Grab PayLater merupakan antara perkhidmatan Buy Now, Pay Later (BNPL) paling popular di Malaysia. Ia membolehkan pengguna membahagikan bayaran untuk perjalanan, penghantaran makanan serta pembelian atas talian, dengan pelan tertentu yang tidak mengenakan sebarang faedah. Popularitinya didorong oleh kemudahan tanpa kad kredit, pelan bayaran tanpa faedah, serta fleksibiliti untuk mengurus perbelanjaan harian dengan lebih terancang.
Bagaimana Grab PayLater Berfungsi?
Grab PayLater menawarkan dua kaedah pembayaran utama iaitu:
Pascabayar (postpaid) berfungsi seperti bil bulanan. Semua perbelanjaan sepanjang bulan seperti perjalanan, penghantaran makanan, barangan runcit dan pembelian daripada rakan niaga akan dikumpulkan. Pada awal bulan berikutnya, anda akan menerima satu bil keseluruhan dan perlu melunaskannya dalam satu bayaran.
Ansuran pula membolehkan pembelian bernilai yang lebih besar dibahagikan kepada bayaran bulanan yang sama. Pelan standard ialah tempoh empat bulan tanpa faedah dan tanpa sebarang yuran. Sebagai contoh, pembelian bernilai RM800 akan dibayar sebanyak RM200 sebulan selama empat bulan.
Untuk pembelian dalam talian yang lebih besar, Grab turut menawarkan pelan ansuran 8 dan 12 bulan. Pelan ini dikenakan yuran pemprosesan sebanyak 1.5% bagi setiap ansuran.
Apakah Kadar Faedah dan Caj Bagi Grab PayLater?
Pelan ansuran empat bulan adalah sepenuhnya percuma, tanpa faedah dan tanpa yuran pemprosesan. Pelan 8 dan 12 bulan pula dikenakan yuran pemprosesan sebanyak 1.5% bagi setiap ansuran.
Sebagai contoh, jika anda membeli telefon berharga RM1,200 menggunakan pelan 12 bulan, bayaran bulanan anda ialah RM100 ditambah yuran pemprosesan RM1.50. Ini menjadikan jumlah bayaran bulanan RM101.50, dengan kos keseluruhan RM1,218. Secara ringkas, anda membayar RM18 tambahan untuk kemudahan membahagikan bayaran.
| Tempoh Pelan | Yuran Pemprosesan | Contoh: Pembelian RM1,200 | Bayaran Bulanan | Jumlah Kos | Kos Tambahan |
| 4 bulan | 0% | RM1,200 | RM300.00 | RM1,200 | RM0 |
| 8 bulan | 1.5% setiap ansuran | RM1,200 | RM152.25 | RM1,218 | RM18 |
| 12 bulan | 1.5% setiap ansuran | RM1,200 | RM101.50 | RM1,218 | RM18 |
Jika bayaran dibuat tepat pada masanya, tiada caj lewat akan dikenakan. Namun, sekiranya anda terlepas untuk membuat bayaran, caj pentadbiran RM10 akan dikenakan bagi mereka yang mengambil pelan Pascabayar, atau RM10 bagi setiap ansuran yang terlepas, tertakluk kepada had maksimum RM30.
Akaun Grab PayLater akan digantung sementara sekiranya terdapat bayaran tertunggak. Untuk mengaktifkannya semula, anda perlu melangsaikan baki tertunggak berserta caj lewat yang dikenakan. Terma Grab turut menyatakan bahawa terdapat tempoh bertenang sebelum penggantungan akaun dikuatkuasakan.
Cara Untuk Mengaktifkan Grab PayLater
Grab tidak menawarkan PayLater kepada semua pengguna secara automatik. Sebaliknya, anda perlu membina rekod penggunaan di platform terlebih dahulu.
Syarat asas termasuk berumur sekurang-kurangnya 21 tahun, mempunyai akaun Grab yang telah disahkan, serta penggunaan aktif selama sekurang-kurangnya enam bulan. Kebanyakan pengguna juga perlu mencapai status GrabRewards Silver, Gold atau Platinum, yang diperoleh melalui perbelanjaan konsisten di platform. Selain itu, Grab akan menilai sekurang-kurangnya tiga transaksi terkini yang dibayar menggunakan tunai, kad debit atau kad kredit.
Jika anda layak, pilihan PayLater akan dipaparkan di bahagian “Payments” atau “Finance” dalam aplikasi Grab. Jika pilihan ini tidak kelihatan, ia menandakan anda belum memenuhi kriteria kelayakan yang ditetapkan.
Bagi pemohon baharu bermula November 2022, Grab turut menjalankan semakan kredit CTOS sebelum pengaktifan PayLater. Kerjasama dengan biro kredit ini bertujuan menilai kelayakan kewangan pengguna baharu, manakala pengguna PayLater sedia ada sebelum tarikh tersebut tidak terjejas.
Tempoh menunggu enam bulan ini memberi ruang kepada Grab untuk menilai corak pembayaran serta tahap penglibatan pengguna sebelum menawarkan kemudahan kredit.
Berapakah Had Kredit Grab PayLater yang Saya Boleh Dapat?
Had kredit Grab PayLater berbeza bagi setiap pengguna. Sesetengah pengguna menerima had sekitar RM300, manakala yang lain layak mendapat had beberapa ribu ringgit.
Penentuan had ini bergantung kepada pelbagai faktor, termasuk tempoh penggunaan Grab, corak perbelanjaan, sejarah pembayaran, serta tahap penggunaan PayLater semasa. Selain itu, faktor luaran seperti umur, status pekerjaan, kesahihan dokumen pengenalan dan laporan kredit CTOS turut diambil kira.
Sejarah kredit dengan bank dan institusi kewangan lain lazimnya lebih penting berbanding tempoh anda menggunakan Grab. Pengguna baharu dengan rekod kredit yang baik berpotensi menerima had yang lebih tinggi berbanding pengguna lama yang mempunyai isu pembayaran.
Had kredit ini dikongsi antara kemudahan Pascabayar dan Ansuran, bukan ditetapkan secara berasingan. Grab juga menyemak had kredit secara berkala. Pembayaran yang konsisten boleh membawa kepada peningkatan had, manakala masalah bayaran biasanya akan menyebabkan had dikurangkan.
Bilakah Saya Perlu Bayar Grab PayLater?
Bil Pascabayar akan dikeluarkan pada awal setiap bulan bagi perbelanjaan bulan sebelumnya. Tarikh akhir bayaran ialah pada 7 haribulan, memberikan anda kira-kira tujuh hari untuk menyelesaikan pembayaran.
Bagi pelan ansuran, jadual bayaran adalah secara bulanan seperti yang dipaparkan dalam aplikasi Grab. Dalam sesetengah keadaan, bayaran pertama mungkin perlu dibuat serta-merta semasa pembelian.
Grab akan membuat potongan bayaran secara automatik daripada GrabPay Wallet atau kaedah pembayaran yang dipautkan. Kad American Express tidak menyokong potongan automatik untuk PayLater, jadi anda perlu pautkan dengan kaedah pembayaran lain.
Pastikan baki anda mencukupi pada tarikh bayaran kerana kegagalan potongan automatik akan terus dikira sebagai bayaran tertunggak.
Apa yang Berlaku Jika Saya Terlepas Bayaran?
Sekiranya bayaran terlewat, akaun PayLater anda akan digantung sementara. Untuk mengaktifkannya semula, anda perlu melunaskan baki tertunggak bersama caj lewat, iaitu RM10 untuk Pascabayar atau RM10 bagi setiap ansuran yang terlepas, tertakluk kepada had maksimum RM30.
Jika bayaran terus diabaikan, penggantungan tersebut boleh menjadi kekal dan Grab berhak menyerahkan hutang tertunggak kepada agensi kutipan.
Adakah Grab PayLater Menjejaskan Skor CTOS?
Buat masa ini, Grab akan menyemak skor CTOS anda semasa pengaktifan PayLater, namun sejarah pembayaran PayLater tidak dilaporkan kepada biro kredit. Aktiviti PayLater anda hanya direkodkan antara anda dan Grab.
Walau bagaimanapun, Akta Kredit Pengguna akan mewajibkan semua penyedia BNPL untuk berkongsi data pembayaran dengan biro kredit. Apabila peraturan ini berkuat kuasa, PayLater akan dilaporkan sama seperti kad kredit dan pinjaman. Bayaran tepat pada masanya akan membantu membina skor kredit, manakala bayaran lewat atau terlepas akan memberi kesan negatif, sama seperti kelewatan bayaran kad kredit.
Sejarah pembayaran menyumbang kira-kira 45% daripada skor CTOS, menjadikannya faktor paling penting yang dinilai oleh bank dan pemberi pinjaman. Membentuk tabiat pembayaran yang baik melalui PayLater dari sekarang akan memastikan anda mempunyai rekod kredit yang positif apabila pelaporan ini bermula.
Perubahan ini sebenarnya memberi kelebihan kepada pengguna yang berdisiplin. Rekod pembayaran PayLater yang konsisten dan tepat pada masanya akan mengukuhkan profil kredit anda apabila memohon pinjaman perumahan, pembiayaan kenderaan, atau kad kredit pada masa hadapan.
Perbandingan PayLater Dengan Pilihan Kredit Lain
Produk kewangan yang berbeza sesuai untuk keperluan yang berbeza. Memahami bila dan bagaimana setiap satu patut digunakan membantu anda membuat keputusan kewangan yang lebih bijak.
Kad kredit menawarkan perlindungan penipuan, mata ganjaran dan pelan ansuran 0% di banyak peniaga. Kebanyakan kad mengenakan caj sekitar 15% hingga 18% setahun ke atas baki tertunggak. Namun, jika anda membayar penuh setiap bulan, tiada faedah dikenakan. Kad kredit juga terus membantu membina sejarah kredit kerana ia dilaporkan kepada biro kredit.
Pinjaman peribadi pula lebih sesuai untuk perbelanjaan besar yang dirancang. Contohnya, jika anda memerlukan RM10,000 untuk ubah suai rumah, pinjaman peribadi bank dengan kadar sekitar 6% hingga 7% setahun biasanya lebih menjimatkan berbanding membuat banyak transaksi BNPL. Proses kelulusan mengambil beberapa hari dan anda menerima jumlah penuh sekali gus.
Kelebihan utama PayLater ialah pelan empat bulan tanpa faedah untuk pembelian bersaiz sederhana. Contohnya, mesin basuh rosak seminggu sebelum gaji masuk, atau perbelanjaan perubatan yang tidak dijangka tetapi mampu dilangsaikan dalam tempoh singkat. Dalam situasi sebegini, PayLater boleh membantu mengurus aliran tunai tanpa menambah beban kos.
Namun, PayLater kurang sesuai untuk perbelanjaan harian seperti penghantaran makanan atau barangan runcit secara berterusan. Corak ini boleh menyebabkan anda sentiasa membayar perbelanjaan bulan lepas, sambil masih bergantung kepada PayLater untuk perbelanjaan bulan semasa. Lama-kelamaan, ia boleh memberi tekannan kepada bajet bulanan dan menyukarkan pengurusan kewangan.
Keselamatan Menggunakan PayLater
Tetapkan peringatan bayaran pada 1 haribulan (apabila bil Pascabayar dikeluarkan) dan 4 haribulan (untuk memastikan baki akaun mencukupi). Tempoh bayaran tujuh hari bergerak pantas, jadi jangan terlepas tarikh akhir.
Jika anda menggunakan beberapa perkhidmatan BNPL, pantau jumlah komitmen bulanan anda. Bank Negara menetapkan penilaian kemampuan membayar apabila had BNPL gabungan mencapai RM1,500, tetapi bajet anda mungkin sudah terbeban sebelum mencapai had ini.
Semak laporan kredit anda sekurang-kurangnya sekali setahun. Ini menunjukkan secara tepat apa yang dilihat oleh bank dan pemberi pinjaman apabila anda memohon kredit.
Sekiranya komitmen PayLater membuatkan anda berasa terbeban, anda boleh mematikan sementara perkhidmatan melalui tetapan aplikasi sambil menyelesaikan baki sedia ada. Tindakan ini dapat membantu anda menyusun semula kewangan tanpa menambah beban pembayaran baru.
Manfaatkan Grab PayLater Dengan Bijak
PayLater menawarkan fleksibiliti untuk mengurus aliran tunai apabila diperlukan. Pelan empat bulan tanpa faedah memberi ruang untuk membuat pembelian penting yang mampu anda bayar tetapi tidak mahu dibayar sekaligus.
Tidak lama lagi, semua perkhidmatan BNPL akan melaporkan sejarah pembayaran kepada biro kredit, menjadikan penggunaan bertanggungjawab lebih berharga. Setiap bayaran tepat pada masanya membantu membina sejarah kredit anda. Anggap PayLater sebagai alat untuk memperkukuh profil kewangan anda jika digunakan dengan bijak.
Rancang pembelian menggunakan PayLater. Ketahui tarikh pembayaran, pastikan kaedah pembayaran yang dipautkan mempunyai baki mencukupi. Amalan mudah ini memastikan PayLater membantu, bukan menyukarkan kewangan anda.
Gunakan Kalkulator DSR kami untuk semak sama ada komitmen hutang semasa masih membenarkan pembayaran PayLater. Mengetahui angka anda sebelum membuat komitmen baru membantu mengekalkan kewangan sihat dan skor kredit yang kukuh.
Sertai Saluran WhatsApp kami untuk tips kewangan yang praktikal dan mudah difahami.
