Cara Memilih Dana Unit Amanah Yang Terbaik Untuk Anda
Author Avatar

(Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris di sini.)

Bagi kebanyakan orang, salah satu instrumen pelaburan terawal yang diperkenalkan kepada mereka ialah dana unit amanah (unit trust fund) – yang juga dikenali sebagai dana bersama (mutual fund). Jika anda pernah mendengar nama-nama seperti FSMOne, Public Mutual atau Affin Hwang, anda mungkin telah mengetahui sedikit sebanyak tentang beberapa dana unit amanah yang ditawarkan oleh platform-platform ini. 

Secara umumnya, dana unit amanah dilihat sebagai titik permulaan yang baik untuk individu yang baru memulakan pelaburan mereka kerana beberapa faktor. Salah satu faktor utama ialah kemudahan pengurusan dana unit amanah sebagai suatu bentuk pelaburan pasif; dana anda akan diamanahkan kepada pengurus dana profesional, jadi anda tidak perlu memantau portfolio anda sendiri pada setiap masa. Selain itu, anda boleh menetapkan arahan tetap (standing instruction) untuk melaburkan jumlah tertentu secara automatik untuk setiap bulan (atau tempoh masa lain), sekali gus memudahkan proses pelaburan. 

Selain itu, dana unit amanah juga menggunakan suatu strategi penting – kepelbagaian dalam pelaburan – kerana ia terdiri daripada gabungan beberapa aset, termasuk saham dan bon. Ramai pelabur individu mengalami kesukaran untuk mempelbagaikan pelaburan mereka secara manual kerana kekurangan masa dan penyelidikan. Oleh itu, sesetengah pelabur lebih rela menyerahkan urusan tersebut kepada pengurus dana profesional kerana kepelbagaian dalam pelaburan akan membantu pelabur untuk mengimbangi risiko dan pulangan dalam portfolio pelaburan. Di samping itu, dana unit amanah juga dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Walau bagaimanapun, dengan beratus-ratus dana unit amanah yang tersedia ada dalam pasaran, bagaimana harus anda tentukan sama ada pelaburan dalam sesuatu unit amanah itu berbaloi? Apakah yang menjadikan Dana Unit Amanah A “lebih baik” daripada Dana Unit Amanah B? Prospektus dana unit amanah mengandungi pelbagai maklumat penting yang diperlukan, dan dalam artikel ini, kami akan menjelaskan beberapa perkara yang perlu anda perhatikan. Teruskan membaca untuk mengetahui pandangan dua perancang kewangan berlesen (CFP) kami, Azril Ikram dan Hann Liew. 

Fi & dan caj-caj berkaitan (kos pelaburan)

Untuk melabur dalam dana unit amanah, pelabur akan dikenakan beberapa fi dan caj pada kadar yang berbeza, jadi anda perlu mengenalpasti fi dan caj ini kerana ia boleh menjejaskan pulangan anda dengan ketara dalam jangka masa panjang. Antara jenis fi yang perlu anda tahu ialah:

  • Fi permulaan/caj jualan: Fi yang dicaj sekali sahaja sebagai kos persediaan untuk membeli dan melabur dalam dana pilihan anda. Bergantung pada firma atau bank pembelian dana, serta dana yang dipilih, fi jualan adalah serendah 0% (ya, tiada caj jualan!) atau mencecah sehingga lebih daripada 5% daripada jumlah yang dilaburkan.
  • Fi pengurusan tahunan: Meliputi kos operasi dana – seperti caj audit dan pentadbiran – serta gaji pengurus dana. Biasanya, fi pengurusan tahunan yang dikenakan adalah antara 0.5% hingga 2%.
  • Fi pemegang amanah: Fi pemegang amanah selalunya dimasukkan sebagai sebahagian daripada fi pengurusan tahunan, dan dikenakan untuk perkhidmatan pengawasan bagi memastikan aset yang dipegang dalam dana diuruskan dengan sewajarnya.

Fi tambahan lain yang mungkin dikenakan termasuk fi penukaran (yang ditanggung apabila anda menukar daripada satu dana ke dana yang lain dalam firma pengurusan aset yang sama), dan fi keluar/penebusan (yang ditanggung apabila anda menjual unit amanah anda). Semua fi ini akan menjejaskan pelaburan dan keuntungan anda pada peringkat awal. Oleh itu, ianya penting untuk anda melabur dalam dana yang berprestasi tinggi dan mengenakan caj yang rendah (atau sekurang-kurangnya berpatutan). Perhatikan juga jumlah minimum pelaburan permulaan serta jumlah minimum pelaburan tambahan. 

Pandangan Azril dan Hann: Dana unit amanah pilihan anda harus mempunyai jumlah caj jualan yang kurang daripada 1.5%. Sementara itu, keseluruhan fi pengurusan dan fi pemegang amanah tahunan hendaklah kurang daripada 1.95%. Peratusan yang disyorkan ini akan membantu anda untuk meminimumkan kos pelaburan, serta memastikan fi yang perlu ditanggung tidak mengurangkan pulangan anda secara berlebihan.

Rekod prestasi dana unit amanah

women discussing documents

Satu lagi kriteria utama yang perlu dipertimbangkan sebelum melabur dalam dana unit amanah ialah rekod prestasi sesuatu dana. Lebih penting lagi, jangan hanya bergantung pada prestasi dana dalam satu atau dua tahun lepas – ini mungkin dipengaruhi oleh peristiwa kitaran yang sering berulang. Cara yang lebih baik untuk menilai prestasi sesuatu dana adalah dengan melihat prestasi dana tersebut dalam tempoh yang lebih lama – sebaiknya sepanjang 10 tahun yang lalu (atau lebih).

Sehubungan dengan ini, anda mungkin biasa mendengar kenyataan ini: “prestasi lalu sesuatu dana bukanlah petunjuk prestasi masa hadapan”.  Tetapi dana yang telah mencatatkan pulangan yang konsisten dalam tempoh masa yang panjang adalah petunjuk utama yang penting. Prestasi yang stabil dalam jangka 10 tahun yang lalu atau lebih menunjukkan bahawa dana tersebut terserlah dan mempunyai kestabilan jangka panjang serta pengurusan yang baik oleh pihak pengurus dana. Ini memberi signal yang baik kepada pelabur yang mencari pulangan jangka panjang.

Pandangan Azril dan Hann: Anda haruslah melabur dalam dana unit amanah yang merekodkan pulangan lebih daripada 9% setahun sepanjang 10 tahun sebelumnya kerana ini adalah petunjuk yang baik bagi dana yang stabil dan menguntungkan.

Nisbah Sharpe (Sharpe Ratio)

Selain daripada prestasi yang lepas, anda juga harus menyemak nisbah Sharpe ketika memilih dana unit amanah anda, iaitu kaedah yang boleh digunakan untuk mengira risiko dan pulangan pelaburan anda. Pada asasnya, nisbah Sharpe membolehkan anda menganggarkan potensi pulangan yang boleh diperoleh apabila anda mengambil risiko tertentu. Dalam erti kata lain, ia menunjukkan jika anda mengambil sejumlah X risiko, anda akan menerima kira-kira sejumlah Y keuntungan.

Umumnya, dana yang mempunyai nisbah Sharpe yang lebih tinggi akan menawarkan pulangan yang lebih baik; nisbah Sharpe yang lebih tinggi juga memberikan anggaran bahawa pulangan pelaburan tersebut kurang dipengaruhi oleh risiko. Walau bagaimanapun, ambil perhatian bahawa nisbah ini hanya boleh digunakan sebagai anggaran kerana ia kadangkala terlalu memudahkan nilaian risiko sesuatu dana. 

Pandangan Azril dan Hann: Cari dana unit amanah yang mempunyai nisbah Sharpe melebihi 0.35 sepanjang tiga tahun kerana ini adalah pilihan yang baik untuk dipertimbangkan.

Kecairan dana

Kebanyakan dana unit amanah perlu mengekalkan sebahagian daripada pegangan mereka dalam bentuk tunai atau setara tunai. Ini biasanya akan dimandatkan oleh polisi pengurusan, dan penting untuk dua sebab.

Pertama, mempunyai kecairan (iaitu mempunyai tunai yang boleh digunakan dengan serta merta) bermakna dana tersebut boleh melabur dalam peluang baharu tanpa perlu menjual kedudukan sedia ada. Pengurus dana kemudiannya boleh mengimbangi semula portfolio untuk memenuhi kecairan yang dimandatkan.

Selain itu, dana unit amanah juga mesti mempunyai kecairan untuk membantu pelabur yang ingin menjual unit dan mengeluarkan pelaburan mereka. Dana tidak cair mengambil masa yang lebih lama untuk memproses pengeluaran (kerana ia perlu menjual beberapa pegangannya untuk dikeluarkan kepada pelabur). Memandangkan nilai dana seunit berubah setiap hari, situasi ini mungkin akan menyebabkan pelaburan anda dijual pada harga unit yang berbeza berbanding semasa anda menetapkan pesanan untuk menjual unit anda. 

Walau bagaimanapun, oleh sebab hampir semua dana juga perlu mematuhi syarat untuk mengekalkan sebahagian daripada pegangan mereka dalam bentuk tunai atau setara tunai, senario di atas mungkin tidak akan berlaku. Namun, dana yang berbeza mengambil masa yang berbeza untuk memproses pengeluaran – sesetengahnya boleh diselesaikan dalam hanya tiga hari bekerja, tetapi ia biasanya mengambil masa sehingga tujuh hari. 

Pandangan Azril dan Hann: Sebaik-baiknya, dana unit amanah yang anda pilih harus membenarkan pengeluaran diproses dalam masa kurang daripada tujuh hari. Anda juga disarankan untuk melabur dalam dana yang mempunyai jumlah tunai melebihi RM50 juta. Ini memastikan ia mempunyai wang tunai yang tersedia agar penebusan unit anda dapat diproses dengan segera.

Pemacu pertumbuhan dana

Prospektus dana unit amanah juga mengandungi maklumat mengenai pelbagai pemacu pertumbuhan yang menyokong prestasi keseluruhan dana. Kami sarankan agar anda mengambil tahu tentang profil risiko pertumbuhan dana, kategori dana, strategi pelaburan dan peruntukan aset, serta pendedahan global; faktor-faktor ini akan membantu anda untuk menentukan sama ada dana unit amanah tersebut sepadan dengan tahap toleransi risiko dan profil pelaburan anda. 

Perhatikan juga pendedahan geografi dana, atau dengan kata lain, kawasan yang dilaburkan oleh dana. Sesetengah dana unit amanah mungkin melabur semata-mata dalam aset domestik, menyebabkannya agak terhad dari segi pendedahan seiring dengan risiko yang lebih rendah. Sementara itu, terdapat dana unit amanah yang mungkin memanfaatkan kuasa pertumbuhan tinggi seperti Amerika Syarikat dan China. Individu yang mempunyai toleransi risiko yang lebih tinggi pula boleh memilih dana yang lebih berisiko yang melabur dalam pasaran baru muncul (emerging market) seperti Vietnam dan Indonesia.

Umumnya, pelaburan dalam pelbagai pasaran luar negara akan membantu mempelbagaikan lagi portfolio pelaburan anda, yang seterusnya mengurangkan risiko portfolio anda. Walau bagaimanapun, jika anda mempelbagaikan kebanyakan pelaburan anda dalam pasaran yang lebih berisiko – seperti pasaran baru muncul – risiko menghadapi kerugian juga akan menjadi lebih tinggi. Pastikan anda melakukan penilaian sewajarnya kerana aktiviti dan pertumbuhan ekonomi di setiap wilayah akan dipengaruhi oleh pelbagai faktor, daripada isu politik dan kesihatan kepada hal tadbir urus alam sekitar dan sosial atau environmental and social governance (ESG).

Jangka masa pelaburan

Akhir sekali, penting untuk anda menyedari bahawa pelaburan dalam dana unit amanah ialah cara yang berkesan untuk membina kekayaan dalam jangka masa panjang. Pelaburan ini biasanya memberi ganjaran kepada individu yang kekal melabur dalam tempoh yang panjang dengan potensi pulangan yang lebih tinggi. Ini kerana pengurus dana melaburkan wang dana dengan tumpuan pada horizon jangka panjang, dan membiarkan pelaburan berkembang secara beransur-ansur.

Selain itu, horizon pelaburan jangka panjang membolehkan pelabur unit amanah mengatasi pasang surut kitaran pasaran dengan lebih baik. Sebagai contoh, krisis gadai janji subprima (subprime mortgage crisis) yang bermula pada Disember 2007 berlarutan selama 19 bulan, tetapi ia diikuti kemudian oleh pasaran yang mengembang untuk tempoh yang paling lama dalam sejarah, serta prestasi yang terbaik sejak Perang Dunia II berakhir.

Pandangan Azril dan Hann: Cuba untuk kekal melabur dalam dana unit amanah selama lebih daripada lima tahun (jangka sederhana hingga panjang) untuk meraih pulangan yang lebih baik. Anda juga harus melabur dalam dana yang mempunyai potensi tinggi untuk berjaya – seperti Amazon, Facebook dan Alibaba – kerana ia akan memberikan keyakinan kepada anda untuk kekal melabur untuk tempoh masa yang lebih lama.

***

Setelah mengetahui beberapa perkara utama yang perlu anda perhatikan ketika menilai dana unit amanah, anda kini lebih bersedia untuk memulakan pelaburan anda. Ingat, setiap pelaburan juga ada risiko tertentu, tetapi jika anda membuat persediaan yang mencukupi, keyakinan anda ketika melabur juga akan meningkat.

5 1 vote
Article Rating

SHARE

Comments (0)

Subscribe
Notify of

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
Top Bahasa Malaysia Articles
Post Image
Panduan Memfail Cukai Pendapatan Individu 2023 (Tahun Taksiran 2022)
Alex Cheong Pui Yin
- 20th April 2023
Musim memfail cukai pendapatan kini kembali, dan semestinya kami kembali semula dengan panduan tahunan ini untuk memudahkan proses […]
Post Image
Cara Menuntut Pelepasan Cukai Pendapatan Untuk Premium Insurans Anda
ringgitplus
- 19th April 2023
Terdapat beberapa jenis pelepasan cukai yang boleh anda tuntut untuk mengurangkan pendapatan bercukai anda, lalu membayar cukai yang […]
Post Image
Kriteria Untuk Memilih Rumah Idaman Keluarga
ringgitplus
- 25th August 2023
Pembelian rumah bukan perkara kecil, bahkan boleh dianggap antara keputusan paling besar yang kita akan lakukan dalam hidup […]
Post Image
#JimatWangBersamaHann: Berhenti Membayar Faedah Kad Kredit Dan Jimat Ribuan Ringgit
ringgitplus
- 22nd May 2023
(Baca dalam Bahasa Inggeris di sini.) Saya selalu menasihatkan keluarga serta kenalan saya untuk beralih daripada want tunai […]

Related articles

Related Posts Image
Related Posts Image

Kriteria Untuk Memilih Rumah Idaman Keluarga

Jacie Tan -
2nd February 2021
Related Posts Image
Related Posts Image