Terlepas tarikh akhir cukai sebenarnya tidak seteruk yang anda fikirkan. Jika anda terlupa, tak sempat kumpul dokumen atau memang tak tahu yang anda perlu hantar, masalah ini boleh diselesaikan. Tapi semakin lama anda tunggu, semakin besar kosnya. Jadi kalau anda sudah terlepas, masa terbaik untuk bertindak adalah sekarang.
Bila Tarikh Akhir Hantar Borang
Untuk musim YA2025, tarikh akhirnya adalah seperti berikut:
| Jenis pendapatan anda | Borang | Tarikh akhir | Tempoh tangguh |
| Pendapatan penggajian sahaja (gaji, bonus) | Borang e-BE | 30 April 2026 | Hingga 15 Mei 2026 |
| Pendapatan perniagaan (bebas, pemilik tunggal, sewa) | Borang e-B | 30 Jun 2026 | Hingga 15 Julai 2026 |
e-Filing melalui MyTax kini jadi kaedah yang sering digunakan untuk pembayar cukai. Penghantaran borang kertas sudah jarang digunakan. Kebanyakan pekerja bergaji termasuk dalam kategori Borang e-BE, jadi tarikh akhir yang perlu anda ingat ialah 30 April 2026, dengan tempoh tangguh sehingga 15 Mei 2026.
Tempoh tangguh ini adalah ruang masa secara tidak rasmi yang biasanya LHDN beri selepas tarikh akhir. Hantar dalam tempoh ini masih dianggap tepat pada masanya bagi kebanyakan tujuan praktikal.
Tak pasti borang mana yang sesuai untuk anda? Panduan Cukai Pendapatan Peribadi Malaysia (YA 2025) kami ada penjelasan lengkap.
Apa Yang Berlaku Selepas Anda Terlepas Tarikh Akhir
LHDN tidak akan menghantar amaran secara automatik sebaik sahaja tarikh akhir berlalu. Tiada denda serta-merta, tiada surat yang tiba keesokan harinya. Apa yang LHDN buat ialah menyelaraskan rekod mereka secara berkala dengan membandingkan siapa yang berdaftar fail cukai dengan siapa yang betul-betul sudah hantar borang. Lama-kelamaan, mereka akan tahu.
Selepas itu, apa yang berlaku bergantung pada sama ada anda bertindak dahulu atau mereka.
Kalau anda pergi ke MyTax dan hantar borang secara sukarela sebelum LHDN hubungi anda secara rasmi, anda selamat. Cukai anda akan dikira seperti biasa dan sebarang caj tambahan (surcharge) atas kelewatan penghantaran biasanya lebih rendah.
Tapi kalau LHDN hubungi anda dahulu dengan mengeluarkan Borang J (notis anggaran cukai), caj tambahan sehingga 45% boleh dikenakan ke atas cukai yang anda perlu bayar. Anda kemudiannya ada 30 hari dari tarikh surat itu untuk bayar atau buat rayuan.
Penalti, Dijelaskan Dengan Terperinci
Ada dua jenis penalti yang berbeza, dan ramai yang keliru antara keduanya. Jadi kami akan terangkan satu persatu.
Caj tambahan kerana lewat hantar borang
Di bawah Seksyen 112(1) Akta Cukai Pendapatan 1967, kegagalan menghantar borang cukai boleh mengakibatkan denda RM200 hingga RM20,000, penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya. Kedengaran menakutkan, bukan? Tetapi hukuman ini khusus buat mereka yang berterusan tidak menghantar borang atau kes yang disyaki mengelak dari cukai. Bukan untuk seseorang yang hantar lewat.
LHDN boleh kenakan caj tambahan antara 15% hingga 45% daripada cukai yang anda perlu bayar, bergantung pada selewat mana penghantaran dan jika tindakan penguatkuasaan sudah bermula. Jadual di bawah menggambarkan apa yang biasanya berlaku. LHDN tetap ada budi bicara dalam setiap kes:
| Bagaimana situasi itu berlaku | Caj tambahan yang biasanya dikenakan |
| Anda hantar secara sukarela, kurang daripada 12 bulan lewat | 15% daripada cukai yang perlu dibayar |
| Anda hantar secara sukarela, 12–24 bulan lewat | 30% daripada cukai yang perlu dibayar |
| Anda hantar secara sukarela, lebih daripada 24 bulan lewat | 45% daripada cukai yang perlu dibayar |
| LHDN keluarkan Borang J sebelum anda hantar | Sehingga 45% daripada cukai yang perlu dibayar |
Kalau tiada cukai yang perlu dibayar (sebab potongan PCB anda sudah merangkumi keseluruhan tanggungan, atau pendapatan anda berada di bawah had bercukai), caj tambahan biasanya tidak dikenakan. Tapi penghantaran lewat tetap melanggar keperluan penghantaran di bawah Seksyen 112, jadi ia bukan bermakna anda terlepas begitu sahaja.
Penalti atas pembayaran lewat
Berasingan daripada caj tambahan penghantaran lewat, ada penalti 10% ke atas baki cukai yang tidak dibayar menjelang tarikh akhir. Ini ditambah atas cukai yang perlu dibayar.
Katakan anda berhutang cukai sebanyak RM1,500 dan anda hantar secara sukarela selepas lapan bulan. Caj tambahannya adalah RM225 (15% daripada RM1,500). Kemudian, kalau anda lambat bayar baki tersebut, penalti pembayaran lewat sebanyak 10% akan ditambah. Kosnya akan jadi berganda, sebab itu sebaiknya selesaikan lebih awal.
Dua Perkara Yang Ramai Selalu Salah Faham Tentang Pemfailan Cukai
“PCB saya sudah dipotong daripada gaji setiap bulan. Bermakna saya dah selesai, kan?”
Tidak. PCB ialah potongan anggaran cukai oleh majikan anda sepanjang tahun. Ia adalah prabayaran, tapi ia tidak menggantikan borang pulangan tahunan.
Menghantar borang cukai adalah cara anda menyelaraskan anggaran tu dengan tanggungan cukai sebenar dan cara anda menuntut pelepasan cukai (potongan yang kurangkan jumlah cukai yang perlu dibayar, merangkumi perkara seperti perbelanjaan perubatan, pembelian untuk gaya hidup, insurans hayat, dan pendidikan). Kalau anda tidak menghantar borang, anda bukan sahaja kehilangan pelepasan, malah anda juga secara teknikalnya gagal memenuhi kewajipan undang-undang untuk menghantar borang. Anda masih boleh dikenakan penalti walaupun tidak berhutang apa-apa.
“Pendapatan saya terlalu rendah untuk bayar cukai, jadi saya tak perlu hantar borang.”
Tidak semua orang perlu menghantar borang. Tapi kalau anda sudah memfailkan cukai dengan LHDN dan pendapatan anda memenuhi had ambang bagi tahun tersebut, anda dikehendaki hantar borang pulangan. Walaupun pendapatan anda boleh dikenakan cukai (jumlah pendapatan selepas tolak pelepasan dan pengecualian, yang jadi asas cukai LHDN) akhirnya sifar, anda tetap perlu hantar. Tidak hantar borang walaupun anda seorang pembayar cukai berdaftar itulah yang boleh menyebabkan masalah, tidak kira sama ada anda sebenarnya berhutang atau tidak.
Kalau anda tidak pernah daftar dan pendapatan anda berada di bawah had ambang, mengikut undang-undang anda mungkin tidak wajib menghantarnya. Tetapi kalau anda tidak pasti sama ada anda sepatutnya menghantar borang, lebih baik semak lebih awal. LHDN secara amnya lebih bertolak ansur dengan mereka yang mengambil inisiatif sendiri berbanding yang LHDN harus cari.
Apa Yang Perlu Anda Lakukan Jika Terlepas Tarikh Akhir Penghantaran Cukai
Kalau anda sudah terlepas tarikh akhir, prosesnya sama sahaja macam menghantar tepat pada masanya. Tiada borang khas untuk “penghantaran lewat”.
- Pergi ke mytax.hasil.gov.my dan log masuk. Kalau belum daftar, anda boleh buat akaun menggunakan nombor MyKad.
- Pilih e-Filing dan pilih borang yang betul (e-BE untuk pendapatan penggajian, e-B kalau ada pendapatan perniagaan).
- Lengkapkan borang pulangan seperti biasa dengan isytiharkan pendapatan, masukkan potongan PCB dari borang EA anda (ringkasan cukai tahunan yang wajib diberi oleh majikan menjelang akhir Februari setiap tahun), dan tuntut pelepasan cukai.
- Setelah dihantar, MyTax akan kira baki anda. Kalau layak dapat bayaran balik, ia akan dikreditkan ke akaun bank anda. Kalau ada baki yang perlu dibayar, nombor bil 16 digit akan dijana.
- Bayar apa yang perlu dibayar secepat mungkin melalui ByrHASiL (portal pembayaran rasmi LHDN) atau FPX (perkhidmatan pemindahan perbankan dalam talian yang tersedia melalui kebanyakan bank Malaysia). Nombor bil diperlukan untuk pembayaran.
Kalau anda sudah terima Borang J daripada LHDN sebelum sempat buat semua ni, anda tetap perlu melalui e-Filing untuk hantar borang pulangan sebenar. Borang J adalah anggaran LHDN dan borang pulangan sebenar anda akan menggantikannya setelah dihantar.
Bolehkah Anda Merayu Atau Mengurangkan Penalti Penghantaran Lewat?
Boleh. Kalau LHDN sudah keluarkan Borang J dan kenakan caj tambahan, anda ada 30 hari dari tarikh surat untuk bayar atau buat rayuan. Anda boleh kemukakan rayuan menggunakan Borang Q (borang rasmi LHDN untuk mempertikaikan penilaian cukai) atau rayuan bertulis ke cawangan LHDN terdekat, kedua-duanya diterima. Cawangan anda boleh beri nasihat mana yang lebih sesuai untuk situasi anda.
Secara amnya, anda perlu hantar borang dan bayar cukai asas dahulu sebelum rayuan dipertimbangkan. Penjelasan yang jelas dan berdasarkan fakta tentang sebab kelewatan sangat membantu terutama kalau ada sebab yang kukuh seperti sakit atau kematian ahli keluarga.
Anda mungkin tak berjaya dalam setiap rayuan, tapi ia tetap berbaloi dicuba kalau jumlah penaltinya besar.
Terlepas Tarikh Akhir Cukai, Ia Boleh Diselesaikan
Terlepas tarikh akhir cukai tak menjadikan anda seorang penjenayah. Tindakan pertama LHDN sentiasa bersifat pentadbiran iaitu memberi surat, bukannya lawatan.
Penyelesaiannya mudah, hantar borang secepat mungkin, bayar apa yang perlu dibayar, dan kalau penalti sudah dikenakan, kemukakan rayuan. Kebanyakan orang yang tangani perkara ini dengan jujur dan cepat boleh selesaikan tanpa kesan jangka panjang.
Untuk tahun depan, cuba tetapkan peringatan pada 1 April. Itu bagi anda beberapa minggu untuk uruskan segala-galanya sebelum tarikh akhir 30 April. Ia sudah pasti lebih dari cukup.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Steffi Manisha Arokiam adalah Pengarah Cukai di ThinkTx Consultants dan beliau bertanggungjawab menerajui urusan Harga Pemindahan (Transfer Pricing) dan e-Invois firma tersebut. Beliau menasihati individu dan perbadanan dalam pelbagai hal ehwal percukaian, termasuk Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT), duti setem, cukai harta pusaka, dan mobiliti global bagi ekspatriat. Beliau dikenali kerana berjaya menggabungkan kepakaran teknikal yang teguh dengan pendekatan praktikal berasaskan penyelesaian. Dengan kepakaran ini, Steffi dapat membantu para pelanggan mengendali isu-isu cukai yang kompleks dengan jelas dan yakin.
Sebagai seorang pembimbing yang dihormati dalam bidang percukaian, Steffi telah mengarang pelbagai jenis artikel teknikal dan buletin profesional. Hasil kerja beliau telah diterbitkan oleh International Bureau of Fiscal Documentation (IBFD) dan Wolters Kluwer (CCH), di mana beliau memberikan pandangan tentang perkembangan cukai kontemporari. Beliau juga pernah dijemput dalam temu bual mengenai percukaian kripto bersama BFM 89.9.
Keahlian Profesional
- Ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA)
- Ahli Chartered Tax Institute of Malaysia (CTIM)
- Akauntan Profesional Piagam ASEAN (ASEAN Chartered Professional Accountant – ASEAN CPA)
- Ahli Persatuan Fiskal Antarabangsa (IFA)
- Jurulatih Profesional yang diperakui oleh HRD Corp
