Bank Negara Malaysia (BNM) menegaskan bahawa tokenisasi dalam sektor perbankan perlu dilaksanakan secara berperingkat dan berhati-hati dengan kebolehoperasi (interoperability), tadbir urus dan kawalan risiko yang diambil kira sejak awal.
Penolong Gabenor BNM, Dr Norhana Endut memaklumkan perkara ini semasa sesi perbincangan panel di The Asian Banker Summit 2026 pada13 Mei 2026.
Untuk makluman, tokenisasi ialah proses menukar aset kewangan seperti wang, saham atau hartanah kepada bentuk digital menggunakan teknologi blockchain. Dalam konteks perbankan, ia membolehkan transaksi diproses secara automatik, lebih pantas dan lebih telus berbanding sistem konvensional yang sedia ada.
Apa yang BNM sedang lakukan sekarang?
BNM kini sedang bekerjasama dengan pemain industri melalui Digital Asset Innovation Hub untuk mengenal pasti kes penggunaan praktikal bagi tokenisasi. Sambil menerokai perlindungan kawal selia yang diperlukan untuk penerimaan yang lebih meluas.
Antara kes penggunaan yang sedang dikaji:
- Wang boleh aturcara (programmable money)
- Deposit tertokenisasi (tokenised deposits)
- Penyelesaian atom (atomic settlement)
- Pengurusan kecairan dan cagaran yang lebih baik
Menurut Norhana, kesemua ini berpotensi menghasilkan transaksi kewangan yang lebih pantas, lebih murah dan lebih telus.
“Kami ingin mereka bentuk rangka kerja kawal selia yang sesuai untuk menggalakkan inovasi yang bertanggungjawab. Sambil memastikan kestabilan monetari dan kewangan terpelihara,” katanya.
BNM ambil pendekatan praktikal
Norhana menekankan bahawa BNM mengambil pendekatan praktikal, memandangkan masih terdapat persoalan mengenai status undang-undang aset digital tertentu, dan keperluan sistem perbankan sedia ada untuk terus beroperasi seiring dengan sistem baharu berasaskan teknologi digital ini.
Beliau juga menegaskan bahawa kedua-dua sistem ini boleh berfungsi bersama sejak awal, bagi mengelak situasi di mana wang dan aset tersekat dalam satu sistem dan tidak boleh bergerak dengan bebas ke sistem lain. Jika perkara ini berlaku, faedah utama tokenisasi iaitu kecekapan dan kelajuan transaksi tidak akan dapat dicapai sepenuhnya.
Teknologi sahaja tidak cukup
Norhana turut memberi amaran bahawa inovasi teknologi semata-mata tidak mencukupi tanpa perlindungan dan rangka kerja akauntabiliti yang jelas.
Beliau menjelaskan bahawa tokenisasi turut memudahkan pematuhan peraturan kerana syarat-syarat seperti had masa, kelayakan, lokasi dan had jumlah transaksi boleh diprogram terus ke dalam sistem. Ini bermakna setiap transaksi akan secara automatik mematuhi peraturan yang ditetapkan, tanpa perlu semakan manual, menjadikan proses keseluruhan lebih selamat dan lebih pantas.
Walau bagaimanapun, Norhana memberi amaran bahawa pendigitalan yang semakin meluas turut membuka ruang kepada penipuan dan jenayah kewangan lain.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
