Pernah tak anda terfikir, “Kenapa permohonan pinjaman saya asyik kena tolak?”. Jangan risau, bukan anda seorang yang pernah terfikir macam ini. Sebenarnya, ada beberapa faktor penting yang dinilai oleh bank dan pemberi pinjaman sebelum mereka meluluskan permohonan pinjaman peribadi anda. Jom kita bongkar rahsia di sebalik kelulusan pinjaman, tips dan panduan yang mudah untuk anda fahami!
Apa Sebenarnya Yang Pihak Bank Lihat Bila Mereka Semak Permohonan Anda
Bila anda mohon pinjaman peribadi, bank akan menilai kesihatan kewangan anda untuk pastikan anda boleh bayar balik. Kebiasaannya pihak bank akan utamakan dua perkara iaitu kemampuan anda untuk membayar dan kesanggupan anda untuk melunaskan pinjaman. Ini termasuk semakan umur, pendapatan, hutang sedia ada, dan cara anda urus kredit sebelum ini.
Antara sebab utama permohonan pinjaman di Malaysia selalu ditolak adalah kerana skor kredit yang rendah, hutang yang banyak, pendapatan tak stabil, atau tak melepasi syarat kelayakan umur mahupun pendapatan. Bila anda sudah faham faktor-faktor ini, inilah masanya untuk siapkan permohonan dengan lebih efektif!
1. Penting Ke Laporan CCRIS dan CTOS anda?
Skor kredit anda adalah nombor penting yang menunjukkan tahap kebolehpercayaan anda sebagai peminjam kerana ia mencerminkan sejarah pinjaman dan corak pembayaran balik anda. Di Malaysia, maklumat ini boleh didapati melalui sistem seperti CCRIS dan CTOS yang menjadi rujukan utama bank untuk menilai tingkah laku kredit anda.
Antara cara untuk membina atau memperbaiki skor kredit adalah:
- Bayar bil tepat pada masanya: Ini termasuk kad kredit, bil utiliti, dan pinjaman sedia ada. Pembayaran yang konsisten dan tepat pada masa adalah petanda positif untuk pihak bank.
- Pastikan baki kad kredit pada tahap rendah: Cuba gunakan hanya sebahagian kecil daripada had kredit yang diberikan. Kalau anda guna had kad kredit sehingga tahap maksimum, ia boleh menjejaskan skor anda sehingga menjadi negatif.
- Elakkan terlalu banyak permohonan kredit baharu: Setiap permohonan baharu boleh menjejaskan skor anda buat sementara waktu. Jadi kalau boleh, hanya buat permohonan bila betul-betul perlu sahaja.
- Mula bina kredit dari mula: Jika anda tiada sejarah kredit, pertimbangkan untuk mendapatkan kad kredit dengan had sederhana dan gunakannya secara bertanggungjawab. Bila anda ada kad kredit dan membuat pembayaran balik tepat pada masanya, memang anda ada peluang yang baik untuk mendapatkan kelulusan permohonan dengan lebih mudah kerana ia menunjukkan anda bijak dalam pengurusan kredit.
Yang paling penting, anda tidak diisytihar muflis kerana bila anda mempunyai status tersebut, ia boleh menjadi faktor utama kenapa permohonan pinjaman peribadi anda ditolak oleh pihak bank. Jadi kalau nak lebih selamat, pastikan anda semak dulu laporan kredit anda daripada CCRIS atau CTOS.
2. Adakah Pihak Bank Ambil Kira Tentang Pinjaman PTPTN atau Komitmen Lain Anda?
Ya, pihak bank memang akan mengambil kira pinjaman PTPTN dan semua komitmen kewangan anda yang lain!
Ini kerana, Nisbah Khidmat Hutang (Debt Service Ratio – DSR) anda memainkan peranan yang sangat penting. DSR ialah peratusan yang membandingkan jumlah pembayaran hutang bulanan anda dengan pendapatan bulanan bersih anda. Bank-bank di Malaysia menggunakan DSR untuk menilai keupayaan anda menguruskan hutang tambahan. Semua komitmen pinjaman sedia ada anda, termasuk pinjaman perumahan, pinjaman kereta, hutang kad kredit, dan pinjaman pendidikan seperti PTPTN, akan diambil kira dalam pengiraan DSR anda. DSR yang lebih rendah menunjukkan kepada pemberi pinjaman bahawa anda ada lebihan pendapatan untuk menampung bayaran balik untuk pinjaman baharu.
Untuk kira DSR anda, bahagikan jumlah tanggungan hutang bulanan anda dengan pendapatan bulanan bersih anda (pendapatan selepas potongan KWSP, PERKESO dan cukai). Kebanyakan bank di Malaysia mengutamakan DSR di bawah 60%, dengan sesetengahnya menetapkan sasaran di bawah 40% untuk pinjaman yang lebih besar.
Berikut adalah cara untuk tingkatkan DSR anda:
- Kurangkan hutang sedia ada: Fokus untuk bayar hutang-hutang kecil atau baki kad kredit.
- Tingkatkan pendapatan anda: Cari cara untuk tambahkan pendapatan bulanan bersih anda.
- Pertimbangkan kaedah penyatuan hutang: Menyatukan beberapa hutang dengan kadar faedah tinggi menjadi satu pinjaman peribadi dengan kadar yang lebih menguntungkan boleh mengurangkan komitmen bulanan keseluruhan anda dan seterusnya dapat meningkatkan DSR anda.
Anda juga boleh gunakan kalkulator DSR dari RinggitPlus untuk menganggarkan nisbah anda dan memahami bagaimana pinjaman peribadi yang baharu akan memberi kesan kepadanya.
3. Gaji Saya Cukup-Cukup Makan Je. Apa Lagi Yang Boleh Saya Buat Untuk Tunjukkan Pengurusan Kewangan Saya Lebih Kukuh?
Pihak bank akan lihat pendapatan yang konsisten dan kestabilan pekerjaan sebagai petunjuk kukuh bagi keupayaan anda untuk membayar balik pinjaman peribadi. Walaupun gaji anda hanya memenuhi syarat minimum, jangan risau! Ada pelbagai cara untuk tonjolkan diri dan buat permohonan pinjaman anda nampak lebih ‘wow!’ iaitu dengan memberi tumpuan kepada aspek lain dalam profil kewangan anda.
- Pekerjaan Yang Stabil: Pihak bank memang suka melihat sejarah pekerjaan yang stabil, terutamanya jika anda telah bekerja dengan majikan yang sama untuk tempoh yang lama (sekurang-kurangnya 6 bulan hingga 1 tahun). Kalau anda selalu menukar tempat kerja, ia mungkin akan menimbulkan keraguan.
- Pendapatan Yang Mencukupi: Setiap bank biasanya akan menetapkan jumlah gaji minimum bagi setiap permohonan pinjaman peribadi. Pendapatan anda perlulah mencukupi untuk membayar segala kos kehidupan dan pembayaran balik hutang bulanan termasuk pinjaman baharu.
- Bukti Pendapatan: Sediakan bukti pendapatan yang jelas dan terkini. Biasanya, ini termasuk 3 hingga 6 bulan penyata gaji terkini, penyata bank yang menunjukkan kemasukan gaji, dan penyata KWSP atau borang cukai (seperti Borang B/BE) yang terkini.
Untuk mereka yang bekerja sendiri, penting untuk anda sediakan penyata kewangan terperinci, penyata cukai, dan rekod perniagaan untuk sekurang-kurangnya bagi tempoh dua tahun. Bila anda tunjuk pendapatan yang konsisten dan pertumbuhan perniagaan yang baik, ia akan mengukuhkan lagi permohonan anda! Bukan itu sahaja, anda juga kena kekalkan skor kredit yang kukuh dan menguruskan DSR anda dengan berkesan sebagai cara untuk menunjukkan kesihatan kewangan anda kepada pemberi pinjaman.
4. Dokumen Apa Yang Saya Perlukan Untuk Membuat Permohonan Pinjaman Peribadi?

Salah satu sebab utama permohonan pinjaman peribadi ditolak atau lambat diproses adalah kerana dokumen yang tidak lengkap atau tidak tepat. Jadi, langkah pertama untuk mendapatkan pinjaman impian anda adalah dengan memastikan permohonan anda ‘tip-top’!
Pihak bank memerlukan dokumen tertentu untuk mengesahkan identiti, pendapatan dan status kewangan anda. Oleh itu, pastikan semua dokumen yang diperlukan lengkap dan tepat.
Berikut adalah dokumen-dokumen yang biasa diperlukan di Malaysia:
- Salinan kad pengenalan anda (depan dan belakang).
- Slip gaji terkini (biasanya 3 hingga 6 bulan).
- Penyata bank terkini (menunjukkan kemasukan gaji, biasanya 3 hingga 6 bulan).
- Penyata KWSP terkini.
- Borang cukai pendapatan terkini (contohnya, Borang B/BE) bersama resit pembayaran cukai rasmi.
- Untuk yang bekerja sendiri: Dokumen pendaftaran perniagaan, penyata bank syarikat terkini, dan penyata cukai.
Pastikan anda sediakan senarai semak semua dokumen yang diperlukan berdasarkan syarat-syarat pemberi pinjaman. Semua dokumen mestilah terkini, jelas dan disusun dengan kemas. Bila anda hantar permohonan yang teratur dan lengkap, anda akan memudahkan pihak bank memproses pinjaman peribadi anda dengan lebih efisien!
5. Berapa Banyak Yang Patut Anda Mohon? Adakah Permohonan Terlalu Sedikit atau Terlalu Banyak Boleh Ditolak?
Memang ini antara soalan yang ramai orang terfikir sebelum membuat pinjaman. Jawapannya, ya, jumlah pinjaman peribadi yang anda mohon dan tempoh bayaran balik yang anda pilih boleh mempengaruhi kelulusan dari pihak bank. Jumlah permohonan anda yang terlalu sedikit atau terlalu banyak juga boleh memberi kesan pada permohonan anda!
Jumlah Pinjaman Yang Mampu Milik: Walaupun anda mungkin layak untuk jumlah yang besar, tetapi sebenarnya lebih bijak kalau anda hanya meminjam jumlah yang anda benar-benar perlukan dan mampu bayar balik dengan selesa setiap bulan. Memohon jumlah yang terlalu kecil berbanding pendapatan anda mungkin kadangkala menimbulkan persoalan, tetapi boleh dikatakan situasi seperti ini jarang berlaku berbanding permohonan untuk jumlah yang terlalu besar.
Tempoh Pinjaman: Tempoh bayaran balik akan mempengaruhi bayaran bulanan anda dan jumlah faedah yang perlu dibayar. Tempoh yang lebih pendek bermakna bayaran bulanan lebih tinggi tetapi jumlah faedah yang lebih rendah. Sebaliknya, tempoh yang lebih panjang bermakna bayaran bulanan yang lebih rendah tetapi jumlah faedah yang lebih tinggi. Pilih tempoh yang membolehkan anda membuat bayaran bulanan tanpa tekanan kewangan.
Pihak bank akan menilai sama ada jumlah pinjaman dan tempoh yang anda minta sesuai dengan profil risiko kewangan anda. Kalau anda mohon jumlah yang akan ‘mencekik’ kewangan anda, ia boleh menyebabkan permohonan anda ditolak. Oleh itu, gunakanlah kalkulator pinjaman peribadi untuk membantu anda menentukan jumlah bayaran balik bulanan yang realistik berdasarkan jumlah pinjaman dan tempoh yang berbeza.
6. Boleh Ke Mohon Pinjaman dari Pelbagai Bank Dalam Satu Masa?
Mungkin ada yang rasa dengan memohon pinjaman peribadi di banyak bank pada masa yang sama boleh meningkatkan peluang anda untuk mendapatkan kelulusan. Sebenarnya, tindakan ini boleh memberi kesan negatif pada skor kredit anda!
Setiap permohonan kredit baharu biasanya akan menghasilkan ‘pertanyaan keras’ atau ‘hard inquiry‘ pada laporan kredit anda. Sekiranya terlalu banyak ‘hard inquiry‘ dalam tempoh yang singkat, pihak bank mungkin akan menganggap anda sedang terdesak atau sedang mengambil terlalu banyak hutang. Ia secara tidak langsung akan menurunkan skor kredit anda, sekaligus menyukarkan permohonan pinjaman anda di masa hadapan.
Daripada anda memohon pelbagai pinjaman peribadi di bank yang berbeza secara serentak, lebih baik jika anda:
- Buat Kajian dan Bandingkan: Gunakan platform perbandingan dalam talian seperti RinggitPlus untuk mengkaji dan membandingkan tawaran dari pelbagai bank.
- Mohon di Satu Tempat Terbaik: Mohon hanya di bank atau institusi yang paling sesuai dengan profil dan keperluan anda.
- Fahami Sebab Permohonan Ditolak: Jika permohonan pertama anda ditolak, fahami dahulu sebabnya sebelum memohon di tempat lain. Ini membolehkan anda menyelesaikan sebarang isu yang ada.
Dengan strategi yang betul, anda bukan sahaja dapat melindungi skor kredit anda tetapi juga meningkatkan peluang untuk mendapatkan pinjaman peribadi yang anda inginkan!
7. Adakah Hubungan Dengan Pihak Bank Itu Penting?

Anda ada menyimpan wang atau menggunakan perkhidmatan bank tertentu? Kadangkala, hubungan baik dengan bank boleh memberikan kelebihan dalam permohonan pinjaman peribadi anda!
Kalau anda ada akaun simpanan, deposit tetap, atau produk perbankan lain dengan bank tertentu dan sentiasa menjaganya dengan baik, ini mungkin menjadi satu kelebihan. Sejarah pembayaran balik yang cemerlang bagi kemudahan kredit lain dengan bank tersebut (seperti kad kredit atau pinjaman sedia ada) akan membuktikan kepada mereka bahawa anda seorang pembayar yang berdisiplin.
Walaupun ini tidak menjamin kelulusan permohonan pinjaman, tetapi hubungan perbankan yang positif pasti akan menyumbang kepada proses permohonan pinjaman peribadi yang lebih lancar. Jadi, teruskanlah menjadi pelanggan yang cemerlang!
Langkah Terakhir Untuk Mendapatkan Kelulusan Pinjaman!
Untuk mendapatkan pinjaman peribadi yang diluluskan memerlukan persediaan rapi dan pemahaman yang mendalam tentang apa yang dilihat serta diteliti oleh pihak bank di Malaysia. Dengan memberikan tumpuan kepada perkara-perkara ini, anda pasti akan meningkatkan peluang kejayaan anda!
- Skor Kredit: Jaga skor kredit anda dengan baik.
- Nisbah Khidmat Hutang (DSR): Uruskan DSR anda dengan bijak.
- Pekerjaan Stabil: Kekalkan pekerjaan yang stabil.
- Dokumen Tepat: Sediakan dokumen yang lengkap dan tepat.
- Pinjaman Bertanggungjawab: Mohon pinjaman dengan jumlah yang mampu untuk dibayar semula.
Ingat, setiap bank mempunyai kriteria tersendiri. Jika permohonan anda ditolak oleh satu bank, jangan berputus asa! Boleh guna platform kami di RinggitPlus untuk membandingkan pelbagai pilihan pinjaman peribadi dari pelbagai bank di seluruh Malaysia. Alat perbandingan kami akan membantu anda mencari pinjaman peribadi yang paling sesuai dengan profil kewangan anda dan meningkatkan kebarangkalian permohonan anda diluluskan.
