Kenapa Permohonan Kad Kredit atau Pinjaman Anda Ditolak?

KONGSI

Punca-Punca Permohonan Kad Kredit atau Pinjaman Ditolak

Bila permohonan kad kredit atau pinjaman kena tolak, mesti rasa kecewa kan? Lagi-lagi bila anda rasa macam dah jaga profil kewangan sehabis baik. Tapi realitinya, benda ni biasa berlaku. 

Jangan terus nak mohon semula, cuba anda ambil masa untuk faham kenapa permohonan ditolak. Bila anda dah tahu puncanya, barulah senang nak betulkan apa yang salah dan tingkatkan peluang lulus nanti. Mari kita lihat beberapa punca utama kenapa bank menolak permohonan kad kredit atau pinjaman anda.

Tak cukup syarat yang bank tetapkan

Salah satu sebab paling biasa permohonan ditolak? Sebab tak lepas kriteria kelayakan yang ditetapkan dari pihak bank. Setiap bank ada syarat masing-masing untuk menilai jika anda stabil dari segi kewangan dan boleh bayar balik pinjaman. Syarat ini termasuklah umur, status perkahwinan, jenis kerjaya, gaji, dan berapa lama tempoh anda kerja di tempat sekarang.

Contohnya, ada bank yang hanya proses permohonan kalau anda dah kerja sekurang-kurangnya setahun di syarikat tersebut. Ini boleh jadi cabaran kalau anda kerja freelance atau dalam industri gig. Tapi jangan risau, anda masih boleh bantu kuatkan permohonan dengan dokumen sokongan seperti penyata KWSP atau penyata bank yang tunjuk pendapatan tetap.

Terbuat silap masa isi permohonan

Kadang-kadang, benda kecil pun boleh menjadi punca permohonan anda ditolak. Tersalah isi borang, dokumen tak lengkap, salinan kad pengenalan kabur, atau muat naik slip gaji yang tak jelas pun dah cukup untuk pihak bank menolak permohonan anda.

Sebab itulah sebelum hantar apa-apa borang, pastikan borang dan dokumen anda lengkap, jelas, dan mengikut syarat. Kebanyakan bank nak tengok dokumen asas seperti salinan kad pengenalan, slip gaji, borang EA, penyata bank, dan surat pengesahan majikan. Kalau boleh, simpan imbasan dokumen penting di folder komputer anda siap-siap supaya senang nak guna bila perlu.

Gaji tahunan yang rendah

Kalau bank rasa pendapatan tahunan anda tak cukup untuk tampung pinjaman atau kad kredit yang dimohon, kemungkinan besar permohonan anda akan ditolak. Kad kredit selalunya ada syarat gaji minimum yang jelas. Tetapi bagi pinjaman rumah, semuanya bergantung kepada harga rumah yang anda nak beli.

Secara logiknya kalau rumah tersebut di luar bajet anda, bank pun takut nak luluskan pinjaman. Walaupun Bank Negara Malaysia dah tetapkan garis panduan umum, setiap bank masih ada syarat kelayakan yang mungkin sedikit berbeza. Sebab itulah kadang-kadang jika bank A menolak, tetapi bank B pula luluskan permohonan.

Terlalu banyak komitmen kewangan

Bank biasanya suka kalau anda ada sejarah komitmen kredit seperti pinjaman atau kad kredit, sebab ini menunjukkan anda ada pengalaman uruskan hutang. Tetapi kalau terlalu banyak komitmen, bank akan mula risau.

Salah satu cara mudah nak tahu? Kira Nisbah Khidmat Hutang atau Debt Service Ratio (DSR) anda contohnya berapa peratus daripada gaji bersih bulanan anda digunakan untuk bayar hutang. Kalau DSR anda terlalu tinggi, bank mungkin rasa anda dah ada cukup beban kewangan dan tak mampu lagi nak tanggung pinjaman baharu.

Selain itu, kalau anda ambil banyak pinjaman dalam masa yang singkat, bank pun akan curiga. Melainkan anda boleh tunjuk bukti kukuh kenapa (contohnya nak beli rumah dan kereta sekaligus, dengan penyata simpanan sebagai bukti). Sebaiknya, elakkan ambil terlalu banyak komitmen kewangan sekaligus.

Tak pernah ada sejarah kredit

Ironinya, tak ada hutang langsung pun boleh jadi masalah. Bila anda tak pernah ada pinjaman atau kad kredit, bank tak tahu macam mana corak atau sejarah bayaran anda sebelum ni. Jadi, mereka kena buat keputusan berdasarkan profil anda saja.

Kalau ini adalah situasi anda, anda perlu cuba mula bina rekod kredit dengan kad kredit yang sesuai dengan gaji anda. Selain itu, anda boleh mohon dengan bank yang anda dah ada akaun simpanan atau akaun deposit tetap bagi membantu tingkatkan keyakinan mereka terhadap anda.

Skor kredit rendah

Yang terakhir ini adalah masalah yang biasa dan kerap berlaku dimana skor kredit anda terlalu rendah. Bank guna skor kredit untuk menilai sama ada anda peminjam yang bertanggungjawab atau tidak. Mereka akan tengok jenis pinjaman yang anda ada, baki hutang, dan sama ada anda ada terlewat bayar sebelum ni.

Kalau skor kredit anda tinggi, maka peluang nak lulus pun tinggi. Tapi kalau skor anda rendah, ini bukan bermakna anda tak layak terus. Bank masih akan tengok faktor lain juga seperti jenis pekerjaan dan pendapatan anda. Sementara tu, anda boleh ambil langkah untuk perbaiki skor anda. Contohnya, anda kena sentiasa bayar bil dan bayaran ansuran tepat pada masanya. Nampak kecil, tapi sebenarnya ia memberikan impak yang besar.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments