Bila terlepas bayaran pinjaman, memang kita akan rasa tertekan. Malah, keadaan boleh jadi bertambah tertekan apabila diganggu oleh pemungut hutang. Di Malaysia, kutipan hutang kini tertakluk kepada garis panduan Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu polisi Fair Treatment of Financial Consumers dan Akta Kredit Pengguna 2025. BNM menetapkan had jelas tentang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh pemungut hutang.
Kalau anda ada tunggakan bayaran kad kredit, pinjaman peribadi, atau hutang Buy Now Pay Later (BNPL), perlindungan yang sama tetap terpakai. Anda perlu tahu hak anda supaya dapat membezakan antara kutipan sah dan gangguan haram.
Apa yang Pemungut Hutang Boleh Lakukan
Kutipan hutang yang sah biasanya bermula dengan cara memberi tekanan yang rendah. Pemungut hutang mungkin akan menghubungi anda melalui panggilan telefon, emel, atau menghantar notis bertulis sebagai peringatan tentang bayaran tertunggak. Mereka juga dibenarkan untuk menghantar surat tuntutan rasmi yang menyatakan jumlah hutang dan memberi tarikh akhir untuk membuat pembayaran.
Mereka tidak boleh datang ke rumah melainkan jika anda memberi kebenaran. Tanpa mendapat persetujuan daripada anda atau dengan perintah mahkamah, pemungut hutang tidak boleh masuk ke rumah anda. Mereka hanya boleh menjelaskan akibat dari segi undang-undang jika tidak membayar hutang, tetapi mereka tidak boleh menguatkuasakan undang-undang berkenaan.
Keadaan berubah apabila mahkamah mengeluarkan keputusan mereka. Jika pemiutang menyaman anda dan menang, mahkamah boleh mengeluarkan perintah penguatkuasaan di bawah [PDF] Rules of Court 2012. Contohnya, Writ Penyitaan dan Jualan (Writ of Seizure and Sale) membolehkan pegawai mahkamah menyita dan menjual aset untuk membayar hutang. Perintah garnisi (garnishee proceedings) boleh mengalihkan wang dari akaun bank atau gaji terus kepada pemiutang. Semua tindakan ini memerlukan perintah mahkamah. Pemungut hutang persendirian tiada kuasa undang-undang untuk menyita harta atau menguatkuasakan bayaran sendiri.
Apa yang Pemungut Hutang Tidak Boleh Lakukan
Menurut garis panduan BNM, pemungut hutang mestilah mengelakkan gangguan dan hubungan berlebihan. Mereka tidak boleh menggunakan bahasa kesat, membuat ugutan, atau cuba memalukan dan menakutkan anda. Hutang anda adalah antara anda dan pemiutang, jadi ejen seharusnya berurusan terus dengan anda dan bukannya pihak ketiga seperti majikan, jiran, keluarga, atau rakan.
Pemungut hutang juga dilarang melakukan sebarang bentuk gangguan fizikal. Mereka tidak boleh mengikut anda, menunggu di luar rumah, menghalang kemasukan, menceroboh harta atau tanah tanpa kebenaran, atau mengugut penahanan serta penyitaan harta tanpa perintah mahkamah. Mereka tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk melaksanakan sebarang tindakan sedemikian secara sendiri.
Hukuman Terhadap Pemungut Hutang
Akta Kredit Pengguna 2025 yang diluluskan oleh Parlimen pada Julai 2025 telah membawa kutipan hutang di bawah peraturan jelas untuk pertama kali. Pemungut hutang mestilah berdaftar dengan Suruhanjaya Kredit Pengguna untuk beroperasi secara sah. Menjalankan perniagaan kutipan tanpa pendaftaran boleh membawa hukuman denda sehingga RM5 juta atau penjara selama lima tahun.
Akta ini melarang gangguan, paksaan, dan tekanan berlebihan semasa memungut hutang. Pemungut hutang juga mesti melindungi maklumat peribadi anda mengikut Akta Perlindungan Data Peribadi 2010. Suruhanjaya boleh menyiasat aduan, mengenakan denda, menggantung atau menarik balik lesen, serta mengharamkan individu daripada industri sehingga lima tahun.
Sahkan Identiti Pemungut Hutang
Jika seseorang menghubungi anda dan mereka mendakwa sebagai pemungut hutang, jangan terus percaya kata-kata mereka. Paling penting, minta mereka tunjukkan nama agensi dan bukti bahawa mereka mewakili pemiutang anda. Minta juga notis bertulis yang jelas menyatakan jumlah hutang, kenal pasti pemiutang asal, dan menjelaskan apa yang anda didakwa berhutang.
Sebelum membuat sebarang pembayaran, sahkan semua butiran terus dengan pemiutang. Hubungi bank atau pemberi pinjaman menggunakan nombor pada dokumen pinjaman asal, bukan nombor yang diberikan oleh pemungut hutang. Dengan cara ini, anda dapat sahkan yang agensi ini menghantar wakil bagi pihak mereka dan jumlah hutang sepadan dengan rekod.
Apabila membuat bayaran, hanya gunakan saluran rasmi untuk memberi pengesahan terhadap pemiutang. Jangan serahkan wang tunai secara terus kepada ejen kutipan yang datang ke rumah anda. Jika anda bayar melalui pemindahan bank, pastikan akaun tersebut milik pemiutang atau agensi kutipan yang diberi kuasa. Anda perlu tahu bahawa penipu yang menyamar sebagai pemungut hutang adalah kes penipuan yang sering berlaku dan mereka hanya menakut-nakutkan orang ramai untuk membuat orang membayar tanpa menyemak terlebih dahulu.
Simpan salinan semua komunikasi, notis bertulis, dan resit pembayaran.
Semak Hutang Lama Sama Ada Ia Masih Sah Atau Tidak
Kebanyakan tuntutan hutang mesti difailkan dalam tempoh enam tahun mengikut Akta Had Masa 1953. Ini bermakna, pemiutang mempunyai enam tahun dari tarikh bayaran tertunggak untuk mengambil tindakan undang-undang. Selepas tempoh itu, hutang telah melepasi tempoh perundangan (statute-barred) dan tidak boleh dikuatkuasakan melalui mahkamah.
Terdapat juga pengecualian penting. Jika anda mengakui hutang secara bertulis atau membuat bayaran walaupun sebahagian sahaja, tempoh enam tahun akan bermula semula. Ini memberi peluang kepada pemiutang untuk mengambil tindakan undang-undang selama enam tahun lagi, bermula dari tarikh pengakuan atau pembayaran tersebut.
Jika pemungut hutang menghubungi anda mengenai hutang tujuh atau lapan tahun lalu, semak semula tarikh dengan teliti sebelum memberi sebarang jawapan atau membuat pengakuan. Pemungut hutang tersebut mungkin masih cuba menuntut hutang statute-barred, tetapi mereka tidak boleh menyaman anda atau mendapatkan penghakiman mahkamah. Jaga-jaga, walaupun kenyataan ringkas seperti “ya, saya berhutang” boleh menyebabkan tempoh tersebut bermula semula.
Tips Berunding Untuk Kurangkan Tekanan
Ramai orang beranggapan bila pemungut hutang menghubungi anda, anda sudah tiada ruang untuk berunding. Ia tidak benar! Pemungut hutang biasanya mempunyai kuasa untuk menerima pembayaran yang dikurangkan atau jangka masa yang lebih panjang, kerana pemiutang biasanya lebih suka mendapat sebahagian bayaran daripada menghabiskan berbulan-bulan di mahkamah.
Mulakan dengan menyediakan pelan pembayaran yang realistik dan sesuai dengan kemampuan sebenar anda. Nyatakan situasi kewangan dengan jujur dan lampirkan dokumen sokongan seperti slip gaji, penyata bank menunjukkan perbelanjaan bulanan, dan rekod hutang lain yang sedang anda uruskan. Tuliskan cadangan anda dan simpan salinan semua dokumen.
Pemungut hutang mungkin membalas dengan cadangan pembayaran yang lebih tinggi atau jangka masa yang lebih pendek. Jadi, anda perlu berunding sehingga mencapai terma yang boleh anda patuhi secara praktikal. Sentiasa dapatkan persetujuan secara bertulis sebelum membuat sebarang bayaran. Perjanjian bertulis tersebut perlu jelas menyatakan jumlah keseluruhan, jadual pembayaran, sama ada faedah akan terus dikenakan, dan pengesahan bahawa mengikuti pelan ini akan menghentikan sebarang tindakan penagihan lanjut.
Cara Untuk Melaporkan Gangguan
Jika ada pemungut hutang yang mengganggu anda, mulakan dengan membuat aduan kepada bank atau pemiutang yang mengupah mereka. Institusi kewangan bertanggungjawab terhadap tingkah laku ejen mereka dan mesti menyiasat aduan. Kebanyakan bank mempunyai unit aduan khusus yang anda boleh hubungi. Jika bank tidak menyelesaikan isu, lanjutkan aduan kepada Bank Negara Malaysia melalui BNMLINK. Anda boleh menghubungi talian 1-300-88-5465 atau menghantar borang secara dalam talian. Pastikan anda menyertakan semua dokumen termasuk nama pemungut hutang, syarikat, tarikh dan masa mereka menghubungi, perincian kejadian, serta salinan surat atau mesej ugutan.
Untuk pemberi kredit bukan bank seperti BNPL, anda boleh membuat laporan kepada Suruhanjaya Kredit Pengguna. Dalam tempoh peralihan, BNM masih mengendalikan aduan tentang penyedia perkhidmatan kewangan dan pemungut hutang mereka.
Jika pemungut hutang memasuki harta atau tanah anda tanpa izin, mengugut, atau melakukan jenayah, buat laporan polis dengan segera. Bawa bersama semua dokumen anda. Ancaman fizikal dan pencerobohan bukan sahaja melanggar peraturan, malah ia adalah kesalahan jenayah.
Kawal Situasi Anda
Berhadapan dengan pemungut hutang sememangnya memberi tekanan, tetapi dengan memahami hak anda, ia dapat membantu anda bertindak dengan yakin.
Dokumentasikan segala gangguan yang anda hadapi dan laporkan pemungut hutang kepada pemiutang atau BNM jika perlu. Bagi hutang lama, semak sama ada ia masih dalam tempoh had masa sebelum mengakui atau membayar.
Jika anda sedang menguruskan banyak hutang atau berasa terbeban, hubungi AKPK. Kaunselor mereka boleh membantu anda menyediakan pelan pembayaran dan berunding dengan pemiutang bagi pihak anda.
Mahukan tips kewangan yang lebih bijak hanya di hujung jari? Sertai Saluran WhatsApp kami.

Seorang penulis yang teruja ubah topik kewangan yang nampak susah, jadi senang nak faham! Pernah jadi content marketer sebelum ni, Farah berjaya naikkan pengikut TikTok sebanyak 98% dalam masa setahun. Kalau ada masa free, memang akan habiskan masa edit video atau cuba cari alasan nak keluar jalan-jalan.
