Peranan Utama Skor Kredit Dalam Kehidupan Anda
Author Avatar

(Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris di sini.)

Anda mungkin pernah mendengar istilah “skor kredit”. Tetapi adakah anda benar-benar tahu maksud skor kredit dan betapa besar peranannya dalam hidup anda?

Skor kredit ialah nombor yang mewakili kelayakan kredit seseorang individu. Anda boleh anggap skor ini sebagai ukuran daya tarikan anda kepada pemberi pinjaman – semakin tinggi skor kredit anda, semakin sesuai sebagai bakal peminjam. Pemberi pinjaman, seperti bank dan institusi kewangan lain, menggunakan skor kredit untuk menentukan kebarangkalian peminjam mampu membayar balik pinjaman mereka tepat pada masanya.

Skor kredit anda dikira berdasarkan analisis sejarah kredit anda. Ini termasuk tempoh sejarah kredit, jumlah hutang, rekod prestasi pembayaran balik hutang, serta bilangan akaun kredit yang baru dibuka. 

Bagaimanakah Skor Kredit Memberi Kesan Kepada Kehidupan Anda?

Skor kredit memberi kesan yang ketara kepada kehidupan anda. Setiap kali anda ingin membuat pinjaman daripada bank atau memohon kad kredit baharu, keputusan permohonan anda bergantung besar pada skor kredit dan kesihatan kredit anda.

Oleh itu, jika anda ingin membeli rumah idaman anda, atau menukar kereta anda dengan kereta baharu, skor kredit merupakan faktor penting dalam membantu anda mencapai beberapa matlamat utama dalam hidup anda. 

credit score 2

Kepentingan Mengekalkan Skor Kredit Yang Baik

Seperti yang telah disebutkan, skor kredit merupakan sebahagian daripada maklumat yang digunakan oleh bank dan pemberi pinjaman lain untuk memutuskan sama ada mereka patut meluluskan pinjaman anda. Skor kredit yang tinggi menunjukkan bahawa anda adalah seorang pengguna kredit yang bertanggungjawab, dan memberikan lebih keyakinan kepada bakal pemberi pinjaman apabila mereka menilai permohonan pinjaman atau kad kredit anda.

Sekiranya permintaan kredit anda diluluskan, bank juga akan menggunakan skor kredit anda untuk menetapkan syarat kredit anda. Terma kredit ialah satu set syarat yang ditetapkan oleh pemberi pinjaman untuk kredit yang diberikan – ini termasuk jumlah pinjaman, had kredit, kadar faedah, dan tempoh pinjaman. Untuk pembiayaan seperti pinjaman rumah, pinjaman kereta dan pinjaman peribadi, anda biasanya akan menikmati terma kredit yang lebih baik jika anda mempunyai skor kredit yang tinggi. Ini bermakna anda akan membayar jumlah faedah yang lebih rendah sepanjang tempoh pinjaman.

Dengan membayar faedah yang lebih rendah, anda boleh menjimatkan sejumlah besar wang anda sepanjang tempoh pinjaman, terutamanya untuk pembelian item bernilai tinggi seperti rumah atau kereta.

Skor kredit yang rendah akan membawa kepada kadar faedah yang lebih tinggi. Walaupun permohonan pinjaman anda diluluskan, anda akan dikenakan kadar faedah yang lebih tinggi kerana pemberi pinjaman perlu menanggung risiko yang lebih tinggi berdasarkan kemungkinan anda tidak dapat membayar balik pinjaman anda. Kesannya, anda akan membayar lebih banyak wang dalam jangka masa panjang. Anda juga mungkin diberi tempoh pembayaran balik pinjaman yang lebih pendek atau dikehendaki untuk mempunyai penandatangan bersama (co-signer) untuk sebarang pinjaman yang dimohon.

credit score 2

Bagaimanakah Anda Boleh Meningkatkan Skor Kredit Anda?

Ia bermula dengan kesedaran. Kebanyakan daripada kita tidak mengetahui keadaan semasa kesihatan kredit kita. Untuk meningkatkan kesihatan kredit dan skor kredit anda, anda perlu memahami status kredit anda terlebih dahulu, serta semua faktor yang mempengaruhinya.

Untuk membantu anda memahami status kredit anda, agensi pelaporan kredit menyediakan laporan kredit yang mendalam kepada pengguna. Sebagai contoh, Experian Personal Credit Report Plus (PCRP) merupakan salah satu laporan kredit yang boleh anda manfaatkan. Ia akan memberikan gambaran yang meyeluruh tentang kesihatan kredit anda pada sesuatu tempoh masa serta memberikan penjelasan tentang status kredit anda. Ia juga menawarkan skor kredit tiga digit untuk rujukan mudah tentang kesihatan kredit anda – semakin tinggi angka tersebut, semakin baik kesihatan kredit anda.

Selain memaklumkan skor kredit anda, PCRP – serta kebanyakan laporan kredit lain – juga membolehkan anda mendapatkan maklumat berguna seperti rekod Skim Potongan Gaji Angkasa (SPGA), rekod PTPTN, rujukan perdagangan bukan perbankan, sejarah litigasi, dan lain-lain. 

Lebih penting lagi, PCRP juga memberikan maklumat terperinci tentang kredit perbankan anda. Sebagai contoh, anda boleh mengetahui sama ada mana-mana kemudahan kredit anda berada di bawah pemantauan khas oleh bank atau institusi kewangan di bawah Akaun Perhatian Khas.

Dengan menggunakan laporan kredit, anda akan mendapat gambaran yang holistik tentang semua aspek kesihatan kredit anda. Ini membolehkan anda memahami dengan lebih baik bahagian utama yang perlu anda teliti dalam usaha meningkatkan skor kredit anda .

Contoh laporan PCRP Experian 

Sebagai contoh, ramai yang tidak sedar bahawa tindakan membayar jumlah minimum bil kad kredit bulanan dengan penggunaan kad yang lebih tinggi akan menjejaskan skor kredit serta membebankan mereka dengan faedah yang lebih tinggi. Kesannya lebih teruk jika anda tidak membayar balik pinjaman bank atau penyata kad kredit anda tepat pada masanya – ini akan direkodkan selama 12 bulan dalam laporan kredit anda dan memberi kesan negatif kepada skor kredit anda. 

Kebanyakan laporan kredit juga akan menerangkan kepada anda faktor-faktor yang telah mempengaruhi skor kredit keseluruhan anda, dan memberikan beberapa cadangan untuk memperbaikinya. Anda digalakkan untuk menyemak kesihatan kredit anda dari semasa ke semasa, walaupun anda tidak merancang untuk membeli kereta atau rumah dalam masa terdekat. Ini untuk memastikan skor kredit anda cukup baik untuk bank-bank meluluskan permohonan anda apabila anda ingin membuat pinjaman kelak. Selain itu, mempunyai skor kredit yang baik juga dapat membantu anda mendapatkan kadar faedah yang menarik. 

Jika anda serius untuk meningkatkan skor kredit anda, amatlah disarankan supaya anda mula dengan menyemak skor kredit anda melalui laporan kredit terlebih dahulu. Selain daripada Experian, anda juga boleh mencuba agensi pelaporan kredit lain, seperti CTOS.

0 0 votes
Article Rating

SHARE

Comments (0)

Subscribe
Notify of

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
Top Bahasa Malaysia Articles
Post Image
#JimatWangBersamaHann: Berhenti Membayar Faedah Kad Kredit Dan Jimat Ribuan Ringgit
ringgitplus
- 22nd May 2023
(Baca dalam Bahasa Inggeris di sini.) Saya selalu menasihatkan keluarga serta kenalan saya untuk beralih daripada want tunai […]
Post Image
Kriteria Untuk Memilih Rumah Idaman Keluarga
ringgitplus
- 25th August 2023
Pembelian rumah bukan perkara kecil, bahkan boleh dianggap antara keputusan paling besar yang kita akan lakukan dalam hidup […]
Post Image
Panduan Memfail Cukai Pendapatan Individu 2023 (Tahun Taksiran 2022)
Alex Cheong Pui Yin
- 20th April 2023
Musim memfail cukai pendapatan kini kembali, dan semestinya kami kembali semula dengan panduan tahunan ini untuk memudahkan proses […]
Post Image
Panduan Memilih Kad Kredit Pertama Anda
ringgitplus
- 3rd May 2023
(Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris di sini.) Ia sememangnya suatu keputusan yang besar untuk mendapatkan kad kredit diri […]

Related articles

Related Posts Image

Kriteria Untuk Memilih Rumah Idaman Keluarga

Jacie Tan -
2nd February 2021
Related Posts Image
Related Posts Image
Related Posts Image