Tidak dinafikan, subsidi minyak petrol BUDI95 sebanyak 300 liter sebulan yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyat Malaysia amatlah membantu terutamanya buat golongan B40 dan M40.
Jika nak dibandingkan dengan harga minyak petrol RON95 pada waktu ini, sudah pasti jumlah RM1.99 seliter itu cukup bermakna kepada ‘poket’ rakyat Malaysia.
Walau bagaimanapun, baru-baru ini tular di media sosial tentang satu video yang memaparkan seorang wanita dipercayai mengisi petrol RON95 menggunakan tong plastik dalam kuantiti yang banyak di sebuah stesen minyak di sekitar Skudai, Johor pada 21 Mac lalu.
Kelayakan subsidi individu salah guna BUDI95 bakal ditarik
Susulan perkara itu, Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) menegaskan bahawa pihak mereka akan mengambil tindakan tegas dengan menyekat kad pengenalan yang digunakan dalam transaksi penyalahgunaan subsidi bahan api, selain melucutkan kelayakan pemilik kenderaan terbabit daripada terus menikmati manfaat BUDI95.
MOF dalam satu kenyataan memaklumkan hasil siasatan mendapati individu terbabit adalah warga tempatan serta pemegang MyKad.
Jelas Kementerian itu lagi, tindakan berkenaan telah melanggar peraturan kerana menyalahgunakan subsidi bahan api di bawah Program BUDI95.
Salah guna BUDI95 boleh jejaskan usaha kerajaan dalam menguruskan subsidi petrol
Malah, ia juga berpotensi menjejaskan usaha kerajaan dalam memastikan pengurusan subsidi yang telus, bersasar serta berkesan.
Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk ketirisan dan salah guna subsidi khususnya dalam ketidaktentuan situasi semasa yang memerlukan kawalan rapi terhadap bekalan serta harga bahan api.
Tindakan Penguatkuasaan Akan Terus Dipertingkat
Menurut kenyataan itu lagi, tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi membendung aktiviti tidak bertanggungjawab berkenaan.
“Kerajaan amat menghargai rakyat yang cakna dan menyalurkan aduan berhubung isu berkenaan,” kata MOF.
Orang ramai dialu-alukan untuk terus menyalurkan maklumat dan membuat aduan rasmi sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan penyaluran subsidi melalui:
- Pusat Khidmat BUDI MADANI di talian 1300-88-9595 atau +603-2631 4595
- Emel kepada budimadani@treasury.gov.my
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
