Sesetengah rakyat Malaysia menganggap pembelian kereta sebagai salah satu komitmen kewangan yang besar dan biasanya ia adalah pembelian kedua terbesar selepas rumah. Oleh itu, mendapatkan pra-kelulusan pinjaman kereta sebelum anda mula mencari kereta yang bersesuaian adalah langkah yang bijak. Dengan cara ini, anda dapat menjangkakan bajet untuk membeli kereta serta mempunyai kelebihan semasa berunding di pusat pameran kereta.
Dengan mendapatkan pra-kelulusan pinjaman kereta, beberapa bank seperti Maybank, CIMB, Public Bank, dan Hong Leong Bank akan meletakkan kepercayaan pada anda untuk memberikan pinjaman dengan jumlah tertentu pada kadar faedah yang tetap. Kelebihan ini membolehkan anda fokus untuk menawar harga kereta tanpa perlu bimbang sama ada anda layak mendapat pembiayaan atau tidak.
Pra-kelulusan ini juga membolehkan anda menetapkan kadar faedah lebih awal. Berdasarkan pasaran tahun 2026, kadar faedah bagi kereta baharu biasanya sekitar 2.4% hingga 3.5% setahun, manakala kadar faedah bagi kereta terpakai pula adalah lebih tinggi, iaitu sekitar 3.5% hingga 4.5% setahun. Kadar ini bergantung kepada pihak bank, jenis kereta, dan tempoh pembiayaan.
Apabila anda sudah mengetahui kadar faedah sebelum membeli, anda boleh membuat pengiraan kos sebenar kenderaan tersebut dengan lebih tepat.
Apakah Perbezaan Antara Pra-Kelulusan dan Pra-Kelayakan?
Pra-kelayakan adalah semakan awal yang ringkas di mana anda memberikan maklumat kewangan yang asas. Pihak bank akan memberikan anggaran jumlah pinjaman dan julat kadar faedah berdasarkan apa yang anda beritahu tanpa mengesahkan maklumat tersebut. Senang kata, ia ibarat gambaran kasar tentang kemampuan kewangan anda.
Pra-kelulusan pula adalah proses yang lebih menyeluruh. Pihak bank akan mengesahkan pendapatan anda. Kemudian mereka akan menyemak rekod CCRIS anda daripada Bank Negara Malaysia dan meneliti Nisbah Khidmat Hutang sebelum memberikan komitmen bersyarat. Anda akan menerima syarat khusus yang tidak mempunyai perubahan yang ketara melainkan terdapat perubahan pada situasi kewangan anda atau masalah dengan kereta yang anda pilih.
Pada masa yang sama, anda perlu memberi perhatian terhadap pra-kelulusan rasmi sebagai produk perbankan standard tidak ditawarkan secara meluas di Malaysia seperti di Amerika Syarikat atau United Kingdom. CARCO ada menawarkan sijil pra-kelulusan tetapi kebanyakan bank di Malaysia biasanya memproses pinjaman kereta pada waktu pembelian melalui panel bank pengedar kereta. Penjelasan ini menggambarkan bagaimana proses tersebut berfungsi apabila anda memohon kelulusan awal daripada pihak bank.
Berapa Lama Perlu Anda Tunggu Untuk Tempoh Kelulusan?
Bank yang mempunyai proses yang sistematik boleh meluluskan permohonan lengkap anda dalam masa 3 hingga 5 hari bekerja sekiranya dokumen anda mencukupi dan profil kewangan anda kukuh.
Namun, permohonan yang memerlukan pemeriksaan lebih mendalam mungkin mengambil masa seminggu atau lebih, terutamanya bagi pinjaman yang besar atau jika anda mempunyai banyak hutang lain yang perlu dinilai dengan teliti.
Terdapat juga pengedar kereta di Malaysia yang bekerjasama dengan panel bank tertentu yang boleh memproses permohonan dengan lebih cepat melalui hubungan kerjasama yang sudah lama terjalin serta prosedur yang lebih ringkas.
Dokumen Apa yang Anda Perlukan?
Senarai dokumen biasanya hampir sama bagi kebanyakan bank:
| Jenis Dokumen | Apa yang Anda Perlukan |
| Identiti | MyKad (depan dan belakang), lesen memandu |
| Bukti Pendapatan (Bekerja) | Slip gaji 3 hingga 6 bulan terkini, penyata bank 3 hingga 6 bulan terkini, penyata KWSP (3 hingga 6 bulan), surat pengesahan jawatan atau surat tawaran kerja |
| Bukti Pendapatan (Bekerja Sendiri) | Sijil pendaftaran perniagaan (SSM), penyata bank syarikat 6 bulan terkini, borang cukai atau akaun yang telah diaudit |
| Dokumen Tambahan | Bukti alamat (bil utiliti), rujukan dari mana-mana kenalan (biasanya ahli keluarga yang tidak tinggal serumah), penyata pinjaman sedia ada |
Pihak bank mahu melihat pendapatan yang berterusan sekurang-kurangnya 3 hingga 6 bulan untuk memastikan gaji anda stabil. Jika anda baru sahaja memulakan kerja baharu, anda perlu menunggu sehingga mempunyai slip gaji yang mencukupi, kecuali jika anda layak untuk skim graduan yang dikhususkan untuk lepasan universiti.
Adakah Pra-Kelulusan Mempengaruhi Skor Kredit Anda?

Semasa anda memohon pra-kelulusan, pihak bank akan menyemak rekod CCRIS anda daripada Bank Negara Malaysia. CCRIS kemudiannya akan menyediakan data sejarah kredit anda, termasuk semua pinjaman sedia ada, corak pembayaran balik, dan sebarang tunggakan. Bank menggunakan sistem pemarkahan kredit tersendiri untuk membuat keputusan dan akan meneliti data CCRIS tersebut mengikut kriteria dalaman masing-masing.
Setiap permohonan pra-kelulusan dengan sesebuah bank akan direkodkan sebagai satu semakan rasmi dalam laporan kredit anda. Jika terdapat banyak semakan dalam tempoh masa yang singkat, ia boleh memberikan isyarat risiko kepada pihak bank. Biro kredit di Malaysia tidak mengumpulkan permohonan pinjaman yang serupa secara automatik seperti di sesetengah negara lain. Sebaiknya, anda hanya memohon di bank yang benar-benar anda pertimbangkan.
Bank mahu melihat sejarah pembayaran yang bersih tanpa sebarang bayaran lewat atau tunggakan. DSR anda juga sangat penting, di mana kebanyakan bank lebih suka jika kadarnya di bawah 60% walaupun had yang ditetapkan berbeza mengikut bank. Jika anda tidak mempunyai sejarah kredit, ia boleh menyukarkan permohonan anda kerana bank tidak dapat menilai tahap kepercayaan terhadap anda.
Kalau anda tidak pernah mempunyai sebarang pinjaman atau kad kredit, anda boleh pertimbangkan untuk mendapatkan kad kredit dan menjaga rekod pembayaran yang baik sekurang kurangnya selama 6 bulan sebelum memohon pinjaman kereta.
Kad kredit bercagar boleh membantu jika anda sukar untuk mendapatkan kad kredit biasa. Anda hanya perlu meletakkan deposit dengan bank dan ia biasanya bermula dari RM2,000 dan anda akan menerima kad dengan had kredit yang sama.
Selepas 6 hingga 12 bulan membuat pembayaran tepat pada masanya, banyak bank akan menukarkannya kepada kad kredit biasa.
Boleh Ke Anda Dapatkan Lebih Daripada Satu Pra-Kelulusan?
Setiap bank menawarkan syarat yang berbeza, jadi lebih baik jika anda membuat perbandingan terlebih dahulu. Perbezaan kadar faedah antara bank boleh melebihi 1%, dan jumlah ini akan menjadi sangat besar jika dikira sepanjang tempoh pinjaman selama 7 atau 9 tahun. Kebanyakan bank menawarkan pembiayaan sehingga 90% untuk produk standard, dengan tempoh pinjaman sehingga 9 tahun bagi kereta baharu dan 7 tahun bagi kereta terpakai.
Proses membandingkan tawaran ini menjadi lebih mudah melalui platform dalam talian seperti RinggitPlus. Anda boleh melihat kadar faedah serta syarat daripada pelbagai bank dan terus memohon tanpa perlu berkunjung ke banyak cawangan bank.
Walau bagaimanapun, anda perlu pertimbangkan juga kesannya terhadap semakan kredit anda. Setiap permohonan akan meninggalkan rekod semakan dalam laporan CCRIS, jadi jangan memohon secara melulu di semua tempat. Bertindak secara strategik dengan menyenarai pendek dua atau tiga bank yang menawarkan syarat terbaik, kemudian barulah anda membuat permohonan kepada bank tersebut.
Bolehkah Anda Menggunakan Pra-Kelulusan di Mana-Mana Kedai Kereta?
Jika anda sudah mendapat kelulusan awal daripada pihak bank (seperti sijil pra-kelulusan daripada CARCO), anda boleh menggunakannya di mana-mana pengedar sah. Walau bagaimanapun, kebanyakan pembelian kereta di Malaysia dilakukan melalui panel bank pengedar, dan di sinilah biasanya anda akan menemui kadar faedah yang kompetitif serta tawaran promosi eksklusif.
Kelebihan mempunyai kelulusan awal adalah dari segi kuasa untuk tawar-menawar. Anda sudah tahu bajet anda dan boleh fokus sepenuhnya pada harga kereta berbanding berbincang tentang bayaran bulanan.
Bagaimana Jika Pra-Kelulusan Anda Ditolak?
Permohonan boleh ditolak disebabkan beberapa sebab. Faktor yang paling kerap berlaku adalah kerana DSR anda sudah terlalu tinggi. Selain itu, bayaran lewat, tunggakan, atau rekod hutang yang tidak berbayar dalam laporan CCRIS menunjukkan risiko kepada pihak bank. Masalah dari segi ketiadaan sejarah kredit turut menyukarkan keadaan kerana bank memerlukan rekod untuk meluluskan kredit.
Pendapatan yang tidak mencukupi atau tidak stabil juga merupakan isu biasa. Bank tidak dapat mengesahkan kemampuan anda untuk membayar balik jika slip gaji dan penyata bank tidak mencukupi, atau jika pendapatan anda tidak menentu. Status pekerjaan juga penting. Pekerjaan secara kontrak, sambilan, atau sementara membuatkan kelulusan lebih sukar kerana bank lebih mengutamakan jawatan tetap.
Untuk mengetahui punca sebenar permohonan anda ditolak, anda boleh mendapatkan alasan yang spesifik daripada pihak bank dengan menghubungi mereka. Selain itu, semak juga laporan kredit anda melalui eCCRIS di laman web Bank Negara Malaysia. Selesaikan sebarang hutang tertunggak atau bayaran lewat sebelum memohon semula. Jika anda tiada sejarah kredit, sudah tiba masanya untuk anda membinanya melalui kad kredit atau kad kredit bercagar seperti yang disebut sebelum ini.
Kurangkan komitmen sedia ada dengan membayar baki pinjaman untuk memperbaiki DSR anda. Anda juga boleh pertimbangkan untuk mendapatkan penjamin jika pendapatan atau kredit anda belum cukup kukuh. Cuba memohon di bank yang berbeza kerana setiap bank mempunyai kriteria penilaian dan tahap risiko yang berlainan. Anda juga boleh memohon di bank yang anda sudah mempunyai akaun simpanan atau simpanan tetap kerana hubungan sedia ada boleh membantu permohonan anda.
Elakkan dari membuat permohonan berkali-kali di pelbagai bank dalam tempoh singkat selepas permohonan ditolak. Ini akan mewujudkan banyak rekod semakan yang boleh menjejaskan lagi kedudukan kredit anda. Ambil masa untuk selesaikan isu utama terlebih dahulu sebelum cuba untuk membuat permohonan seterusnya.
Adakah Anda Perlu Mempunyai Pra-Kelulusan Untuk Membeli Kereta?

Pra-kelulusan bukanlah sesuatu yang perlu ada sebelum anda membeli kereta. Kebanyakan rakyat Malaysia memohon pembiayaan hanya semasa mahu membeli melalui panel bank pengedar kereta, kerana prosesnya lebih cepat dan biasanya disertakan dengan kadar promosi.
Kelebihan utama mempunyai pra-kelulusan adalah anda tahu bajet yang tepat sebelum anda ‘jatuh hati’ dengan kereta yang mungkin di luar kemampuan anda. Tanpa kelulusan awal, jurujual cenderung untuk fokus kepada bayaran bulanan berbanding jumlah kos keseluruhan. Perkara ini memudahkan mereka untuk memujuk anda membeli model yang lebih mahal. Dengan adanya pra-kelulusan, anda akan berpendirian tetap dengan bajet asal dan boleh berunding sepenuhnya mengenai harga kereta sahaja.
Pilihan sebenarnya bergantung kepada anda. Sama ada anda lebih mengutamakan kemudahan melalui panel bank pengedar, atau mahu mendapatkan kadar faedah terbaik dengan membuat perbandingan sendiri melalui kelulusan awal daripada beberapa bank.
Dapatkan Tawaran Terbaik
Walaupun pra-kelulusan rasmi bukanlah satu perkara biasa bagi kebanyakan bank di Malaysia, tetapi prinsipnya tetap sama. Pastikan anda tahu bajet anda sebelum mula mencari kereta, fahami tahap DSR serta status kredit anda, dan bandingkan tawaran daripada pelbagai pihak bank. Sama ada anda mendapatkan kelulusan awal sendiri atau menggunakan pembiayaan melalui panel bank pengedar, persediaan awal ini membolehkan anda berunding dengan lebih yakin berbanding hanya mengharapkan nasib semasa di kedai kereta.
Semak laporan CCRIS anda, kira DSR anda dan gunakan alat perbandingan untuk melihat kadar faedah yang ditawarkan oleh bank yang berbeza. Semakin banyak maklumat yang anda tahu, semakin baik tawaran yang akan anda perolehi nanti.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tips kewangan dan maklumat terkini.
