Nak Keluarkan Wang Tunai Guna Kad Kredit? Fikir Dulu!

KONGSI

Konsep Pendahuluan Tunai Kad Kredit dan Implikasinya

Pernah tak anda terfikir untuk gunakan kad kredit bagi mendapatkan pendahuluan tunai terus dari ATM? Nampak macam senang, tetapi cara ini juga datang dengan beberapa implikasi kewangan yang penting untuk anda fahami. Artikel ini akan menjelaskan tentang konsep pendahuluan tunai, risikonya, dan alternatif yang lebih bijak dalam membantu pengurusan kewangan anda.

Apa Kos Pengeluaran Tunai Yang Perlu Diambil Tahu?

Walaupun pengeluaran tunai melalui kad kredit boleh mempercepatkan proses untuk anda mendapatkan sejumlah wang, tetapi kena ingat ya, ia datang dengan beberapa kos yang signifikan seperti:

  • Caj Transaksi Awal: Kebanyakan institusi kewangan akan mengenakan yuran transaksi antara 3% hingga 5% daripada jumlah yang dikeluarkan, atau caj minimum antara RM15 sehingga RM25. Caj ini dikenakan serta-merta selepas anda membuat pengeluaran tunai.
  • Kadar Faedah Harian Yang Tinggi Harian: Kadar faedah untuk pendahuluan tunai mula dikenakan dari hari pertama pengeluaran sehingga jumlah yang anda keluarkan itu sudah dibayar sepenuhnya. Senang kata, setiap hari ada je faedah yang bertambah atas duit yang anda keluarkan itu. Biasanya kadar faedah ini merupakan kadar faedah tahunan tertinggi kad kredit iaitu sekitar 17% sehingga 18%. 

Jadi, sebelum anda terfikir nak buat wang pendahuluan ini, tarik nafas dalam-dalam dan fikir dulu: betul ke dah tak ada pilihan lain selain melakukan pendahuluan tunai? Ada tak cara lain yang lebih mesra dompet?

  • Cara yang lebih mesra poket: Kalau anda perlukan duit tapi bukanlah dalam keadaan terdesak, pinjaman peribadi adalah pilihan yang lebih baik kerana kadar faedahnya lebih rendah. Cumanya, proses untuk membuat permohonan bagi pinjaman peribadi ini makan masa sikit iaitu sekitar 3 hingga 14 hari. Walaupun ambil masa sedikit, tetapi ia lebih ‘sihat’ dari segi kewangan. 
  • Berdepan situasi kecemasan: Ada masanya memang kita terdesak untuk menggunakan duit lebih-lebih lagi jika ada kecemasan yang tidak diduga dan memerlukan tunai segera di tempat yang tak terima kad. Tapi kalau sudah tiada jalan lain, anda boleh pertimbangkan kaedah pendahuluan tunai ini sebagai pilihan terakhir.

Kalau anda berminat nak ambil pinjaman peribadi, RinggitPlus menyediakan kemudahan untuk anda membuat perbandingan pinjaman peribadi— mana satu bank yang bagi manfaat yang menarik, pinjaman mana paling cepat lulus, kadar faedah paling rendah dan macam-macam lagi!

Pendahuluan Tunai Kad Kredit vs Pelan Ansuran Tunai (CIP): Mana Pilihan Yang Bijak?

Untuk pengetahuan anda, terdapat dua cara utama untuk keluarkan duit dari kad kredit iaitu:

  1. Pendahuluan Tunai Melalui Mesin ATM:
  • Mekanisme: Pengeluaran tunai segera dari ATM menggunakan kad kredit.
  • Ciri Utama: Proses yang cepat tapi akan dikenakan caj transaksi segera dan kadar faedah harian yang tinggi.
  1. Pelan Ansuran Tunai:
  • Mekanisme: Pinjaman yang memerlukan anda untuk membuat permohonan kepada pihak bank sama ada secara dalam talian atau melalui panggilan telefon. Wang yang anda mohon itu akan dipindahkan ke dalam akaun bank anda selepas mendapatkan kelulusan dari bank.
  • Ciri Utama: Tiada caj transaksi awal seperti 5% seperti mana yang dikenakan jika anda membuat pengeluaran melalui mesin ATM. Sebaliknya, ia melibatkan kadar faedah tetap yang berbeza mengikut bank dan tempoh pinjaman. Kalau anda mahu mengeluarkan pendahuluan tunai dalam jumlah yang agak besar dan bukanlah dalam situasi terdesak, CIP adalah pilihan yang lebih baik. 

Panduan Permohonan Pelan Ansuran Tunai

Sekiranya anda memilih untuk membuat permohonan Pelan Ansuran Tunai, ikuti langkah-langkah berikut:

  1. Hubungi Bank: Buat permohonan kepada pihak bank melalui panggilan talian khidmat pelanggan, permohonan secara dalam talian menerusi laman web bank pilihan anda, atau pergi terus ke cawangan bank tersebut.
  2. Proses Pemindahan Dana: Setelah diluluskan, wang tersebut akan dipindahkan ke akaun simpanan atau akaun semasa anda. Tempoh pemindahan adalah berbeza bagi setiap bank. Tempoh yang paling cepat anda boleh dapatkannya adalah keesokan hari waktu hari bekerja atau paling lama boleh mencecah sehingga dua minggu. Kalau anda tak mahu rasa tertunggu-tunggu, boleh tanya dan sahkan dengan pihak bank.
  3. Keperluan Akaun Bank: Pada masa yang sama, jangan lupa juga untuk tanya sama ada akaun simpanan atau akaun semasa dengan bank tersebut diperlukan atau tidak untuk proses pemindahan dana. Walaupun kebanyakan bank menawarkan pemindahan wang melalui Interbank Giro dengan sedikit kelewatan antara 1 hingga 2 hari atau akan menghantar cek kepada anda; tetapi ada juga sesetengah bank yang akan meminta anda untuk membuka akaun simpanan atau semasa dahulu dengan mereka
  4. Status Baki Kad Kredit: Disarankan untuk memohon Pelan Ansuran Tunai menggunakan kad kredit yang tiada baki tertunggak. Ini mengelakkan faedah berganda dikenakan kepada anda dan memastikan pembayaran hanya tertumpu kepada pinjaman baru anda ini.

Perbandingan Pelan Ansuran Tunai Antara Bank

Untuk membantu anda membuat keputusan, berikut adalah beberapa contoh perbandingan Pelan Ansuran Tunai dari pelbagai bank:

Bank/ProdukKadar Faedah Tetap Sekali Sahaja (p.a.)TempohCaj Transaksi/PemprosesanAmaun Minimum (jika ada)
RHB CashXcess7.88-9.88%12-48 bulanTiadaRM1,000
HSBC Cash Instalment Plan6.88%12-60 bulan2% jika pinjam kurang RM5,000RM1,000
OCBC Call for Cash5.99%12-36 bulan1% caj pendahuluan tunaiRM1,000
Alliance Bank Fast Cash Plan9.88%12-36 bulanTiadaRM1,000
CIMB CashLite9.88%12-48 bulanTiadaRM1,000
Hong Leong Bank Call for Cash Plus8.38-9.88%12-60 bulanRM12 caj pengendalianRM1,500
Maybank Ezy Cash0% untuk tempoh 6 bulan dan 8.88% bagi tempoh 12-36 bulan6-36 bulan3.88% bagi jumlah yang telah diluluskan bagi tempoh 6 bulan dan RM100 bagi setiap transaksi yang diluluskan untuk tempoh 12-36 bulanRM2,000
AmBank QuickCash9.38%12-60 bulanTiadaRM1,000

Nota: Senarai ini adalah panduan. Sentiasa hubungi bank anda untuk maklumat terkini dan tawaran spesifik.

Kalau anda belum pernah ada kad kredit daripada pengeluar tunai pilihan anda, jangan risau, anda boleh memohon secara dalam talian di RinggitPlus.

Kesimpulan: Buat Keputusan Kewangan yang Bijak

Tak kiralah kaedah mana yang anda pilih untuk mendapatkan tunai melalui kad kredit, tetapi yang paling penting, jangan lupa untuk baca dan faham betul-betul tentang terma dan syarat yang berkaitan. Jika ada keraguan, dapatkan penjelasan daripada pegawai bank anda. Pendahuluan tunai ini direka untuk untuk memudahkan urusan kewangan anda, tetapi jika penggunaannya dilakukan secara tidak bertanggungjawab, bahaya juga kerana ia boleh mendorong kepada beban hutang yang lebih besar pada masa akan datang. Kesimpulannya, jadilah pengguna yang bijak dalam pengurusan kewangan anda.

5 1 vote
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments