Syarikat Insurans Larang Ejen Promosikan Skim Amanah Tunai? Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu

KONGSI

Beberapa syarikat insurans besar di Malaysia dikatakan telah mengeluarkan larangan tegas kepada ejen mereka untuk tidak terlibat dalam skim amanah tunai (cash trust schemes).

Ini termasuk Hong Leong Assurance, Prudential Assurance Malaysia, Great Eastern Life Assurance dan Tokio Marine Life Insurance Malaysia. Pekeliling dalaman yang dikeluarkan pada Mac dan April 2026 itu dilihat oleh The Edge Malaysia.

Kenapa Skim Ini Jadi Isu?

Skim amanah tunai membenarkan pelanggan meletakkan wang dengan syarikat amanah untuk diuruskan bagi pihak mereka. Masalahnya, tiada badan pengawal selia yang bertanggungjawab secara langsung untuk produk tersebut selama ini. Ia tidak diselia di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) mahupun Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan tidak dilindungi Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) seperti simpanan bank biasa.

Kekosongan ini membolehkan sesetengah skim dipasarkan sebagai instrumen berisiko rendah dengan pulangan tetap, kadangkala melebihi 10% setahun melalui aktiviti pelaburan atau perjanjian pinjaman wang. Sesetengah skim turut mengenakan tempoh terkunci (lock-in) selama 3 hingga 5 tahun dengan penalti pengeluaran awal.

Apa Yang Dilarang Dalam Pekeliling?

Berdasarkan pekeliling yang disiarkan, ejen dilarang:

  • Mempromosikan atau merujuk skim amanah tunai kepada sesiapa pun
  • Menggunakan jenama, saluran komunikasi atau rangkaian agensi syarikat untuk tujuan berkaitan
  • Merekrut atau terlibat dalam sebarang perniagaan berkaitan skim ini

Pemimpin agensi bertanggungjawab dalam memastikan pasukan mereka mematuhi arahan ini.

Antara sebab yang disenaraikan adalah kebanyakan skim ini tidak dikawal selia oleh SC atau BNM dan penglibatan ejen boleh menimbulkan tanggapan palsu bahawa skim tersebut adalah produk yang diluluskan oleh syarikat insurans.

SC Pertingkat Tindakan Kawal Selia dan Penguatkuasaan

Pekeliling-pekeliling ini bukan hanya kebetulan. Menurut maklumat di dalamnya, SC telah “mempertingkatkan tindakan kawal selia dan penguatkuasaan” terhadap skim amanah tunai baru-baru ini.

Sebelum ini, Kementerian Kewangan mendedahkan bahawa SC sedang memuktamadkan rangka kerja pelesenan untuk skim amanah tunai yang melabur dalam produk pasaran modal. SC turut mula menyiasat beberapa syarikat amanah yang disyaki menjalankan aktiviti pasaran modal tanpa lesen.

Langkah ini selaras dengan pindaan Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 yang berkuat kuasa 1 Januari 2026, yang meluaskan kuasa SC ke atas aktiviti berkaitan amanah. Rangka kerja ini dijangka meliputi amanah yang melabur dalam sekuriti, bon dan unit amanah.

Kenapa Perkara Ini Penting Untuk Anda Tahu?

Jika anda pernah ditawarkan skim amanah tunai terutamanya yang menjanjikan pulangan yang tinggi atau dijamin, ketahui bahawa produk sebegini mungkin tidak dikawal selia dan tidak dilindungi sekiranya berlaku masalah. 

Akta yang lebih jelas akan dikeluarkan nanti, tetapi buat masa ini, anda perlu berhati-hati sebelum meletakkan wang dalam mana-mana skim yang tidak jelas statusnya.

Jika anda sedang merancang untuk memiliki insurans hayat bagi melindungi keluarga sekiranya sesuatu yang tidak diingini berlaku kepada anda. Artikel kami mengenai cara memilih insurans hayat boleh membantu anda.

Bandingkan juga polisi hayat bertempoh dan polisi hayat keseluruhan di RinggitPlus untuk mencari perlindungan yang sesuai dengan bajet dan keperluan anda.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments