Cara Pindahan Baki Kad Kredit Berfungsi dan Waktu Paling Sesuai Menggunakannya

KONGSI

Pindahan baki atau balance transfer kad kredit sering dianggap sebagai cara mudah untuk kurangkan caj faedah dan melangsaikan hutang dengan lebih cepat. Namun, tanpa pemahaman yang betul, ia boleh menjadi perangkap kewangan yang menambahkan beban hutang.

Pindahan baki kad kredit ialah proses memindahkan baki hutang anda ke kad lain yang menawarkan kadar faedah rendah atau sifar untuk tempoh promosi tertentu, biasanya antara 6 hingga 12 bulan. Dengan cara ini, lebih banyak bayaran bulanan digunakan untuk melangsaikan baki hutang sebenar, bukannya sekadar membayar faedah.

Sebagai contoh, hutang RM10,000 pada kad kredit dengan kadar faedah 18% setahun boleh menyebabkan anda membayar sekitar RM2,000 dalam bentuk faedah. Dengan pindahan baki kad kredit, kos ini boleh dikurangkan kepada yuran pemprosesan sahaja, contohnya RM300 untuk 3% yuran pindahan baki.

Namun, penting untuk anda faham bagaimana pindahan baki berfungsi. Sekiranya anda tidak melangsaikan sebahagian besar hutang sebelum tempoh promosi tamat, baki yang tinggal akan dikenakan kadar faedah biasa antara 15% hingga 18% setahun. Ini menunjukkan risiko pindahan baki jika pengguna tidak disiplin membuat bayaran.

Fahami Kos dan Yuran Pindahan Baki

Pindahan baki kad kredit bukanlah percuma. Kebanyakan bank di Malaysia mengenakan yuran pindahan baki berdasarkan jumlah yang dipindahkan. Sebagai contoh, Maybank mengenakan 3% untuk pelan Pindahan Baki  biasa dan pilihan Pindahan Baki patuh Syariah, manakala bank lain mungkin mempunyai kadar yang berbeza. Sesetengah bank, seperti CIMB, kadangkala menawarkan promosi tanpa yuran pemprosesan.

Contohnya, jika anda memindahkan RM10,000 dengan yuran 3%, anda perlu membuat bayaran pendahuluan sebanyak RM300. Yuran ini biasanya ditambah terus ke baki dipindahkan, menjadikan baki hutang anda bermula dari RM10,300.

Ada juga bank yang membenarkan bayaran yuran secara berasingan tanpa menambahkannya ke baki kad. Jika anda mempunyai wang tunai yang mencukupi, lagi bagus jika anda membayar terus yuran tersebut.. Jika tidak, anda akan dikenakan faedah ke atas yuran ini selepas tempoh promosi tamat.

Yuran Pindahan Baki yang Perlu Anda Ambil Kira

Walaupun dikenali sebagai pindahan baki 0%, kebanyakan pelan tetap mengenakan yuran pindahan baki, biasanya sekitar 3% daripada jumlah yang dipindahkan.

Sebagai contoh, jika anda memindahkan RM10,000, yuran pemprosesan sebanyak RM300 akan dikenakan. Ini bermakna baki hutang sebenar anda bermula pada RM10,300. Yuran ini perlu diambil kira kerana ia memberi kesan secara langsung kepada penjimatan sebenar yang anda peroleh.

Cara Mengira Penjimatan dengan Pindahan Baki Kad Kredit

Walaupun kebanyakan bank menyediakan kalkulator di laman web mereka, tetapi kadar penjimatan tersebut dilihat dengan lebih jelas jika anda membuat pengiraan sendiri. Contohnya dengan melihat perbandingan mudah di bawah:

Perbandingan Kad Semasa dan Pemindahan Baki

Kad Kredit SemasaPemindahan Baki 0%
Jumlah HutangRM10,000RM10,000
Faedah / Kadar18% setahun0% untuk 12 bulan
Yuran PemprosesanRM300 (3%)
Bayaran BulananRM500RM860
Tempoh Penyelesaian24 bulan12 bulan
Jumlah Faedah / YuranRM2,000RM300
Jumlah Keseluruhan BayaranRM12,000RM10,300
PenjimatanRM1,700

Nota: Untuk memudahkan perancangan kewangan, anda boleh menggunakan kadar bulanan bagi mengira anggaran jumlah bayaran balik. Walaupun pengiraan bank adalah secara harian, perbezaannya tidaklah terlalu ketara jika bayaran dibuat secara tetap. Cara ini membantu anda melihat dengan jelas berapa lama masa yang diambil untuk melangsaikan hutang tersebut.

Kalau anda hanya membayar RM500 sebulan pada kad baru, baki hutang masih RM4,140 selepas 12 bulan, dan kadar faedah biasa 15% hingga 18% akan dikenakan semula. Maksudnya, anda sudah bayar RM300 yuran pindahan baki tapi masih membawa sebahagian besar hutang.

Ini menunjukkan bahawa pindahan baki kad kredit hanya memberi penjimatan jika anda dapat melangsaikan hampir semua hutang dalam tempoh promosi.

Proses Pemindahan Baki Kad Kredit

Permohonan pindahan baki kad kredit tidak berlaku serta-merta. Proses tersebut biasanya mengambil masa antara 5 hingga 14 hari bekerja, dan boleh menjadi lebih lama sekiranya bank memerlukan dokumen tambahan.

Sementara menunggu pemindahan selesai, anda hendaklah terus membuat bayaran pada kad asal. Sekiranya anda terlepas bayaran kerana menganggap pindahan telah selesai, anda akan dikenakan yuran lewat bayar serta faedah tambahan. Pastikan anda terus membayar kad lama sehingga menerima pengesahan bertulis daripada bank bahawa pindahan baki telah lengkap.

Apa yang Berlaku Pada Kad Anda Selepas Pindahan Baki

Kad asal tidak akan dibatalkan secara automatik. Walaupun hutang telah dipindahkan, akaun kad tetap aktif kecuali anda membuat permohonan khusus untuk membatalkannya.

Ramai beranggapan kad lama perlu dibatalkan segera, tetapi ini perlu diteliti semula. Membatalkan kad kredit lama anda boleh menjejaskan skor kredit, kerana jumlah kredit tersedia akan berkurangan, menjadikan baki hutang pada kad lain kelihatan lebih tinggi secara relatif.

Sekiranya kad anda berusia kurang daripada 12 bulan, tindakan anda membatalkan kad berkenaan tidak memberi kesan yang besar. Namun, bagi kad yang telah lama digunakan, mengekalkannya dapat membantu profil kredit keseluruhan anda.

Pada peringkat ini, ramai yang tersilap langkah. Kad lama menunjukkan baki sifar dengan had kredit penuh, manakala kad baru untuk pindahan baki biasanya mempunyai had kredit tambahan. Godaan untuk menggunakan salah satu kad itu memang wujud, tetapi lebih baik elakkan. Jika tidak, anda hanya akan menambah hutang pada beberapa kad dan bukannya menyelesaikan masalah asal.

Sekiranya anda betul-betul serius mahu melangsaikan hutang, gunakan wang tunai atau kad debit sahaja sehingga semua hutang diselesaikan. Jika perlu memiliki kad kredit untuk tujuan kecemasan, simpan satu kad dengan had rendah yang tidak terlibat dalam pindahan baki.

Akibat Jika Terlepas Bayaran Pindahan Baki Kad Kredit

Pindahan baki kad kredit boleh menjadi perangkap jika tidak diurus dengan betul.

Sekiranya anda terlepas bayaran semasa tempoh promosi, kebanyakan bank akan:

  • Membatalkan kadar promosi 0% serta-merta
  • Mengenakan faedah penuh ke atas baki keseluruhan seolah-olah promosi tidak pernah wujud
  • Menarik yuran lewat bayar (biasanya RM10 atau 1% daripada baki tertunggak, mana-mana yang lebih tinggi, sehingga maksimum RM100)
  • Melaporkan kelewatan bayaran kepada biro kredit

Promosi “0% selama 12 bulan” hanya sah selagi semua bayaran dibuat tepat pada masanya dan penuh.

Bayaran lewat akan kekal dalam laporan CCRIS selama 12 bulan dan di CTOS selama 24 bulan. Ini boleh menjejaskan permohonan pinjaman masa depan dan berpotensi menyebabkan kadar faedah lebih tinggi atau ditolak sama sekali.

Untuk mengelakkan terlepas bayaran, sediakan pembayaran automatik dari akaun bank anda sekurang-kurangnya jumlah minimum (biasanya 5% daripada baki tertunggak atau RM50, mana-mana yang lebih tinggi). Walaupun anda bercadang untuk membayar lebih, kaedah ini memastikan anda tidak tersilap terlepas tarikh akhir.

Bolehkah Anda Buat Penyelesaian Awal?

Kebanyakan bank membenarkan penyelesaian awal, iaitu melangsaikan baki penuh sebelum tempoh promosi tamat. Ada bank yang menghapuskan yuran penyelesaian awal sepenuhnya.

Namun, sesetengah bank mengenakan yuran sehingga RM100. Sebagai contoh, jika anda merancang melangsaikan hutang dalam tiga bulan tetapi memilih pelan 12 bulan, yuran ini mungkin mengurangkan penjimatan anda.

Sentiasa semak terma sebelum mendaftar. Jika penyelesaian awal adalah percuma, tiada risiko memilih tempoh promosi lebih lama sebagai perlindungan. Jika terdapat  yuran yang dikenakan, pertimbangkan semula sama ada membayar yuran itu masih menjimatkan jika dibandingkan dengan kadar faedah semasa kad anda.

Sebelum Anda Mohon, Tanya Dulu Soalan Ini

Berapakah jumlah minimum pindahan baki?

Kebanyakan bank menetapkan jumlah minimum antara RM1,000 hingga RM3,000 bergantung pada pelan. Jika baki hutang anda lebih kecil, anda mungkin tidak layak untuk pindahan baki kad kredit.

Apa berlaku jika saya perlu membuat pindahan baki lagi?

Meskipun pindahan baki boleh dilakukan berulang kali, terdapat risiko yang perlu dipertimbangkan. Setiap transaksi tertakluk kepada yuran pemprosesan. Selain itu, permohonan kad baharu secara kerap akan meningkatkan kekerapan semakan kredit yang boleh menjejaskan skor kredit anda.

Bilakah Masa yang Sesuai untuk Gunakan Pindahan Baki?

Pindahan baki kad kredit paling berkesan jika anda sudah mengurus hutang dengan baik dan mahu melangsaikannya dengan lebih cepat. Jika anda sering hanya membayar jumlah minimum atau kerap melebihi had kad, pindahan baki tidak akan menyelesaikan masalah asas. Anda perlu membaiki tabiat perbelanjaan terlebih dahulu. Panduan praktikal kami tentang cara melangsaikan hutang kad kredit dan mengurus hutang tanpa menjejaskan bajet boleh membantu anda.

Pindahan baki sesuai dipertimbangkan apabila anda boleh melangsaikan sekurang-kurangnya 80% hutang dalam tempoh promosi, yuran pemprosesan kurang daripada kos faedah tiga bulan pada kad semasa, mempunyai pendapatan stabil dan skor kredit yang baik untuk membuat pembayaran tetap bulanan, dan komited untuk tidak menambah caj baru pada mana-mana kad sepanjang tempoh itu.

Keluar dari Hutang Melalui Pindahan Baki

Mula-mula, kira jumlah bayaran bulanan anda. Kemudian lihat sama ada pindahan baki kad kredit boleh menjadikan pembayaran lebih berkesan. Jika ya, dan anda mampu komited dengan disiplin tersebut, bandingkan pilihan kad yang ada.

Anda boleh menggunakan alat perbandingan RinggitPlus untuk menyemak kadar pindahan baki terkini daripada Maybank, CIMB, Hong Leong Bank dan lain-lain.

Jika anda belum bersedia untuk membuat pindahan baki, mulakan dengan membayar lebih daripada jumlah minimum pada kad semasa selama 2 bulan. Sekiranya anda dapat mengekalkan bayaran lebih tinggi secara konsisten, pindahan baki boleh dipertimbangkan untuk mempercepatkan proses pelunasan hutang.

Untuk tips kewangan bijak yang lain, sertai saluran WhatsApp kami untuk kemaskini terkini.

5 2 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments