Tidak dinafikan, kenaikan harga barangan menyebabkan rata-rata peniaga terpaksa menaikkan juga harga jualan mereka.
Walau bagaimanapun, sebuah warung yang terletak di Selama, Perak ini memilih untuk mengekalkan harga sebungkus nasi lemak RM0.50 sen yang dijualnya sejak tiga dekad lalu sehingga hari ini.
Pembekal nasi lemak berusia 72 tahun itu yang dikenali sebagai Othman Che Mat rela mengekalkan harga terbabit meskipun keuntungan yang diperolehinya hanyalah sedikit demi memastikan penduduk kampung terus mampu membelinya.
Peniaga Tak Kisah Untung 10 Sen Sahaja Bagi Setiap Bungkus Nasi Lemak
Othman yang berasal dari Sungai Bayor sudah membekalkan nasi lemak ke Warung Lejen selama 30 tahun. Harga bekalannya kepada warung itu hanyalah 40 sen sebungkus manakala hargaa yang dijual kepada pelanggan pula adalah 50 sen. Jadi untung bersih warung hanya 10 sen sahaja.
“Ramai yang tanya kenapa harga rendah sangat dan sama ada saya dapat untung ke tidak. Saya hanya senyum sahaja kerana jujurnya, margin keuntungan memang sangat kecil,” kata Othman.
Kalau 100 bungkus habis terjual, Othman bawa balik RM40 sebelum tolak kos. Keuntungan bersih sehari? Sekitar RM15 hingga RM20 sahaja.
“Tak banyak, tapi saya bersyukur perniagaan kecil kami masih bertahan dan dapat memberi pendapatan untuk keluarga.”
Setiap Hari Perlu Bangun Jam 3 Pagi
Rutin Othman dan isterinya bermula seawal jam 3 pagi setiap hari. Masak nasi, sediakan sambal, rebus telur, goreng ikan bilis, bungkus, kemudian hantar ke warung selepas solat Subuh.
Setiap hari mereka akan menyediakan lebih kurang 300 bungkus. Pada hujung minggu, jumlah itu naik kepada 500 bungkus, dan kebanyakannya habis terjual.
Dua atau tiga tahun lalu, mereka pernah capai 650 bungkus sehari. Tapi sejak lebih ramai pembekal mula beroperasi di kawasan itu, jumlah tersebut sudah mula berkurangan.
“Tak ada masalah, semua orang nak cari makan,” kata Othman.
Sambal Dimasak Sehingga 7 Jam
Salah satu rahsia nasi lemak Othman digemari pelanggan adalah kerana dia tidak berkompromi dengan kualiti meskipun menjualnya pada harga yang sangat murah.
Difahamkan, sambal dimasak sehingga tujuh jam, nasi dan telur pula dicuci dengan teliti bagi memastikan nasi lemak kekal segar sepanjang hari. Hasilnya, nasi yang wangi dan sambal yang manis dan pedas, lengkap dengan ikan bilis goreng dan separuh telur rebus.
Sewaktu bermula dahulu, Othman hanya menjual nasi lemak berkenaan 30 sen sebungkus sebelum menaikkan harga kepada 50 sen dan kekal begitu sehingga hari ini.
Anda yang berminat untuk merasai sendiri nasi lemak 50 sen ini boleh hadir ke Warung Legend, Pekan Sungai Bayor, Selama, Perak.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
