Panduan Memfail Cukai Pendapatan Individu 2023 (Tahun Taksiran 2022)
Author Avatar

Musim memfail cukai pendapatan kini kembali, dan semestinya kami kembali semula dengan panduan tahunan ini untuk memudahkan proses tersebut untuk anda!

Jadi, adakah anda sudah bersedia untuk memfail cukai pendapatan anda? Sudahkah anda menerima borang EA anda dan menentukan kadar cukai pendapatan anda? Bagaimana dengan kiraan pelepasan cukai anda, serta mengumpul resit-resit yang diperlukan? Lebih penting lagi, pelepasan cukai apa yang boleh anda tuntut?

Jika anda tidak pasti, usah risau! Bolehlah merujuk kepada panduan lengkap kami untuk memfailkan cukai pendapatan anda di Malaysia bagi tahun taksiran 2022.

Adakah anda perlu membayar cukai?

(Image: Bloomberg)

Sesiapa yang memperoleh pendapatan melebihi RM34,000 setahun (kira-kira RM2,833.33 sebulan) selepas potongan KWSP wajib mendaftar sebagai pembayar cukai dengan fail cukai tersendiri.

Cukai pendapatan tidak hanya meliputi gaji bulanan anda, tetapi setiap sumber pendapatan anda. Ini termasuklah pendapatan daripada perniagaan anda, pekerjaan, dividen, faedah, diskaun, sewa, royalti, premium, pencen, anuiti, dan lain-lain. Bagi pekerja bergaji, anda juga perlu menambah pendapatan tambahan seperti bonus, pampasan kerja lebih masa (overtime), komisen, dan sebagainya. Pekerja bebas (freelance) dan sambilan juga tidak dikecualikan daripada mendaftar dan memfailkan cukai mereka.

Sementara itu, individu yang menerima pendapatan dari luar Malaysia (pendapatan sumber asing) dikecualikan daripada membayar cukai, dengan syarat anda sudah dikenakan cukai di negara asal.

Jika anda tidak pasti pendapatan mana yang perlu dilaporkan untuk tujuan cukai, kami telah menyediakan huraian yang lebih lanjut dalam salah satu bahagian dalam panduan ini (“Cara Untuk Memfailkan Cukai Pendapatan Di Malaysia” >> “Melaporkan Pendapatan Anda”) – jadi bolehlah anda merujuk kepada bahagian tersebut nanti.

Berapa Yang Perlu Dibayar: Kadar Cukai & Pendapatan Bercukai (Tahun Taksiran 2022)

Berikut adalah kadar cukai yang perlu dibayar oleh pembayar cukai individu untuk tahun taksiran 2022, bergantung pada pendapatan bercukai mereka:

Banjaran pendapatan bercukai (RM)Pengiraan (RM)Kadar (%)Cukai (RM)
0 – 5,0005,000 pertama00
5,001 – 20,0005,000 pertama
15,000 berikutnya
 
1
0
150
20,001 – 35,00020,000 pertama
15,000 berikutnya
 
3
150
450
35,001 – 50,00035,000 pertama
15,000 berikutnya
 
8
600
1,200
50,001 – 70,00050,000 pertama
20,000 berikutnya
 
13
1,800
2,600
70,001 – 100,00070,000 pertama
30,000 berikutnya
 
21
4,400
6,300
100,001 – 250,000100,000 pertama
150,000 berikutnya
 
24
10,700
36,000
250,001 – 400,000250,000 pertama
150,000 berikutnya
 
24.5
46,700
36,750
400,001 – 600,000400,000 pertama
200,000 berikutnya
 
25
83,450
50,000
600,001 – 1,000,000600,000 pertama
400,000 berikutnya
 
26
133,450
104,000
1,000,001 – 2,000,0001,000,000 pertama
1,000,000 berikutnya
 
28
237,450
280,000
Exceeding 2,000,0002,000,000 pertama
Setiap ringgit berikutnya
 
30
517,450

……………

Untuk menentukan kadar cukai anda menggunakan jadual di atas, anda perlulah mengira pendapatan bercukai anda terlebih dahulu; jumlah ini boleh didapati apabila anda menolak sebarang potongan dan pelepasan cukai daripada jumlah pendapatan anda yang wajib dikenakan cukai. Seperti yang boleh dilihat, kadar cukai yang dikenakan akan meningkat mengikut banjaran pendapatan bercukai anda. Jika anda boleh mengurangkan pendapatan bercukai anda supaya anda dikategorikan dalam banjaran pendapatan bercukai yang lebih rendah (melalui pelepasan cukai dan sebagainya), maka jumlah cukai yang perlu dibayar juga akan dapat dikurangkan.

Sebagai contoh, katakan jumlah pendapatan anda yang wajib dikenakan cukai adalah RM48,000. Ini bermakna kadar cukai anda adalah 8%, dan cukai yang perlu dibayar adalah RM1,640 (RM600 + RM1,040). Namun, jika anda layak untuk mendapat potongan dan pelepasan cukai sebanyak RM13,500, pendapatan bercukai anda akan dikurangkan kepada RM34,500. Ini bermaksud anda akan diklasifikasikan dalam banjaran pendapatan cukai yang lebih rendah, dengan kadar cukai hanya sebanyak 3%. Jumlah cukai yang perlu dibayar juga dikurangkan sebanyak RM1,055, daripada RM1,640 kepada RM585!

Cukai Untuk Warga Asing (Pemastautin & Bukan Pemastautin)

(Image: NSTP/ Hafiz Sohaimi)

Bagaimana dengan warga asing atau ekspatriat yang bekerja di Malaysia? Adakah mereka juga perlu membayar cukai pendapatan? Pendek kata, ya.

Semua warga asing yang bekerja di Malaysia melebihi 182 hari (dirujuk sebagai individu bermastautin) layak dikenakan cukai dengan kadar cukai yang sama dengan warganegara Malaysia.

Bagi mereka yang tinggal di Malaysia kurang daripada 182 hari dan bekerja sekurang-kurangnya 60 hari pula (dirujuk sebagai individu tidak bermastautin), mereka akan dikenakan kadar rata berdasarkan jenis pendapatan mereka:

Jenis pendapatanKadar (%)
– Perniagaan, perdagangan, atau profesion
– Penggajian
– Dividen
– Sewa
30
– Penghibur awam
– Faedah
15
– Royalti

– Bayaran untuk perkhidmatan yang diberikan oleh seseorang bukan pemastautin atau pekerjanya berkaitan dengan penggunaan harta atau hak-hak yang dipunyai olehnya, atau pemasangan atau pengendalian apa-apa loji, jentera, atau alat-alat lain yang dibeli daripada bukan pemastautin 

– Bayaran untuk nasihat teknikal, bantuan atau perkhidmatan yang diberi berkaitan pengurusan atau pentadbiran teknikal apa-apa perusahaan, usaha, projek, atau skim saintifik, perindustrian, atau perdagangan 

– Sewa atau apa-apa bayaran berhubung penggunaan harta benda yang boleh dialihkan
10

LHDN juga menjelaskan bahawa warga asing tidak akan dikenakan cukai jika mereka:

  • Bekerja di Malaysia kurang dari 60 hari
  • Bekerja di atas kapal Malaysia
  • Berumur 55 tahun dan menerima pencen daripada penggajian Malaysia
  • Menerima faedah bank
  • Menerima dividen yang dikecualikan cukai

Cara Untuk Memfailkan Cukai Pendapatan Di Malaysia

Inilah bahagian utama panduan kita! Pertama sekali, jenis pendapatan yang diterima oleh anda akan menentukan jenis borang cukai pendapatan yang perlu digunakan. Sebagai contoh, individu pemastautin yang tidak menjalankan perniagaan akan menggunakan borang BE, manakala individu pemastautin yang menjalan perniagaan akan menggunakan borang B.

Sementara itu, warga asing bukan pemastautin pula akan memfailkan borang M. Terdapat beberapa klasifikasi ekstra untuk situasi ini sebenarnya, tetapi kami akan memberikan penjelasan yang lebih lanjut dalam bahagian “Mengakses e-Filing Dan BNCP Anda” nanti.

Selain itu, ambil maklum juga bahawa tarikh akhir untuk memfailkan cukai pendapatan di Malaysia berbeza mengikut jenis borang yang diisi. Bagi mereka yang mengisi borang BE, tarikh akhir akan jatuh sama ada pada 30 April 2023 (pemfailan manual) atau 15 Mei 2023 (e-Filing). Individu yang mengisi borang B pula perlu menghantar borang mereka sebelum 30 Jun (pemfailan manual) atau 15 Julai (e-Filing).

Seterusnya, kami akan menjelaskan proses untuk memfailkan cukai anda secara mendalam.

1) Mendaftar sebagai pembayar cukai buat kali pertama di e-Daftar

Jika anda akan memfailkan cukai anda buat kali pertama pada tahun ini, terdapat dua perkara yang perlu dilakukan terlebih dahulu:

  • Dapatkan nombor cukai pendapatan anda (untuk menunjukkan bahawa anda adalah pembayar cukai berdaftar)
  • DapatkanPIN sekali guna untuk mendaftar dan mengakses e-Filing (perkhidmatan dalam talian yang digunakan untuk menyerahkan borang nyata cukai pendapatan (BNCP) anda)

Untuk mendapatkan nombor cukai pendapatan, anda perlu mendaftar sebagai pembayar cukai di e-Daftar (e-Daftar boleh diakses melalui portal MyTax). Selepas itu, bolehlah mendapatkan PIN untuk e-Filing melalui kaedah dalam talian atau dengan melawat cawangan LHDN. Untuk penjelasan terperinci tentang cara untuk mendaftar sebagai pembayar cukai buat kali pertama, kami juga telah menyediakan panduan komprehensif di sini.

Sementara itu, anda bolehlah merujuk kepada infografik ini untuk memahami proses keseluruhan secara ringkas:

2) Mengakses e-Filing dan BNCP anda

Pembayar cukai yang sudah berdaftar pula boleh terus ke laman web MyTax untuk mengakses perkhidmatan e-Filing dan mula mengisi borang nyata cukai pendapatan (BNCP) mereka. Pada tahun-tahun lepas, pembayar cukai biasanya akan mengakses e-Filing melalui laman web ezHASiL, tetapi ini kini tidak dibenarkan lagi; URL untuk ezHASiL hanya akan menghantar anda kembali ke MyTax. Ini disebabkan LHDN ingin mengusahakan MyTax sebagai portal utama untuk mengendalikan segala perkara berkaitan dengan cukai.

Selain itu, anda juga boleh memilih untuk membaca halaman web e-Filing, BNCP anda, serta seluruh laman web MyTax anda dalam Bahasa Inggeris atau Bahasa Malaysia. Anda hanya perlu menekan butang yang terdapat di sudut kanan (bahagian atas) pada skrin anda. Anda juga boleh memilih untuk melihat laman web MyTax dalam mod terang atau gelap.

Setelah anda log masuk ke akaun MyTax anda, anda akan dibawa ke papan pemuka MyTax anda yang memaparkan pelbagai maklumat, misalnya baki cukai anda dan jumlah bayaran balik. Untuk mengakses e-Filing, klik pada pautan “Perkhidmatan ezHASiL” di sudut kanan dan pilih e-Filing dalam senarai yang muncul.

Di halaman seterusnya, pembayar cukai yang pernah mengisi BNCP boleh klik pada “e-BE Tahun Taksiran 2022” (atau mana-mana borang yang telah anda gunakan sebelum ini) untuk mengakses BNCP anda dengan pantas. Bagi mereka yang tidak mempunya pautan pantas tersebut, atau perlu memilih borang baharu (kerana sumber pendapatan telah berubah), silalah klik “e-Borang” pula.

Ketika memilih BNCP yang perlu diisi, pastikan ia adalah borang yang betul berdasarkan kategori pendapatan anda:

Borang nyata cukai pendapatan (BNCP)Kategori
e-B/e-BTUntuk individu pemastautin yang menjalankan perniagaan/pekerja berpengetahuan atau berkepakaran
e-BEUntuk individu pemastautin yang tidak menjalankan perniagaan
e-M/e-MTUntuk individu bukan pemastautin/individu pemastautin yang merupakan pekerja berpengetahuan

Anda boleh melihat senarai penuh BNCP lain yang tersedia (termasuk untuk perkongsian, pertubuhan, dan harta pusaka) di laman web LHDN di sini.

Semasa memilih BNCP anda, pastikan anda juga memilih tahun taksiran yang betul, iaitu tahun taksiran 2022 (ingat, anda sedang melaporkan pendapatan yang diperoleh pada tahun lepas).

3) Mengisi BNCP anda

Dengan itu, kita boleh mula mengisi BNCP anda. Berikut adalah bahagian-bahagian borang BE yang perlu diisi (untuk individu pemastautin yang tidak menjalankan perniagaan):

i) Profil Individu

Bahagian ini adalah tentang butiran peribadi anda. Untuk memudahkan proses pemfailan cukai anda, sesetengah butiran akan telah diisi secara automatik berdasarkan maklumat yang sedia ada (dipetik daripada pendaftaran anda sebagai pembayar cukai), tetapi sebagai langkah berjaga-jaga, anda haruslah semak semula butiran-butiran ini untuk memastikan bahawa ianya tepat. Pastikan juga bahawa anda memilih jenis taksiran (type of assessment) yang betul, sama ada anda akan memfailkan cukai pendapatan anda secara individu, berasingan, atau bersama dengan pasangan anda.

Segelintir daripada anda mungkin juga akan perasan bahawa prefix nombor pengenalan cukai (TIN) anda telah diubah. Usah risau! Ini adalah berikutan keputusan LHDN untuk melaksanakan prefix yang baru untuk pembayar cukai individu, diubah dari SG (individu dengan sumber pendapatan bukan perniagaan) dan OG (individu dengan sumber pendapatan perniagaan) kepada IG. Ini supaya LHDN dapat menguruskan pembayar cukai dengan lebih efektif, serta mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pembayar cukai individu.

Lebih penting lagi, perubahan prefix ini tidak akan mengubah nombor cukai pendapatan individu yang sedia ada, jadi anda bolehlah memfailkan BNCP anda seperti biasa.

ii) Profil lain

Bahagian ini merupakan kesinambungan kepada bahagian sebelum ini (“Profil Individu”), dan ia juga berkaitan dengan butiran individu anda. Pastikan anda mencatatkan nombor telefon yang betul kerana LHDN akan menghantar TAC kepada anda apabila anda menandatangani dan menyerahkan borang BE anda kelak. Nombor akaun bank anda juga mesti tepat supaya bayaran balik lebihan cukai anda boleh diterima. Selain itu, anda kini boleh memilih untuk menerima bayaran balik lebihan cukai anda melalui DuitNow (sila pilih “Bayaran melalui DuitNow” untuk “Kaedah bayaran balik lebihan cukai”, dan isi maklumat yang diperlukan).

Jika anda kini bekerja untuk majikan yang baru, pastikan anda juga menukar nombor majikan dalam borang BE anda. Selain itu, jika anda menikmati manfaat dimana cukai pendapatan anda akan dibayar oleh majikan anda (elaun cukai diberikan sebagai sebahagian daripada pendapatan kasar/gaji anda), jangan lupa untuk melaporkan butiran ini di bawah “Cukai ditanggung oleh majikan”.

Jangan lupa untuk isi bahagian “Melupuskan asset di bawah Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976” juga jika anda telah menjual hartanah pada tahun lepas.

Di penghujung bahagian ini, terdapat seksyen “Tuntutan Insentif” di bawah perenggan 127(3)(b) dan 127(3A) yang berkaitan dengan pengecualian khusus yang dibenarkan oleh Menteri Kewangan. Anda tidak perlu isi seksyen ini jika ia tidak relevan.  

iii) Laporkan pendapatan anda

Untuk bahagian “Pendapatan berkanun dan jumlah pendapatan”, isikan jumlah pendapatan yang telah diperoleh melalui penggajian anda, sewa, serta sumber-sumber lain dalam kotak yang tepat. Borang EA daripada majikan anda amatlah penting untuk bahagian ini kerana ia menunjukkan jumlah pendapatan tahunan yang telah anda peroleh daripada majikan anda.

Namun, ambil maklum juga bahawa kadang-kala, jumlah pendapatan tahunan yang dicatatkan dalam borang EA tidak boleh diterima bulat-bulat sebagai pendapatan berkanun daripada penggajian anda. Ini kerana anda turut perlu melaporkan semua manfaat lain (bukan dalam bentuk wang) yang juga boleh dikira sebagai sebahagian daripada pendapatan penggajian anda. Ini termasuklah pendapatan daripada sewa, faedah, diskaun, royalty, premium, pencen, anuiti, bayaran berkala, serta bayaran yang diterima untuk kerja sambilan (penyiaran, syarahan, penulis, dan sebagainya).

Selain itu, jangan lupa untuk potong sebarang pendapatan yang berhak mendapat pengecualian cukai. Contohnya, perkuisit (yang meliputi item seperti elaun tempat letak kereta, perubatan, dan pengangkutan) serta manfaat berbentuk benda (seperti kereta, pemandu peribadi, penginapan, dan sebagainya) dikenakan cukai di bawah undang-undang, tetapi kerajaan telah membenarkan beberapa jenis pengecualian cukai untuk mereka.

Jika anda kehilangan kerja pada tahun sebelum ini, pakej pemecatan anda juga mungkin dikecualikan daripada pembayaran cukai di bawah syarat tertentu. Dan jika anda ingin mengetahui sama ada elaun perjalanan RM100 anda turut dikecualikan cukai, bacalah artikel kami tentang pengecualian cukai.

Setelah mengisi semua maklumat yang diperlukan, borang BE anda akan mengira dan menunjukkan pendapatan agregat anda secara automatik (aggregate income, iaitu jumlah pendapatan anda daripada semua sumber pendapatan). Selepas itu, anda perlu mengira potongan cukai yang layak diterima pula, supaya anda boleh mengurangkan pendapatan agregat anda. Contohnya, jika anda telah membuat sumbangan hadiah atau derma kepada kerajaan atau organisasi be daftar, maka bolehlah anda membuat potongan cukai daripada pendapatan agregat anda. Selepas membuat potongan ini, anda akan mendapat jumlah pendapatan anda (total income).

Di penghujung bahagian ini, anda juga akan perlu mengisi jumlah potongan cukai bulanan (PCB) yang dibayar sepanjang tahun taksiran anda. Butiran ini akan dicatatkan dalam borang EA anda. PCB –juga dikenali sebagai monthly tax deductions (MTD) – adalah mekanisme wajib yang digunakan oleh majikan untuk memotong bayaran cukai daripada gaji pekerja setiap bulan.

Selain itu, terdapat butiran-butiran lain dalam halaman ini yang boleh diisi jika ia relevan kepada anda. Ini termasuklah maklumat mengenai pendapatan bukan penggajian pada tahun-tahun lepas yang belum dilaporkan, pelaburan yang diluluskan di bawah insentif cukai bagi pelabur mangkin, serta ansuran sendiri. Terdapat juga seksyen baru di mana anda boleh melaporkan pendapatan punca luar Malaysia yang diterima di Malaysia, dan dikecualikan cukai.

iv) Tuntut pelepasan dan rebat cukai

Seperti yang telah dikatakan sebelum ini, pelepasan cukai boleh mengurangkan pendapatan bercukai anda (sekali dengan kadar cukai yang dikenakan dan jumlah cukai yang perlu dibayar). Oleh itu, tidak hairan jika topik ini menjadi fokus utama setiap pembayar cukai! Kami telah menyediakan artikel yang khusus menjelaskan semua pelepasan cukai yang boleh dituntut untuk tahun taksiran 2022, tetapi anda boleh juga merujuk kepada infografik berikut sebagai ringkasan:

Selepas menuntut semua pelepasan cukai anda, anda akan mengetahui pendapatan bercukai anda, kadar cukai, serta jumlah cukai yang perlu dibayar. Tetapi sebelum anda teruskan, terdapat satu komponen terakhir yang akan membantu anda mengurangkan lagi jumlah cukai yang perlu dibayar: rebat cukai.

Seperti yang anda lihat dalam infografik di atas, anda layak mendapat rebat cukai sebanyak RM400 untuk diri sendiri jika pendapatan bercukai anda tidak melebihi RM35,000. Zakat dan fitrah juga boleh dituntut sebagai rebat cukai, sebanyak jumlah yang telah dibayar.

Jadi, katakan pendapatan penggajian anda ialah RM50,000 untuk tahun taksiran 2022, dan anda telah menuntut RM15,000 sebagai pelepasan cukai. Ini mengurangkan pendapatan bercukai anda kepada RM35,000 – bermakna jumlah cukai yang perlu anda bayar ialah RM600. Oleh kerana pendapatan bercukai anda telah mencecah RM35,000, anda tidak layak mendapat rebat cukai RM400 yang diberikan untuk individu yang berpendapatan kurang daripada RM35,000. Walau bagaimanapun, jika anda telah menyumbang RM400 untuk zakat pada tahun lepas, maka anda boleh memotongnya sebagai rebat cukai. Tuntasnya, jumlah cukai terakhir yang perlu anda bayar adalah RM200.

v) Semak ringkasan anda

Sekiranya anda sudah tiba di halaman ringkasan, ini bermakna anda hampir selesai! Dalam halaman ini, jumlah cukai akhir anda sepatutnya dipaparkan. Jangan risau jika jumlah cukai anda adalah negatif kerana ini menunjukkan bahawa anda telah terbayar lebih cukai melalui PCB (anda akan mendapat bayaran balik cukai daripada kerajaan).

Pada peringkat ini, anda masih boleh menyunting borang dan meminda sebarang butiran yang anda mungkin terlepas pandang, dan pembetulan yang dibuat akan ditunjukkan pada jumlah cukai akhir secara automatik. Setelah anda yakin bahawa borang anda tidak mengandungi sebarang kesilapan, klik “Seterusnya”.

Apabila tiba di halaman pengisytiharan, minta TAC melalui nombor yang telah anda daftarkan dengan LHDN dan isikannya. Kemudian, klik butang “Tandatangan dan Hantar”, dan masukkan nombor pengenalan serta kata laluan anda dalam tetingkap timbul (pastikan pelayar web anda membenarkan tetingkap timbul untuk muncul!) dan tekan butang yang tepat.

Dengan itu, cukai anda untuk Tahun Taksiran 2022 sudah difailkan! Satu perkara terakhir yang perlu dilakukan sebelum anda tutup laman web LHDN: ingat untuk menyimpan dan mencetak borang pengakuan dan e-BE untuk tujuan rekod, dan simpankan bersama resit yang telah anda kumpulkan! Resit ini mesti disimpan selama sekurang-kurangnya tujuh tahun, sekiranya LHDN ingin membuat semakan pada masa kelak.

Meminda Borang Cukai Pendapatan Anda

Kami pasti anda akan cuba sebaik mungkin untuk memfailkan cukai anda dengan tepat dan teliti, tetapi kadangkala kesilapan masih akan berlaku! Tidak perlu panik kerana anda boleh mengemukakan rayuan untuk pindaan pada atau sebelum 30 April 2023. Anda boleh mengambil langkah berikut:

  • Cetak e-borang anda dan buat pembetulan dalam ruang yang salah (anda juga perlu meninggalkan tandatangan atau parap nama anda untuk mengesahkannya)
  • Kira cukai anda secara manual sehingga tahap “Cukai Dibayar”.
  • Hantar e-borang yang dipinda kepada cawangan LHDN yang mengendalikan fail cukai anda, bersama surat rayuan yang menerangkan pindaan
  • Lampirkan juga semua dokumen sokongan yang diperlukan (cth. resit, invois, dan lain-lain)
  • Sekiranya terdapat sebarang baki yang perlu dibayar, baki tersebut hendaklah dibayar pada/sebelum 30 April 2023

Anda juga boleh menyerahkan dokumen ini melalui Portal Maklum Balas Pelanggan LHDN, jika cara ini lebih mudah. Untuk makluman anda, LHDN akan meneliti setiap rayuan kesilapan kerana ia sebahagian daripada proses audit, dan masa yang diambil untuk pindaan akan bergantung pada maklumat dan dokumen yang dikemukakan.

Anda juga sebenarnya boleh membuat pindaan dalam talian melalui e-Filing, tetapi hanya untuk dua keadaan tertentu (pengisytiharan pendapatan yang berlebihan dan pelepasan atau rebat cukai yang tidak dituntut). Selain itu, anda mesti telah menyerahkan borang BE anda sebelum tarikh akhir penyerahan untuk menggunakan kaedah ini.

Untuk mengakses perkhidmatan ini, pergi ke papan pemuka MyTax anda, klik pada e-Filing, diikuti dengan “e-Permohonan Pindaan BE”. Isi borang tersebut dan serahkan. Fungsi ini boleh diakses mulai 1 April 2023.

Selain itu, jika anda perlu meminda BNCP anda selepas 30 April, anda dibenarkan menyerahkan Borang Nyata Terpinda (BNT) dalam tempoh enam bulan dari tarikh akhir pengemukaan BNCP. BNT anda mesti diserahkan kepada cawangan yang mengendalikan fail cukai pendapatan anda dan hanya pembayar cukai yang tidak lewat menyerahkan BNCP mereka ketika pusingan pertama dibenarkan untuk menyerahkan BNT. Ingat, kaedah pindaan ini hanya dibenarkan untuk kesilapan berikut:

  • Pendapatan terkurang atau tidak lapor
  • Perbelanjaan atau tuntutan lain yang terlebih tuntut
  • Elaun modal, insentif, pelepasan yang terlebih tuntut

Membayar Cukai Pendapatan Anda

Setelah cukai anda difailkan dan jumlah cukai akhir anda ditentukan, anda akan berdepan dengan salah satu daripada dua situasi.

1) Anda akan menerima bayaran balik cukai

Bagi mereka yang tertakluk kepada MTD/PCB, pelepasan cukai dan rebat yang dituntut akan membantu mengurangkan jumlah cukai akhir anda sehingga amaun itu kurang daripada jumlah PCB yang telah dibayar sepanjang tahun. Dalam kes sedemikian, anda layak untuk mendapat bayaran balik cukai. Ia akan dikreditkan secara automatik ke akaun bank yang tertera dalam borang cukai anda dalam masa 30 hari bekerja selepas BNCP anda dihantar.

2) Anda perlu membayar cukai

Sebaliknya, jika anda mendapati selepas pemfailan bahawa anda masih berhutang cukai berlebihan, anda perlu membayarnya sebelum tarikh tamat tempoh (30 April 2023). Terdapat beberapa cara yang boleh anda gunakan untuk membayar cukai pendapatan anda di Malaysia:

KaedahMaklumat
Perbankan dalam talian melalui FPX (bayaran menggunakan No. Pengenalan Cukai (TIN) atau nombor bil)Mesti mempunyai akaun bank di Affin Bank, Alliance Bank, AmBank, Bank Islam, Bank Muamalat, Bank Rakyat, Bank Simpanan Nasional, CIMB Bank, Deutsche Bank, Hong Leong Bank, HSBC Bank, Kuwait Finance House Malaysia, Maybank, OCBC Bank, Public Bank, RHB Bank, Standard Chartered Bank, atau UOB Bank
Kad Kredit melalui ByrHASiL*Visa, Mastercard, American Express (AMEX) diterima
Pos Malaysia (bayaran di kaunter)Tunai sahaja
Mesin ATM CIMB Bank, RHB Bank Maybank, and Public Bank sahaja
Mesin CDM (cash deposit machine)Maybank sahaja
*tidak tersedia buat sementara waktu, mulai 1 Oktober 2022 sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Seperti yang telah dinyatakan, pembayaran kad kredit pada masa ini tidak tersedia sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kemudian, tetapi jika ia dibenarkan, anda harus ambil maklum bahawa hampir semua bank tidak menyediakan sebarang manfaat untuk perbelanjaan berkaitan kerajaan. Oleh itu, anda mungkin tidak akan mendapat pulangan tunai atau mata ganjaran untuk pembayaran cukai. Namun, sesetengah kad membenarkan anda menggunakan perbelanjaan berkaitan kerajaan untuk memenuhi syarat perbelanjaan bulanan atau tahunan supaya anda boleh mendapat tahap pulangan tunai yang lebih tinggi atau pengecualian yuran tahunan.

Satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian pada tahun ini ialah penggunaan nombor bil sebagai rujukan untuk pembayaran cukai anda. Jika anda pernah membuat pembayaran cukai sebelum ini, anda semestinya tahu bahawa anda sepatutnya menggunakan nombor pengenalan cukai (TIN) anda sebagai rujukan untuk transaksi anda. Namun, mulai 1 Januari 2023, LHDN telah mewajibkan semua pembayar cukai untuk menggunakan nombor bil sebagai rujukan transaksi mereka (walaupun terdapat tempoh peralihan sehingga 30 Jun 2023 di mana pembayar cukai masih boleh menggunakan TIN mereka sebagai rujukan).

Secara ringkasnya, nombor bil ialah 16 digit yang digunakan untuk membantu LHDN menjejaki pembayaran cukai anda dengan lebih efisien, dan ia boleh digunakan untuk semua jenis pembayaran cukai, kecuali untuk MTD/PCB dan duti setem. Untuk mendapatkan nombor bil anda, pergi ke papan pemuka MyTax anda sekali lagi, dan klik pada “e-Billing” di bawah “Perkhidmatan ezHasil”.

Akan ada satu lagi senarai juntai bawah atau dropdown list; pilih “Paparan Bil Pembayar Cukai” dan anda akan mengakses semua maklumat mengenai pembayaran cukai anda. Selain nombor bil anda, anda juga boleh melihat jumlah cukai yang perlu dibayar, serta pautan pantas yang membolehkan ada terus membayar melalui FPX di ByrHASiL (dengan nombor bil) juga. Klik sahaja pada “Paparkan Bil”, dan ikut arahan yang ditunjukkan pada laman web tersebut.

Sebagai alternatif, anda juga boleh klik butang “Paparan Nombor Bil” di sudut kanan atas papan pemuka MyTax anda untuk mendapatkan nombor bil. Ia juga akan membawa anda ke halaman yang sama.


Ambil maklum bahawa anda juga perlu menjana nombor bil anda melalui e-Billing dalam MyTax jika anda memfailkan cukai secara manual; dalam kes ini, anda perlu klik pada “Janaan Bil” di bawah “e-Billing” dan bukannya “Paparan Bil Pembayar Cukai”. Lanjutan daripada itu, sekiranya anda menetap di luar negara dan perlu membayar cukai anda, anda perlu menggunakan perkhidmatan Pemindahan Telegraf Elektronik (e-TT) berasingan untuk menjana nombor akaun maya (VA) tambahan, selain nombor bil.

Pembayaran Cukai Pendapatan Yang Lewat

Penalti sebanyak 10% akan dikenakan ke atas baki cukai yang belum dibayar selepas tarikh akhir (30 April atau 15 Mei). Sebaliknya, jika anda tidak bersetuju dengan penalti pembayaran lewat, anda boleh mengemukakan rayuan secara bertulis kepada Unit Pungutan LHDN dalam tempoh 30 hari selepas Notis Peningkatan Penilaian dikeluarkan. Walau bagaimanapun, penalti yang dikenakan mesti diselesaikan terlebih dahulu, tidak kira rayuan yang dibuat; jika anda berjaya, LHDN akan memulangkan amaun yang berkaitan di kemudian hari.

Rayuan Notis Taksiran Cukai Pendapatan Anda

Selepas anda memfailkan cukai anda, LHDN mungkin akan menyampaikan notis taksiran kepada anda, iaitu penyata tertulis daripada LHDN yang mengandungi butiran-butiran seperti pendapatan bercukai anda, jumlah cukai yang perlu dibayar, dan sebagainya.

Jika anda tidak bersetuju dengan mana-mana maklumat yang dicetak – mungkin disebabkan percanggahan dalam pelepasan cukai atau ralat lain – anda boleh memfailkan rayuan bagi cukai pendapatan. Rayuan hendaklah dibuat dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis tertulis kepada cawangan LHDN yang mengeluarkan notis tersebut.

Untuk berbuat demikian, isikan borang Q dan tulis surat untuk mengenal pasti percanggahan yang telah dikenalpasti. Selaras dengan itu, anda juga perlu menyerahkan dokumen sokongan untuk sebarang perbelanjaan, potongan, atau pelepasan yang berkaitan. Rayuan akan dimajukan kepada Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan.

Jika anda terlepas tarikh akhir untuk memfailkan rayuan (dengan alasan yang sah), maka anda memerlukan borang N pula. Kedua-dua borang Q dan N boleh didapati di pejabat LHDN, atau boleh dimuat turun dari laman web LHDN.

Bila Harus Saya Berhenti Memfailkan Cukai?

Anda dibenarkan berhenti memfail atau membayar cukai hanya apabila anda telah menutup fail cukai anda secara kekal – dibenarkan dalam keadaan berikut:

  • Pesara tanpa pendapatan bercukai
  • Individu yang akan meninggalkan Malaysia
  • Individu berumur 55 tahun ke atas, tanpa pendapatan bercukai

Jadi katakan anda seorang pesara yang masih kadang-kala bekerja secara sambilan (dengan pendapatan tidak melebihi RM34,000 setahun), atau individu yang berumur 45 tahun tanpa pendapatan bercukai. Dalam kedua-dua situasi, anda masih perlu terus memfailkan cukai anda.

Sesungguhnya, pemfailan cukai ini merupakan suatu persoalan akauntabiliti, dimana anda harus mengisytiharkan pendapatan anda pada tahun sebelumnya. Ia tidak semestinya bermaksud anda perlu membayar cukai; anda hanya membayar cukai jika pendapatan anda layak dikenakan cukai.

Sebaliknya, mereka yang layak menutup fail cukai mereka secara kekal dan ingin berbuat demikian boleh menghantar surat rasmi kepada cawangan LHDN yang mengendalikan fail cukai mereka. Anda juga mesti memastikan bahawa tiada jumlah tertunggak yang perlu dibayar, atau status bayaran balik yang belum selesai sebelum menyerahkan permohonan anda.

***

Seperti biasa, kami mengucapkan selamat maju jaya kepada mereka yang akan memfailkan cukai, dan berharap panduan tahunan kami berjaya meleraikan sebarang kekeliruan yang mungkin dihadapi. Jika anda memerlukan bantuan lanjut, kami turut mempunya artikel-artikel lain yang menangani pelbagai aspek pemfailan cukai, seperti cara untuk mendaftar sebagai pembayar cukai kali pertama dan cara menuntut pelepasan cukai untuk premium insurans anda

0 0 votes
Article Rating

SHARE

Comments (0)

Subscribe
Notify of

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
Top Bahasa Malaysia Articles
Post Image
Panduan Memfail Cukai Pendapatan Individu 2023 (Tahun Taksiran 2022)
Alex Cheong Pui Yin
- 20th April 2023
Musim memfail cukai pendapatan kini kembali, dan semestinya kami kembali semula dengan panduan tahunan ini untuk memudahkan proses […]
Post Image
Cara Menuntut Pelepasan Cukai Pendapatan Untuk Premium Insurans Anda
ringgitplus
- 19th April 2023
Terdapat beberapa jenis pelepasan cukai yang boleh anda tuntut untuk mengurangkan pendapatan bercukai anda, lalu membayar cukai yang […]
Post Image
Kriteria Untuk Memilih Rumah Idaman Keluarga
ringgitplus
- 25th August 2023
Pembelian rumah bukan perkara kecil, bahkan boleh dianggap antara keputusan paling besar yang kita akan lakukan dalam hidup […]
Post Image
#JimatWangBersamaHann: Berhenti Membayar Faedah Kad Kredit Dan Jimat Ribuan Ringgit
ringgitplus
- 22nd May 2023
(Baca dalam Bahasa Inggeris di sini.) Saya selalu menasihatkan keluarga serta kenalan saya untuk beralih daripada want tunai […]

Related articles

Related Posts Image
Related Posts Image

Kriteria Untuk Memilih Rumah Idaman Keluarga

Jacie Tan -
2nd February 2021
Related Posts Image
Related Posts Image