Mengambil pinjaman peribadi boleh memberi manfaat yang sangat berguna lebih-lebih lagi apabila anda perlu menguruskan perbelanjaan besar atau kos kecemasan. Untuk memastikan bajet anda terurus, adalah penting untuk memahami cara bayaran balik anda dikira.
Kami akan menerangkan dalam terma yang jelas dan mudah cara untuk menyemak jumlah yang perlu anda bayar untuk meminjam wang.
Tiga Bahagian Utama Dalam Bayaran Balik Pinjaman Anda
Setiap perjanjian pinjaman dibina atas tiga faktor: Prinsipal, Kadar Faedah, dan Tempoh Pinjaman. Langkah pertama yang anda perlu ambil untuk kawal hutang anda adalah dengan memahami ketiga-tiga faktor tersebut.
- Prinsipal: Ini adalah jumlah keseluruhan wang yang anda pinjam. Jika anda dapat pinjaman berjumlah RM 20,000, itulah prinsipal anda. Lagi besar prinsipal, lagi tinggi bayaran bulanan anda.
- Kadar Faedah (Interest Rate): Ini adalah kos yang perlu anda bayar apabila membuat pinjaman wang dan ia biasanya dinyatakan dalam bentuk peratusan. Di Malaysia, kadar faedah pinjaman peribadi biasanya adalah “kadar tetap” (flat rate). Maksudnya, faedah dikira berdasarkan jumlah pinjaman asal, iaitu prinsipal. Kadar ini mungkin berbeza bergantung pada pendapatan, skor kredit, jumlah pinjaman, dan tempoh yang anda pilih.
- Tempoh (Tenure): Ini adalah tempoh bayaran balik, iaitu berapa lama masa yang anda ada untuk bayar balik pinjaman, biasanya dinyatakan dalam bulan atau tahun. Tempoh pinjaman yang lebih panjang akan buat bayaran bulanan lebih rendah, tetapi ia juga bermakna anda akan bayar lebih banyak faedah. Jika anda pilih tempoh yang lebih pendek, bayaran bulanan anda akan jadi lebih tinggi, tetapi, anda dapat selesaikan hutang dengan lebih cepat dan jimat dari segi bayaran faedah.
Memilih Jumlah Pinjaman Yang Betul
Walaupun bank akan tawarkan anda beberapa jumlah pinjaman tertentu, tetapi adalah lebih baik jika anda hanya meminjam jumlah yang diperlukan sahaja berdasarkan matlamat kewangan anda. Ini kerana, mengambil hutang lebih daripada yang sepatutnya boleh meningkatkan bayaran bulanan dan jumlah faedah yang dibayar, seterusnya menekan situasi kewangan anda dan berpotensi menyebabkan stres.
Sebelum anda memutuskan jumlah pinjaman, anda perlu menilai dengan teliti perbelanjaan sebenar dan bajet anda. Tanya pada diri sendiri:
- Untuk apa sebenarnya saya perlukan duit ini?
- Berapa banyak yang saya mampu bayar balik setiap bulan tanpa menjejaskan matlamat kewangan lain?
- Adakah saya dah ambil kira perbelanjaan tidak dijangka yang mungkin timbul sepanjang tempoh pinjaman?
Guna kalkulator pinjaman peribadi untuk ujikaji jumlah dan tempoh yang berbeza, supaya anda boleh dapatkan pelan bayaran balik yang sesuai dengan gaya hidup anda. Ingat, meminjam secara bertanggungjawab boleh membantu mengekalkan tahap kesihatan kewangan dan skor kredit anda. Baca panduan pinjaman peribadi RinggitPlus untuk ketahui lebih lanjut!
Cara Memilih Tempoh Pinjaman Yang Sesuai
Tempoh pinjaman merupakan salah satu faktor paling penting dan sering diabaikan bila membuat pinjaman. Ianya akan tentukan berapa lama anda akan buat bayaran balik dan berapa banyak jumlah faedah yang akan anda bayar sepanjang tempoh pinjaman.
Oleh yang demikian, cara untuk pilih tempoh pinjaman yang sesuai adalah dengan mengambil kira pendapatan anda, perbelanjaan, dan seberapa cepat anda hendak bebas dari hutang.
Tempoh Pendek atau Panjang: Apa Yang Anda Perlu Tahu
| Tempoh Pinjaman | Kebaikan | Keburukan |
| Tempoh Pendek (1–3 tahun) | Jumlah faedah lebih rendah, hutang selesai lebih cepat | Bayaran bulanan lebih tinggi, boleh jejas kemampuan bayar balik |
| Tempoh Panjang (5–10 tahun) | Bayaran bulanan lebih rendah, mungkin boleh tingkatkan peluang kelulusan | Bayar lebih banyak faedah, komitmen kewangan lebih lama |
Tempoh yang lebih pendek bermakna anda boleh membayar balik pinjaman dengan lebih cepat tanpa jumlah faedah yang banyak, tetapi ansuran bulanan akan jadi lebih tinggi. Untuk tempoh yang lebih panjang pula, anda menikmati fleksibiliti melalui bayaran bulanan yang lebih mudah diurus, walaupun secara amnya, anda akan bayar lebih banyak secara keseluruhan.
Apa Yang Perlu Dipertimbangkan Bila Memilih Tempoh

Memilih tempoh pinjaman yang betul bermakna anda perlu menilai situasi kewangan anda sama ada yang terkini atau pada masa akan datang, secara realistik. Perubahan hidup seperti mula berkeluarga, tukar kerja baharu, atau pindah rumah boleh menjejaskan pendapatan dan perbelanjaan anda. Dalam kes ini, tempoh yang lebih panjang mungkin boleh bagi anda lebih ruang untuk bernafas dengan bayaran bulanan yang lebih rendah.
Akan tetapi, hati-hati! Jika anda tiada dana kecemasan yang kukuh, mengambil bayaran bulanan yang tinggi dengan tempoh pinjaman yang pendek boleh meletakkan anda dalam kedudukan yang sukar jika terdapat kos yang tidak dijangka.
Kami juga sarankan anda untuk semak sama ada pemberi pinjaman anda dapat menawarkan kadar faedah yang lebih baik untuk tempoh pinjaman yang pendek. Kadang kala, bayar lebih sedikit setiap bulan boleh menjimatkan anda dari segi bayaran faedah dalam jangka masa panjang.
Akhir sekali, jika anda pilih tempoh yang lebih panjang, cuba semak sama ada anda boleh membuat bayaran balik lebih awal, tanpa sebarang penalti. Ini kerana, jika anda ada lebihan wang dari keuntungan yang tidak dijangka, anda boleh selesaikan hutang pinjaman dengan lebih awal.
Pertimbangkan perkara-perkara ini untuk bantu anda memilih tempoh pinjaman yang bersesuaian dengan gaya hidup dan bajet anda.
Bagaimana Bank Kira Ansuran Bulanan Anda (Untuk Pinjaman Kadar Tetap)
Kebanyakan pinjaman peribadi di Malaysia guna kadar faedah tetap, di mana ianya secara langsung buat kiraan ansuran bulanan jadi lebih mudah, kerana faedah dikenakan pada jumlah prinsipal asal untuk keseluruhan tempoh. Bayaran bulanan anda kekal sama, dan seterusnya memudahkan anda untuk mengurus bajet.
Berikut adalah formula mudah untuk kira ansuran bulanan anda:
- Kira Jumlah Faedah: Prinsipal x Kadar Faedah Setahun x Jumlah Tahun
- Kira Jumlah Bayaran Balik: Prinsipal + Jumlah Faedah
- Kira Ansuran Bulanan: Jumlah Bayaran Balik / Jumlah Bulan
Mari kita guna satu contoh. Sama ada anda graduan baharu yang nak bayar deposit kereta pertama atau seorang profesional muda mencari dana untuk perniagaan sampingan, formulanya kekal sama.
- Jumlah Pinjaman (Prinsipal): RM 20,000
- Kadar Faedah Tetap: 6% setahun
- Tempoh Pinjaman: 5 tahun (60 bulan)
Kiraan:
- Jumlah Faedah: RM 20,000 x 6% x 5 tahun = RM 6,000
- Jumlah Bayaran Balik: RM 20,000 + RM6,000 = RM 26,000
- Ansuran Bulanan: RM 26,000 / 60 bulan = RM 433.33
Apa Beza Antara Pinjaman Kadar Tetap dan Baki Berkurangan?
Walaupun kebanyakan pinjaman peribadi guna kadar tetap, penting untuk faham alternatifnya, iaitu kadar baki berkurangan, supaya anda boleh buat pilihan yang bijak.
- Kadar Tetap (Flat Rate): Faedah dikira pada jumlah pinjaman asal (RM 20,000 dalam contoh kita yang sebelumnya) untuk keseluruhan tempoh. Walaupun anda dah bayar sebahagian hutang, caj faedah tidak berkurang.
- Kadar Baki Berkurangan (Reducing Balance Rate): Faedah dikira pada baki pinjaman yang belum dijelaskan. Bila anda buat bayaran dan prinsipal berkurang, jumlah faedah yang anda bayar juga berkurang. Kaedah ini biasa untuk pinjaman rumah.
Oleh kerana kadar tetap tidak mengambil kira jumlah prinsipal anda yang makin susut, kos yang sebenarnya adalah lebih tinggi daripada apa yang anda nampak. Di sinilah Kadar Faedah Efektif (Effective Interest Rate – EIR) memainkan peranan. EIR tunjukkan kos sebenar pinjaman anda dengan ambil kira bagaimana faedah dicaj pada baki tertunggak dari semasa ke semasa, campur sebarang yuran.
Sebagai panduan mudah, EIR boleh jadi hampir dua kali ganda daripada kadar tetap yang diiklankan. Oleh itu, sentiasa tanya pihak bank untuk EIR supaya anda faham kos sebenar pinjaman peribadi anda.
Cara kira EIR (Kadar Faedah Efektif):
Walaupun formula yang tepat boleh jadi agak rumit, ini cara mudah untuk menganggarkannya daripada kadar tetap:
- Kadar Faedah Tetap (F): Kadar yang diiklankan dalam bentuk perpuluhan (contohnya, 6% = 0.06)
- Formula anggaran:
EIR ≈ 2 × F
Sebagai contoh, jika kadar tetap anda ialah 6%, maka:
EIR ≈ 2 × 0.06 = 0.12 atau 12%
Ini menunjukkan kadar efektif adalah lebih kurang dua kali ganda daripada kadar tetap. Ini kerana dengan pinjaman kadar tetap, anda membayar faedah ke atas jumlah asal pinjaman sepanjang tempoh, walaupun anda bayar hutang prinsipal. EIR mencerminkan kos tahunan sebenar pinjaman anda, dengan mengambil kira baki pinjaman anda yang semakin menurun dari semasa ke semasa.
Memahami Peraturan 78 (Rule of 78) dan Kos Tersembunyinya
Kalau pinjaman anda jenis berkadar tetap, bayaran bulanannya adalah sama setiap bulan. Cuma yang tidak samanya ialah cara bank pecahkan bayaran tersebut: berapa banyak yang pergi untuk bayar faedah, dan berapa yang tolak jumlah prinsipal.
Banyak bank di Malaysia menggunakan Peraturan 78 (Rule of 78), satu kaedah yang membuatkan anda membayar sebahagian besar daripada jumlah faedah pada peringkat awal pinjaman.
Kalau kita ambil contoh pinjaman tadi, ini bermakna pada tahun pertama, lebih banyak daripada bayaran bulanan RM 433 anda akan pergi kepada keuntungan bank (iaitu faedah), dan hanya sedikit sahaja yang digunakan untuk melunaskan hutang sebenar anda.
Apabila tempoh pinjaman berjalan, keadaan ini mula berubah. Lebih banyak daripada bayaran anda akan mula mengurangkan prinsipal, dan lebih sedikit pula akan pergi kepada faedah.
Oleh sebab kebanyakan faedah telah dibayar pada peringkat awal, jika anda selesaikan pinjaman lebih awal dari jadual pun, jumlah penjimatan anda sebenarnya tidaklah sebanyak yang anda mungkin sangkakan.
Peraturan 78 kini sedang dihentikan secara berperingkat di bawah Akta Kredit Pengguna. Untuk pinjaman yang baru, kaedah pengiraan faedah yang lebih adil akan digunakan. Namun, jika anda mempunyai pinjaman sedia ada, Peraturan 78 mungkin masih terpakai. Ini bermakna, menyelesaikan pinjaman anda lebih awal mungkin tidak akan menjimatkan wang sebanyak yang anda sangka. Oleh itu, pastikan anda sentiasa semak semula perjanjian pinjaman anda.
Soalan Lazim Mengenai Bayaran Balik Pinjaman Anda
Bolehkah Saya Selesaikan Pinjaman Lebih Awal?
Boleh, tapi pastikan anda semak dulu “Klausa Penyelesaian Awal” (Early Settlement Clause) dalam perjanjian pinjaman anda. Ada bank yang benarkan anda buat penyelesaian awal tanpa sebarang kos tambahan, tapi ada juga yang mungkin akan kenakan yuran penalti atau memerlukan anda untuk memberi notis awal.
Biasanya, yuran penyelesaian awal adalah antara 0% hingga 3% daripada baki hutang anda yang tinggal. Dalam sesetengah kes, bank boleh kecualikan yuran ini kalau anda penuhi syarat-syarat tertentu, seperti bagi notis beberapa bulan lebih awal. Walau bagaimanapun, kalau pinjaman anda ada tempoh terkunci (lock-in period), anda mungkin akan dikenakan caj penalti kalau selesaikan hutang dalam tempoh tersebut.
Contoh: Katakan anda ada pinjaman peribadi RM 10,000 untuk tempoh 3 tahun. Selepas 15 bulan, baki hutang anda tinggal RM 6,000.
Jika bank kenakan yuran penyelesaian awal 3%, anda kena bayar tambahan RM 180 (3% daripada RM 6,000), menjadikan jumlah bayaran akhir anda RM 6,180.
Jika bank kecualikan yuran tersebut, anda cuma perlu bayar baki RM 6,000 itu sahaja.
Apa Yang Perlu Dipertimbangkan: Sebelum buat sebarang penyelesaian awal, minta penyata penyelesaian (redemption statement) daripada bank anda untuk sahkan baki hutang terkini dan apa-apa caj yang berkaitan.
Kemudian, bandingkan jumlah keseluruhan ini dengan jumlah faedah yang sepatutnya anda bayar jika anda teruskan bayaran macam biasa sehingga tamat tempoh. Ini akan bantu anda tentukan sama ada penyelesaian awal itu berbaloi ataupun tidak dari segi kewangan.
Macam Mana Kalau Saya Buat Bayaran Lebih?
Ramai yang beranggapan bahawa dengan membayar lebih daripada ansuran bulanan, mereka boleh melangsaikan pinjaman dengan lebih cepat atau menjimatkan bayaran faedah. Sebenarnya, pengiraan ini tidak tepat untuk pinjaman kadar tetap yang biasa digunakan di Malaysia. Jenis pinjaman ini kerap ditawarkan untuk pembiayaan peribadi dan perjanjian sewa beli seperti pinjaman kenderaan.
Dengan pinjaman kadar tetap, jumlah keseluruhan faedah telah dikira siap-siap dari awal lagi, berdasarkan jumlah pinjaman penuh dan keseluruhan tempoh pinjaman. Ini bermaksud, jika anda membuat bayaran lebih, ia biasanya tidak akan mengurangkan faedah atau memendekkan tempoh pinjaman secara automatik. Dalam kebanyakan kes, jumlah bayaran lebihan itu hanya akan digunakan untuk menampung bayaran bulanan akan datang, bukannya untuk mengurangkan prinsipal anda secara terus.
Jika matlamat anda adalah untuk membayar pinjaman anda dengan lebih cepat atau mengurangkan jumlah faedah, adalah penting untuk anda kemukakan dahulu dengan pihak bank. Tanya mereka bagaimana bayaran lebih akan dikendalikan di bawah perjanjian pinjaman anda.
Sesetengah bank mungkin membenarkan bayaran tersebut digunakan terus untuk mengurangkan prinsipal jika anda membuat permohonan rasmi. Bank lain pula mungkin menawarkan pilihan untuk menstruktur semula jadual pembayaran anda atau memberikan rebat jika anda menggunakan produk pembiayaan Islamik.
Perkara utama yang perlu anda ambil perhatian adalah untuk tidak membuat andaian bahawa bayaran lebih akan menguntungkan anda selagi anda belum mengesahkan cara ia akan digunakan. Sentiasa semak dengan bank anda dan, jika boleh, minta pengesahan dalam bentuk bertulis. Dengan cara ini, barulah anda boleh yakin wang anda digunakan seperti yang anda mahukan.
Boleh Ke Bayaran Bulanan Saya Berubah?
Untuk pinjaman kadar tetap yang biasa, jawapannya tidak. Ansuran bulanan anda memang sudah ditetapkan. Walau bagaimanapun, ia boleh berubah jika berlaku salah satu daripada tiga situasi ini:
Pinjaman Kadar Boleh Ubah (Variable Rate)
Sesetengah pinjaman, terutamanya pinjaman perumahan, mempunyai kadar faedah yang boleh berubah-ubah. Kadar ini biasanya terikat dengan penunjuk aras seperti Kadar Dasar Semalaman (OPR). Ini bermakna, bayaran bulanan anda boleh naik atau turun jika kadar faedah berubah. Pinjaman peribadi yang menggunakan kadar boleh ubah ini jarang ada, tapi bukan mustahil. Jadi, ada baiknya anda semak semula perjanjian pinjaman anda.
Bayaran Lambat
Jika anda terlepas membuat bayaran, pihak bank boleh mengenakan yuran lewat atau penalti. Ini akan menyebabkan jumlah yang perlu anda bayar pada bulan tersebut menjadi lebih tinggi.
Penstrukturan Semula Pinjaman (Loan Restructuring)
Jika anda berdepan dengan masalah kewangan, anda mungkin boleh berbincang semula dengan pihak bank untuk mengubah terma-terma pinjaman. Ini boleh membawa kepada perubahan pada ansuran bulanan anda, sama ada menjadi lebih tinggi atau lebih rendah, bergantung pada perjanjian yang baru.
Bagaimana Dengan Yuran Lain?
Penting untuk anda tanya pihak bank tentang apa-apa yuran pendahuluan (upfront fees) sebelum anda tandatangan perjanjian pinjaman. Antara caj yang biasa dikenakan termasuklah duti setem, yang selalunya sekitar 0.5% daripada jumlah pinjaman. Kos ini biasanya akan ditolak terus daripada duit pinjaman anda. Jadi, jumlah tunai yang akan anda terima nanti mungkin kurang sedikit daripada jumlah yang diluluskan.
Kebanyakan bank pada zaman sekarang sudah tidak kenakan yuran pemprosesan untuk pinjaman peribadi, tapi sesetengah pemberi pinjaman mungkin masih ada yuran pendahuluan atau caj pentadbiran yang lain.
Pastikan anda sentiasa dapatkan penjelasan daripada pihak bank tentang semua yuran yang dikenakan dan bagaimana ia akan memberi kesan kepada jumlah bersih yang akan anda terima.
Senarai Semak Terakhir Sebelum Anda Tandatangan Pinjaman Peribadi

Mengira bayaran bulanan hanyalah satu langkah pertama. Sebelum anda mengikat diri dengan hutang selama bertahun-tahun, anda kena betul-betul jujur dengan diri sendiri. Tabiat kewangan anda sebenarnya lebih penting daripada angka-angka itu sendiri.
1. Sentiasa Tanya Diri Sendiri, “Kenapa?”
Ambil sedikit masa untuk bertanya kepada diri sendiri mengapa anda memerlukan pinjaman ini. Adakah ia untuk menguruskan hutang sedia ada dengan lebih baik, menampung perbelanjaan kecemasan, atau untuk melabur dalam sesuatu yang penting?
Memahami tujuan anda mengambil pinjaman akan membantu anda membuat keputusan dengan lebih bijak dan kekal fokus pada matlamat kewangan anda. Ingat, pinjaman boleh menjadi alat yang sangat membantu jika digunakan dengan teliti, bukan sekadar jalan penyelesaian yang pantas.
2. Dapatkan Nombor “Semua Sekali” (All-In)
Tanya pihak bank satu soalan mudah ini:
“Kalau saya pinjam RM 20,000 untuk 5 tahun, berapa jumlah tunai sebenar yang akan masuk ke dalam akaun bank saya, dan berapa pula jumlah keseluruhan yang akan saya bayar pada bank selepas 5 tahun?”
Soalan ini akan melangkau semua jargon kewangan dan terus memberi anda gambaran kos sebenar pinjaman tersebut dalam Ringgit dan Sen.
3. Semak Laporan CCRIS Anda
Laporan CCRIS anda ni ibarat pasport kewangan anda di Malaysia. Ia menunjukkan semua komitmen kredit (hutang) semasa dan sejarah bayaran balik anda. Sebelum memohon pinjaman baru, adalah idea yang baik untuk menyemak laporan CCRIS anda terlebih dahulu supaya anda tahu apa yang pihak bank akan nampak.
Ingat, apabila anda mengambil pinjaman baru, ia akan direkodkan dalam laporan CCRIS anda. Pastikan anda benar-benar yakin boleh membuat setiap bayaran tepat pada masanya sepanjang tempoh pinjaman. Bayaran yang tertunggak boleh menjejaskan skor kredit anda dan menyukarkan anda untuk mendapatkan pinjaman lain pada masa akan datang.
Jika anda tidak yakin boleh membayar balik secara konsisten, mungkin lebih baik anda tangguhkan dulu permohonan sehingga kedudukan kewangan anda lebih stabil. Sebagai permulaan, anda boleh baca panduan kami tentang skor kredit dan kepentingannya.
4. Rancang ‘Jalan Keluar’ Anda
Mengambil pinjaman adalah satu langkah untuk mencapai matlamat anda, tetapi adalah bijak untuk merancang juga cara untuk membayarnya kembali dengan efisien. Walaupun tempoh pinjaman yang lebih panjang dengan bayaran bulanan yang lebih rendah mungkin nampak selesa, melangsaikan hutang dengan lebih cepat boleh menjimatkan wang faedah anda dan membantu anda bebas hutang lebih awal.
Sebelum anda menandatangani perjanjian, fikirkan cara-cara untuk anda membayar lebih sedikit setiap kali ada peluang. Walaupun hanya dengan bayaran tambahan RM 200 sebulan untuk mengurangkan prinsipal pinjaman, ia boleh membawa perbezaan yang besar.
Lagi cepat anda melangsaikannya, lagi cepat anda akan mencapai kebebasan kewangan dan ketenangan fikiran.
Tengah Cari Pinjaman Yang Sesuai?
Mengambil pinjaman peribadi adalah satu komitmen kewangan yang besar. Oleh itu, adalah penting untuk anda faham berapa banyak yang perlu dibayar setiap bulan dan sepanjang tempoh pinjaman. Dengan mempertimbangkan dengan teliti jumlah yang ingin dipinjam dan memilih tempoh pinjaman yang betul, anda boleh mencapai keseimbangan antara bayaran bulanan yang mampu milik dan jumlah faedah yang paling minimum.
Ingat, teliti betul-betul keadaan kewangan anda sekarang dan pada masa akan datang, termasuklah apa-apa perubahan yang mungkin akan menjejaskan bajet anda. Gunakan alat seperti kalkulator pinjaman peribadi untuk membandingkan senario yang berbeza, dan jangan teragak-agak untuk bertanya kepada pihak bank tentang yuran, pilihan bayaran awal, dan kadar faedah efektif (EIR).
Layari laman Perbandingan Pinjaman Peribadi kami untuk cari pilihan yang sesuai dengan keperluan anda. Dan jika anda tidak pasti bagaimana untuk meningkatkan peluang kelulusan, panduan permohonan pinjaman langkah-demi-langkah kami sedia membantu.
Ikuti kami di saluran WhatsApp rasmi kami untuk dapatkan tips kewangan dan kemas kini terkini.
