70% bekalan ubat Malaysia diimport. Ini bermakna jika rantaian bekalan global terganggu seperti yang berlaku semasa Pandemik Covid-19, hospital dan farmasi di Malaysia berisiko tinggi untuk berdepan masalah kehabisan ubat-ubatan penting dalam masa yang singkat.
Bagi mengelakkan perkara tersebut berlaku, kerajaan menggesa syarikat farmaseutikal untuk melaporkan sebarang potensi kekurangan bekalan ubat sekurang-kurangnya enam bulan lebih awal, berkuat kuasa 1 Julai 2026.
Jadikan Pandemik Covid-19 Sebagai Pengajaran
Presiden Persatuan Ahli Farmasi Malaysia (MPS), Prof Amrahi Buang, mengingatkan bahawa semasa Covid-19, ubat paling asas sekalipun seperti parasetamol juga kehabisan stok di pasaran.
“Pengalaman sebelum ini menjadi pengajaran besar kepada negara agar tidak memperlekehkan isu rantaian bekalan,” katanya.
Beliau mengesyorkan agar kerajaan membina stok penampan (buffer stock) untuk ubat kritikal. Selain menyemak semula Senarai Ubat-ubatan Penting Kebangsaan (NEML) dan mengukuhkan industri pembuatan tempatan melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP).
Amrahi, yang juga ahli lembaga penasihat Fakulti Farmasi UKM, turut mencadangkan supaya Malaysia mencari pembekal alternatif dari China dan India bagi mengelakkan Malaysia daripada bergantung pada negara-negara Barat sahaja bagi mendapatkan bekalan ubat.
Laporan Enam Bulan Lebih Awal Adalah Praktikal, Tapi Ada Cabarannya
Timbalan Presiden Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM), Azlin Othman, menyambut baik langkah laporan enam bulan lebih awal ini sebagai perlindungan penting untuk pesakit, namun mengakui ada cabarannya.
“Bagi ubat kritikal dengan permintaan yang stabil, ini masih dianggap sebagai praktikal. Tapi bagi ubat yang bergantung pada bahan mentah global, anggaran enam bulan kehadapan mungkin sukar,” jelasnya.
Susulan itu, Azlin mencadangkan pelaksanaan yang fleksibel, disokong oleh sistem pelaporan digital yang cekap supaya ia tidak menjadi beban birokrasi kepada industri.
Ubat Kronik Paling Kritikal
Azlin turut menekankan keperluan stok penampan khusus untuk ubat rawatan penyakit kronik seperti hipertensi, diabetes dan antibiotik iaitu kategori yang paling kerap terjejas oleh gangguan bekalan.
Kekurangan bekalan ubat-ubatan ini boleh memaksa doktor mengubah pelan rawatan pesakit sepenuhnya.
Selain stok penampan, beliau turut mencadangkan:
- Sistem pemantauan berpusat oleh kerajaan
- Audit bekalan secara berkala
- Saluran komunikasi pantas antara industri dan kemudahan kesihatan
Syarikat Ingkar Perlu Dikenakan Penalti
Dari sudut penguatkuasaan, Azlin berpandangan bahawa syarikat yang gagal mematuhi arahan pelaporan perlu dikenakan penalti memandangkan ketidakpatuhan boleh memberi kesan langsung kepada nyawa pesakit.
Pada masa yang sama, syarikat yang patuh dan proaktif wajar diberi insentif sebagai galakan.
“Pendekatan stok penampan untuk ubat kritikal, bersama peningkatan pengeluaran tempatan, merupakan penyelesaian jangka panjang yang paling mampan,” tegasnya.
Apa Langkah Kerajaan Setakat Ini?
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengumumkan langkah pelaporan mandatori ini pada Jumaat lalu. Sebelum ini, pelaporan hanya bersifat sukarela.
Industri farmaseutikal turut diberi tempoh sehingga 15 April 2026 untuk memberikan maklum balas mengenai ketersediaan bahan aktif farmaseutikal dan bahan pembungkusan bagi membolehkan campur tangan awal sebelum kekurangan menjejaskan hospital dan klinik.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
