Platform pengurusan media sosial yang dahulunya dikenali sebagai TweetDeck iaitu X Pro kini hanya boleh digunakan oleh pelanggan X Premium+ sahaja dengan harga langganan RM146.33 sebulan.
Perubahan ini berlaku secara tiba-tiba tanpa sebarang notifikasi rasmi daripada pihak X kepada penggunanya.
Dahulu Hanya RM35 Sebulan
Tidak lama dulu, pengguna X Premium sudah boleh mengakses X Pro dengan membayar RM35 sebulan sahaja. Kini, mereka terpaksa membayar hampir empat kali ganda jika mahu terus menggunakan platform tersebut.
Ramai pengguna tegar X Pro yang meluahkan kekecewaan di laman X. Kebanyakan mereka mempersoalkan tentang ketiadaan sebarang pengumuman awal sebelum perubahan ini dikuatkuasakan.
Dari Percuma ke Bayaran Yang Mahal
Untuk info, sebelum usahawan yang juga bilionaire Elon Musk mengambil alih Twitter yang kini dikenali sebagai X, TweetDeck boleh digunakan oleh sesiapa sahaja secara percuma.
Namun sejak Ogos 2023, langganan Twitter Blue yang kemudiannya ditukar nama kepada X Premium mula diperlukan untuk mengakses platform tersebut.
Kini, had itu dinaikkan lagi menjadikannya langganan paling mahal buat masa ini.
Threads Tawar Alternatif Percuma
Bagi pengguna yang tidak sanggup membayar lebih, anda boleh menjadiakn Threads sebagai pilihan alternatif. Sejak 2024, Threads sudah menawarkan paparan pengurusan berbilang kolum (multi-column dashboard) yang seakan-akan sama seperti TweetDeck kepada semua pengguna tanpa sebarang bayaran dikenakan.
Langkah X menaikkan syarat langganan ini dilihat sebagai satu lagi usaha untuk meningkatkan hasil pendapatan platform, dengan cara memaksa pengguna aktif beralih kepada pelan yang lebih mahal demi mengekalkan ciri yang mereka sudah biasa gunakan.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
