Ketua Pengarah Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes memaklumkan harga minyak global yang meningkat ketika ini menyebabkan kenaikan tambang penerbangan yang tidak dapat dielakkan lagi.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan kadar kenaikan harga tambang di AirAsia dijangka lebih rendah berbanding syarikat penerbangan lain.
“Kami perlu menaikkan tambang, tiada pilihan lain. Kami juga perlu mengurangkan kos operasi dan meningkatkan sumber pendapatan lain,” katanya pada sidang media perkembangan terbaharu Capital A.
Permintaan Masih Kukuh, Tempat Duduk Makin Terhad
Meskipun kos bahan api menekan industri penerbangan, Tony berkata permintaan perjalanan udara ketika ini lebih baik berbanding sebelum ini.
Pengurangan kapasiti oleh syarikat penerbangan dari rantau Teluk seperti Emirates, Qatar Airways dan Etihad Airways turut menyumbang kepada situasi ini, di mana ia dianggarkan melibatkan 15% hingga 20% tempat duduk penerbangan.
“Situasi ini menyebabkan penerbangan menjadi penuh. Saya sendiri terpaksa menunggu penumpang tidak hadir untuk mendapatkan tempat duduk ketika pulang dari Vietnam,” katanya.
Keuntungan Capital A Tidak Terjejas
Tony turut menjelaskan bahawa keuntungan Capital A tidak terkesan walaupun harga minyak meningkat dua kali ganda, tetapi mengakui ada kesan pada tahap minimum.
“Saya tidak pernah kata tiada impak, tetapi impaknya kecil. Kadangkala harga makanan akan meningkat kerana kos makanan akan naik,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa usaha mengekang kesan kenaikan harga tidak boleh dipikul oleh syarikat penerbangan sahaja. Kerjasama daripada kawalan trafik udara, syarikat minyak dan pihak lain dalam industri juga perlu.
Tiada Lagi AirAsia X, Capital A Kini Tumpu 5 Perniagaan Teras
Pada sidang media yang sama, Capital A mengumumkan pelantikan Effendy Shahul Hamid sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, berkuat kuasa 6 April 2026.
Susulan pelupusan perniagaan penerbangannya kepada AirAsia X Berhad pada Januari 2026, Capital A kini menumpukan kepada lima perniagaan teras: Asia Digital Engineering (MRO), Teleport (logistik), AirAsia MOVE (platform mobiliti dan pelancongan), AirAsia Next (pengurusan jenama dan harta intelek) dan Santan (makanan dan minuman).
Penerbangan Tidak Akan Dibatalkan
AirAsia merancang untuk menggunakan tempoh permintaan yang lebih rendah selepas Hari Raya ini untuk melakukan kerja-kerja penyelenggaraan pesawat bagi meningkatkan prestasi dari segi ketepatan masa.
“Kami tidak akan membatalkan penerbangan dan kekal yakin akan keluar daripada situasi ini dengan lebih kukuh,” kata Tony.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
