Google Tingkatkan Perlindungan Penipuan Dalam Play Protect

KONGSI

Google baru mengumumkan peningkatan ciri perlindungan dari penipuan (scam) dalam Google Play Protect untuk semua pengguna Android di Malaysia. 

Pengumuman ini dibuat semasa Dialog Keselamatan Dalam Talian 2026, dan ia khusus untuk menangani penipuan yang menggunakan perisian hasad (malware).

Apa Yang Berubah Dalam Play Protect?

Sebelum ini, Google cuba menyekat terus pemasangan aplikasi yang tidak disahkan melalui sideloading. Kali ini, pendekatannya berbeza dan lebih pintar.

Play Protect kini akan memeriksa secara masa nyata (real time) kebenaran yang diminta oleh sesebuah aplikasi. Ini berlaku setiap kali anda cuba memasang aplikasi yang berpotensi berisiko daripada sumber sideloading seperti pelayar web, aplikasi pesanan atau pengurus fail.

Apa yang diperiksa secara khusus pula ialah kebenaran masa jalan (runtime permissions) yang sering disalahgunakan untuk penipuan kewangan, contohnya membaca SMS atau memintas kata laluan satu kali (OTP).

Jika aplikasi meminta kebenaran sedemikian, pemasangannya akan disekat secara automatik. Anda juga akan menerima notis yang menjelaskan sebab ia disekat. Proses ini turut melibatkan kecerdasan buatan (AI).

Semua Aplikasi Android Mesti Dari Pembangun Yang Disahkan Mulai 2027

Selain perlindungan pengguna, Google turut menguatkuasakan langkah di peringkat pembangun.

Menjelang 2027, semua aplikasi pada peranti Android yang diperakui di Malaysia mesti berasal daripada pembangun yang telah disahkan. Ini bermakna, aplikasi tanpa identiti pembangun yang sah tidak akan dapat beroperasi pada peranti tersebut.

Bagi iklan pula, Google menetapkan bahawa iklan berkaitan perkhidmatan kewangan mesti disahkan oleh pengawal selia termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (ST) sebelum boleh disiarkan di platform Google.

Google Sumbang Lebih RM19 Juta Untuk Literasi Digital ASEAN

Perlindungan teknikal sahaja tidak mencukupi jika pengguna sendiri tidak tahu mengenal penipuan.

Google menyediakan The ASEAN Foundation dengan pembiayaan sebanyak US$5 juta (lebih kurang RM19.76 juta) untuk inisiatif Scam Ready ASEAN. Ini merupakan program yang bertujuan membantu pengguna di rantau Asia Tenggara lebih peka dan berwaspada terhadap penipuan dalam talian. 

Selain itu, Google turut membangunkan permainan dalam talian Be Scam Ready yang sudah tersedia dalam Bahasa Inggeris sejak beberapa waktu lalu. Versi Bahasa Malaysia pula dijangka tersedia pada suku ketiga 2026.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments