Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan pendapatan pelaburan yang kukuh pada suku tahun pertama 2026, tetapi dana persaraan negara itu sendiri meminta ahli supaya tidak terlalu optimistik untuk tempoh berikutnya.
Pendapatan pelaburan bagi tempoh tiga bulan berakhir 31 Mac 2026 (Suku Pertama 2026) melonjak 51% berbanding tahun lalu kepada RM27.73 bilion. KWSP menjelaskan lonjakan ini bukanlah satu kebetulan, sebaliknya ia adalah hasil daripada keputusan strategik yang dibuat awal tahun ini untuk merealisasikan keuntungan sebelum pasaran global menjadi tidak menentu.
KWSP Bertindak Lebih Awal
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, dana itu sengaja mengutamakan pendapatan lebih awal dalam tahun ini, berbanding membiarkannya terkumpul secara beransur-ansur sepanjang tahun.
“Ahli KWSP tidak seharusnya menjangkakan keputusan suku tahun ini akan berulang pada suku-suku berikutnya. Portfolio asas terus diuruskan untuk pulangan jangka panjang yang mampan, bukan keuntungan tinggi jangka pendek,” katanya.
Pecahan mengikut portfolio ialah Simpanan Konvensional mencatat pendapatan pelaburan RM22.63 bilion, manakala Simpanan Shariah pula RM5.1 bilion.
Ekuiti Jadi Penyumbang Terbesar
Dari segi kelas aset, pendapatan ekuiti melonjak 88% berbanding tahun lalu kepada RM20.34 bilion. Ekuiti mewakili 45.1% daripada jumlah aset pelaburan KWSP.
Instrumen pendapatan tetap yang membentuk 46.1% aset telah menyumbang RM6.76 bilion. Hartanah dan infrastruktur pula menjana RM190 juta, manakala instrumen pasaran wang mencatat RM440 juta.
Pelaburan Antarabangsa Bawa Pulang Lebih Separuh Pendapatan
Sebanyak 36% daripada jumlah aset pelaburan KWSP yang bernilai RM1.44 bilion ditempatkan di luar negara. Pelaburan antarabangsa ini menyumbang 55% daripada jumlah pendapatan pelaburan iaitu dengan nilai RM15.36 bilion.
KWSP menyatakan jumlah tersebut membuktikan kepentingan kepelbagaian geografi dalam meningkatkan pulangan dan mengurus risiko portfolio.
Cabaran Di Masa Hadapan
Ahmad Zulqarnain mengingatkan bahawa persekitaran global masih mencabar. Risiko geopolitik yang tinggi, kenaikan harga minyak dan tekanan inflasi menjadi antara faktor yang boleh memberi kesan kepada pasaran.
“Keutamaan kami sekarang adalah pemeliharaan modal dan penggunaan dana secara berdisiplin bagi memastikan kecukupan dan kemampanan simpanan persaraan untuk 18 juta ahli kami dalam jangka panjang,” katanya.
Keahlian dan Caruman Terus Meningkat
Pada suku pertama 2026, seramai 220,925 ahli baharu mendaftar dengan KWSP menjadikan jumlah keseluruhan ahli melebihi 18.3 juta orang.
Jumlah caruman turut meningkat 13.3% kepada RM38.01 bilion, berbanding RM33.54 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu. Caruman sukarela juga menunjukkan momentum positif, meningkat kepada RM8.83 bilion pada suku tahun ini.
Untuk makluman, KWSP pada baru-baru ini juga telah memperkenalkan tiga inisiatif baharu iaitu i-Legasi, i-Emas dan Kalkulator Matlamat Persaraan sebagai usaha untuk mengukuhkan keselamatan persaraan ahli dan memastikan simpanan mereka bertahan lebih lama.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
