tawarruq, termasuk:
- Maybank Islamic Ikhwan Card (semua varian)
- Maybank Islamic Visa/MasterCard
- Maybank Islamic Visa Signature
- Semua kad Maybank Islamic untuk pengguna dan komersial
Tarikh akhir untuk menarik diri: 23 Disember 2025
Public Islamic Bank (PIBB)
Tarikh pelaksanaan: Akhir Disember 2025 (tarikh tepat akan dimaklumkan)
Semua kad kredit Islamik yang aktif akan beralih daripada Ujrah kepada Tawarruq, termasuk:
- Public Islamic Bank Platinum MasterCard Credit Card-i
- Public Islamic Bank Gold MasterCard Credit Card-i
- Public Islamic Bank Visa Platinum Credit Card-i
- Public Islamic Bank Visa Gold Credit Card-i
Tarikh akhir untuk menarik diri: Akan diumumkan (kemungkinan beberapa hari sebelum pelaksanaan)
CIMB Islamic
Tarikh pelaksanaan: 1 Januari 2026
Semua kad kredit Islamik yang aktif akan beralih daripada Ujrah kepada Tawarruq, termasuk:
- CIMB PETRONAS Visa Platinum-i
- CIMB PETRONAS Visa Infinite-i
- CIMB Platinum-i MasterCard
- CIMB Preferred Visa Infinite-i
Tempoh penukaran: 21 Disember 2025 hingga 5 Januari 2026
Tarikh akhir untuk menarik diri: 20 Disember 2025
Nota penting: Semasa tempoh penukaran, permohonan kad baharu akan terus diluluskan tetapi penghantaran kad mungkin ditangguhkan untuk memastikan peralihan berjalan lancar.
Bank Yang Tidak Terlibat Dalam Penukaran
Bank-bank Islamik berikut tidak terlibat kerana kad kredit Islamik mereka sudah menggunakan Tawarruq:
- Bank Islam Malaysia Berhad – menggunakan Tawarruq sejak awal
- Bank Muamalat Malaysia – menggunakan Tawarruq sejak awal
Jika anda merupakan pemegang kad kredit Islamik dari bank-bank ini, tiada sebarang perubahan akan berlaku.
Apakah Pilihan Lain jika Tidak Bersetuju dengan Penukaran Ini?
Sekiranya anda tidak bersetuju dengan penukaran kontrak Syariah dan ingin menarik diri, pilihan anda adalah terhad. Anda tidak boleh mengekalkan kad dengan struktur lama. Menarik diri bermaksud menutup kad.
Pilihan A: Tutup Kad dan Selesaikan Baki Tertunggak
- Hubungi bank sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.
- Selepas permintaan diterima, akses kad anda untuk transaksi baharu akan ditutup.
- Bayar penuh semua baki tertunggak termasuk yuran dan caj lain sebelum tarikh penukaran.
- Bank tidak akan mengenakan yuran pembatalan untuk proses ini.
Pilihan B: Rundingan Penyelesaian Alternatif
Jika anda menghadapi kesulitan kewangan, semua bank menyediakan perbincangan penyelesaian alternatif. Anda boleh menghubungi bank untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Perkara yang Perlu Dipertimbangkan Sebelum Menarik Diri
- Penukaran kontrak kad kredit daripada Ujrah kepada Tawarruq bukan keputusan dari satu bank sahaja. Ia merupakan usaha bersepadu yang dipandu oleh AIBIM dan BNM untuk menyeragamkan amalan industri.
- Kedua-dua kontrak, Ujrah dan Tawarruq, telah diluluskan oleh Shariah Advisory Council (SAC) bank masing-masing serta SAC BNM. Tawarruq dipilih kerana lebih selaras dengan amalan semasa.
- Hampir semua bank Islamik di Malaysia akan menggunakan kontrak Tawarruq selepas penukaran. Menutup kad dan memohon kad Islamik baru berkemungkinan besar akan tetap menggunakan kontrak yang sama.
- Menutup kad boleh memberi kesan kepada kredit anda, terutamanya untuk kad yang lama atau kad dengan had kredit tinggi.
Soalan-Soalan Lazim (FAQ)
1. Adakah penukaran ini meningkatkan kos kad kredit saya?
Tidak. Caj keseluruhan yang anda bayar tidak berubah. Walaupun struktur pengiraan diubah daripada Ujrah ke Tawarruq, kadar keuntungan untuk baki tertunggak, yuran tahunan, bayaran lewat, dan caj lain tetap sama. Contohnya, jika kadar efektif anda 18% setahun sebelum ini, ia kekal 18% setahun selepas penukaran.
2. Bolehkah saya menolak penukaran ini dan kekalkan kontrak lama?
Tidak. Anda hanya boleh menolak kontrak Tawarruq dengan menutup kad sepenuhnya dan menyelesaikan semua baki tertunggak. Menarik diri bermaksud kad anda akan ditutup, dan anda tidak boleh mengekalkan struktur Ujrah yang lama.
3. Adakah penukaran ini bermakna kad lama saya tidak patuh Syariah?
Tidak sama sekali. Kedua-dua kontrak Ujrah dan Tawarruq adalah patuh Syariah dan telah diluluskan oleh SAC bank masing-masing dan SAC BNM. Penukaran ini bertujuan menyelaraskan amalan industri dan memastikan keseragaman, bukannya merubah status patuh Syariah kad anda.
4. Perlu ke saya memohon semula kad atau menerima kad baharu?
Tidak perlu. Kad fizikal yang anda pegang sekarang tetap boleh digunakan dengan nombor kad, had kredit, dan tarikh luput yang sama. Perubahan hanya berlaku pada kontrak Syariah di belakang tabir. Tiada kad baharu atau nombor baru diperlukan.
5. Adakah ganjaran, manfaat, dan pelan ansuran saya terjejas?
Tidak. Semua ganjaran, pulangan tunai, mata, dan manfaat tetap sama. Pelan ansuran sedia ada seperti pindahan baki, EzyPay-i, dan pelan bayaran mudah akan terus berfungsi mengikut terma asal sehingga tamat. Penukaran hanya menukar kontrak Syariah, bukan ciri kad yang anda lihat atau gunakan.
6. Bagaimana penyata kad saya akan berbeza selepas penukaran?
Anda akan melihat istilah baharu seperti Bank’s Sale Price, Bank’s Purchase Price, dan Ceiling Profit Rate. Walaupun istilah berubah, fungsi asas penyata tetap sama dimana ia menunjukkan baki tertunggak, bayaran minimum, dan caj (jika ada). Penyata pertama dengan terminologi baru akan muncul pada kitaran bil bulan Januari atau Februari 2026.
7. Apa yang perlu saya lalukan sekarang?
Kebanyakan pemegang kad tidak perlu mengambil sebarang tindakan. Terus gunakan kad seperti biasa selepas tarikh penukaran untuk secara automatik bersetuju dengan kontrak Tawarruq. Jika anda TIDAK bersetuju dan ingin menarik diri, hubungi bank sebelum tarikh akhir untuk menutup kad dan menyelesaikan baki tertunggak. Tiada penalti dikenakan, tetapi baki mesti diselesaikan sepenuhnya.
8. Adakah penukaran ini akan muncul dalam laporan CCRIS atau kredit saya?
Tidak. Penukaran kontrak Syariah tidak memberi kesan kepada laporan CCRIS atau skor kredit anda. Akaun kad anda akan terus dikekalkan seperti sebelum penukaran.
9. Bagaimana pula dengan e-wallet atau Touch ‘n Go yang terpaut dengan kad?
Semua pautan e-wallet anda seperti Touch ‘n Go, GrabPay, atau Boost akan terus berfungsi seperti biasa tanpa sebarang gangguan. Anda tidak perlu membuat sebarang tindakan tambahan.
10. Siapa yang boleh dihubungi jika saya masih keliru?
Setiap bank menyediakan khidmat pelanggan yang khusus untuk membantu pemegang kad memahami penukaran kontrak ini. Anda boleh menghubungi khidmat pelanggan, melawat cawangan bank, menggunakan live chat dalam aplikasi, atau menghantar emel. Staf telah dilatih untuk menerangkan konsep Tawarruq dan menjawab semua pertanyaan berkaitan penukaran kontrak Syariah dengan jelas.
