Cara Memfailkan Cukai Pendapatan Individu Buat Kali Pertama
Author Avatar


(Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris di sini.)

Di Malaysia, cukai pendapatan adalah wajib mengikut undang-undang. Cukai pendapatan yang dikenakan adalah berbeza mengikut jumlah pendapatan bercukai seseorang individu pada tahun tersebut. Jika anda baru memulakan pekerjaan, dan tidak tahu bagaimana untuk memfailkan cukai anda buat kali pertama, panduan dalam artikel ini akan membantu anda. 

Sebelum kita pergi lebih lanjut, anda harus menentukan terlebih dahulu sama ada anda layak sebagai seorang pembayar cukai. Menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), seseorang individu mesti mendaftar fail cukai jika mereka memperoleh pendapatan tahunan sekurang-kurangnya RM34,000 (selepas potongan KWSP).

Oleh itu, jika pendapatan penggajian tahunan anda mencecah RM34,000 atau lebih, anda perlu melakukan dua perkara: daftarkan diri anda sebagai pembayar cukai melalui LHDN, dan seterusnya daftar untuk e-Filing, iaitu platform yang disediakan oleh LHDN untuk pemfailan cukai pendapatan secara dalam talian. Berikut adalah infografik yang meringkaskan langkah-langkah yang perlu diambil semasa mendaftar cukai pendapatan di Malaysia buat kali pertama:

1. Gunakan e-Daftar untuk mendaftar sebagai pembayar cukai dengan LHDN


Untuk memulakan proses pendaftaran sebagai pembayar cukai, pergi ke laman web MyTax, yang kini berfungsi sebagai portal untuk segala perkara berkaitan cukai. Klik pada e-Daftar, yang kemudiannya akan membawa anda ke borang dalam talian. Isikan butiran yang diperlukan, dan anda akan dimaklumkan bahawa anda tidak mempunyai nombor cukai pendapatan (tentulah, anda belum lagi mendaftar sebagai pembayar cukai).


Klik pada pautan e-Daftar dalam kotak yang tertera, dan anda akan dibawa ke borang dalam talian yang sebenar supaya anda boleh mendaftarkan diri sebagai pembayar cukai dengan LHDN. Borang ini agak komprehensif kerana anda perlu mengisi butiran seperti maklumat tentang pasangan anda (jika berkenaan), wakil sah (seperti ibu bapa anda), dan majikan semasa anda.

Seperti yang boleh anda lihat dalam imej di bawah (disediakan oleh LHDN), terdapat sebanyak 10 bahagian yang perlu diisi:


Anda boleh simpan dan sambung pengisian maklumat anda pada masa yang lain jika anda tidak sempat menyelesaikannya dalam satu sesi. Apabila anda kembali ke halaman e-Daftar pada kali seterusnya, masukkan butiran anda sekali lagi, dan laman web tersebut akan membenarkan anda menyambung pendaftaran anda (sila klik pada “Kemas Kini Butiran” untuk membuat demikian). 

Anda juga dikehendaki memuat naik salinan digital MyKad anda sebagai dokumen sokongan, jadi sediakannya terlebih dahulu untuk memudahkan urusan.


Selepas anda melengkapi borang pendaftaran, anda mungkin diluluskan serta-merta (dalam kes ini, anda akan terus mendapat nombor cukai pendapatan), atau anda akan menerima pengakuan penerimaan dan nombor permohonan anda (dan nombor cukai pendapatan anda akan dihantar melalui e-mel kepada anda dalam masa tiga hari bekerja). Anda juga boleh menyemak melalui e-Daftar atau hubungi LHDN untuk menyemak status permohonan anda.

Jika anda lebih suka melawat pejabat LHDN untuk mendaftar sebagai pembayar cukai, itu juga salah satu pilihan. Anda bolehlah pergi ke pejabat LHDN terdekat, dan dapatkan bantuan daripada kakitangan LHDN. Pastikan anda membawa bersama salinan IC serta slip gaji terkini atau borang EA anda.

2. Dapatkan PIN untuk pendaftaran e-Filing


Setelah berdaftar sebagai pembayar cukai dengan fail cukai tersendiri, sudah tiba masanya untuk mendaftar untuk platform e-Filing. Pendaftaran untuk e-Filing perlu dilakukan kerana anda akan menggunakan platform ini untuk memfailkan penyata cukai anda dalam talian sebagai pembayar cukai rasmi. Untuk berbuat demikian, anda perlu dapatkan sijil digital dan PIN sekali guna.

a) Mendapatkan sijil digital

Untuk memulakan proses ini, pulang ke laman web MyTax dan isikan nombor IC anda. Anda akan dimaklumkan bahawa “Sijil Digital anda tidak wujud”. Jangan panik kerana ini perkara normal! Walaupun anda sudah berdaftar sebagai pembayar cukai bersama LHDN, anda masih belum lagi mendaftarkan akaun MyTax anda, iaitu akses kepada portal e-Filing (serta segala perkhidmatan berkenaan dengan cukai yang disediakan oleh LHDN).


Sebaik sahaja anda melihat makluman tersebut, anda akan diminta untuk memohon sijil digital, sama ada melalui borang dalam talian e-CP55D (untuk portal web MyTax) atau e-KYC (untuk aplikasi MyTax). Panduan kami di sini akan fokus kepada aplikasi e-CP55D kerana pembayar cukai lebih cenderung menggunakan kaedah ini.

Jika anda klik e-CP55D, anda akan diminta untuk mengesahkan alamat e-mel berdaftar anda dan butiran peribadi (nombor IC, nama penuh, dan alamat e-mel). Anda bolehlah membuat pembetulan jika perlu, dan kemudian hantarkan borang tersebut.


Setelah selesai, pautan pengaktifan akan dihantar ke e-mel anda. Anda mesti klik pautan tersebut untuk mengaktifkan sijil digital anda (pautan ini hanya sah selama dua hari, jadi cuba lakukannya secepat mungkin!).


b) Dapatkan PIN sekali guna anda…dan akses kepada MyTax & e-Filing!

Setelah anda klik pautan pengaktifan, anda akan dibawa kembali ke laman web MyTax. Isikan nombor IC anda; kali ini anda sepatutnya boleh log masuk, dengan nombor PIN anda dipaparkan secara automatik. Isikan segala butiran yang diperlukan – termasuk mencipta kata laluan dan frasa keselamatan anda untuk MyTax – kemudian klik “Hantar”.


Nota ringkas: semasa anda mencipta kata laluan dan frasa keselamatan anda, ingat bahawa amalan terbaik adalah untuk mengelak daripada menggunakan nama atau nombor IC anda. Anda digalakkan untuk mengguna gabungan aksara alfanumerik, serta huruf besar dan kecil, untuk mengukuhkan lagi kata laluan anda.

Setelah menghantar borang tersebut, anda akan kembali ke laman web MyTax sekali lagi, dan kali ini, apabila anda log masuk untuk kali ketiga, anda akan dapat log masuk ke laman MyTax anda. Lebih penting lagi, anda kini telah berjaya mendapat akses kepada perkhidmatan e-Filing!

3. Failkan cukai anda


Tahniah! Anda telah berjaya mendaftar sebagai pembayar cukai, mencipta akaun untuk e-Filing, dan melengkapkan prosedur log masuk buat kali pertama. Kini, tiba masanya untuk anda memfailkan cukai, dan (mudah-mudahan) mendapatkan bayaran balik cukai. Kami akan membantu anda sepanjang proses tersebut dengan panduan untuk memfailkan cukai pendapatan anda di Malaysia pada tahun 2023 (tahun taksiran 2022). Dapatkan juga lebih banyak kandungan berkaitan cukai pendapatan dalam halaman Cukai Pendapatan kami. 

Nantikan lebih kandungan mengenai cukai pendapatan (dan banyak lagi) dalam Bahasa Malaysia daripada kami!

0 0 votes
Article Rating

SHARE

Comments (0)

Subscribe
Notify of

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
Top Bahasa Malaysia Articles
Post Image
#JimatWangBersamaHann: Berhenti Membayar Faedah Kad Kredit Dan Jimat Ribuan Ringgit
ringgitplus
- 22nd May 2023
(Baca dalam Bahasa Inggeris di sini.) Saya selalu menasihatkan keluarga serta kenalan saya untuk beralih daripada want tunai […]
Post Image
Kriteria Untuk Memilih Rumah Idaman Keluarga
ringgitplus
- 25th August 2023
Pembelian rumah bukan perkara kecil, bahkan boleh dianggap antara keputusan paling besar yang kita akan lakukan dalam hidup […]
Post Image
Panduan Memfail Cukai Pendapatan Individu 2023 (Tahun Taksiran 2022)
Alex Cheong Pui Yin
- 20th April 2023
Musim memfail cukai pendapatan kini kembali, dan semestinya kami kembali semula dengan panduan tahunan ini untuk memudahkan proses […]
Post Image
Panduan Memilih Kad Kredit Pertama Anda
ringgitplus
- 3rd May 2023
(Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris di sini.) Ia sememangnya suatu keputusan yang besar untuk mendapatkan kad kredit diri […]

Related articles

Related Posts Image

Kriteria Untuk Memilih Rumah Idaman Keluarga

Jacie Tan -
2nd February 2021
Related Posts Image
Related Posts Image
Related Posts Image