Mengapa 22 Mei Diraikan Sebagai Hari Bitcoin Piza?
Author Avatar
(Image: Getty Images)

(Baca dalam Bahasa Inggeris di sini.)

Setiap tahun pada 22 Mei, komuniti Bitcoin meraikan hari yang dikenali sebagai “Bitcoin Pizza Day” atau Hari Bitcoin Piza. Tetapi apakah makna di sebalik perayaan ini? Sebenarnya, ini ialah suatu “tradisi” yang meraikan detik bersejarah dan juga penuh ironi. 

Kisah Di Sebalik Hari Bitcoin Piza

Kisahnya bermula 13 tahun yang lepas pada 22 Mei 2010, apabila seorang lelaki dari Florida bernama Laszlo Hanyecz membelanjakan 10,000 Bitcoin di sebuah restoran tempatan, Papa John’s, untuk membeli dua piza – menjadikan Hanyecz orang pertama yang melakukan transaksi “dunia sebenar” menggunakan token Bitcoin. Ini telah menempatkan namanya dalam sejarah mata wang kripto, dan peristiwa inilah yang menjadikan tarikh 22 Mei dikenali sebagai Hari Bitcoin Piza. 

Pada tahun 2010, Bitcoin baru berusia lebih setahun dan hanya bernilai kira-kira AS$0.0025 pada masa itu. Kini, token ini dianggap seperti emas digital, dengan nilainya pernah mencecah lebih AS$68,000 pada satu ketika (pada November 2021). Walaupun mata wang kripto merupakan aset yang tidak menentu (volatile asset) – seperti yang anda boleh lihat melalui peristiwa seperti kejatuhan kripto pada tahun 2021 dan pada tahun 2022 (terutamanya ketika Mei dan November) – sentimen pelabur secara amnya masih agak positif, dengan ramai pelabur menganggap pelaburan Bitcoin mereka adalah untuk jangka masa panjang.

Selepas transaksi pertama “dunia sebenar” menggunakan token Bitcoin, Hanyecz – yang juga merupakan pembangun Bitcoin yang menyumbang kepada pertumbuhan mata wang kripto dengan kodnya – membuat beberapa lagi pembelian piza dengan Bitcoin. Malah, dia dikatakan telah membelanjakan sejumlah 100,000 Bitcoin untuk membeli piza. Dalam temubual bersama CoinTelegraph pada 2018, Hanyecz berkata bahawa dia tidak menyesal membelanjakan wang tersebut.

“Saya tidak menyesal [membuat perbelanjaan tersebut]. Saya rasa menjadi sebahagian daripada sejarah awal Bitcoin dengan cara tersebut adalah sesuatu yang bagus, dan orang ramai tahu tentang peristiwa piza itu, dan adalah cerita yang menarik kerana semua orang boleh mengaitkannya dan memberi reaksi seperti – ‘Kamu habiskan semua wang tersebut!’. Saya juga memberikan sokongan teknologi kepada orang ramai di forum dan saya mengalihkan Bitcoin ke MacOS, serta melakukan beberapa perkara lain – seperti membaiki pepijat (bugs). Oleh itu, saya sentiasa mahu menggalakkan orang ramai untuk menggunakan Bitcoin dan membeli piza adalah salah satu cara untuk melakukannya. Saya tidak sangka peristiwa itu akan menjadi popular seperti ini, dan telah menjadi cerita yang sangat menarik untuk orang ramai,” kata Hanyecz.

Piza Termahal Di Dunia

(Image: The Sun UK)

Mengapa Hari Bitcoin Piza juga dikatakan perayaan ironik? Untuk menjawab soalan ini, berapakah nilai BTC yang telah dibelanjakan Hanyecz untuk piza tersebut mengikut nilai BTC hari ini? 

Seperti yang dikongsikan sebentar tadi, harga 1 BTC pada tahun 2010 hanyalah sejumlah kecil daripada satu sen, iaitu AS$0.0025. Ini bermakna dua piza yang dibeli dengan harga 10,000 BTC adalah bersamaan dengan AS$25, iaitu jumlah yang boleh diterima memandangkan Bitcoin ketika itu mungkin dilombong pada kos yang minimum, dan tidak mempunyai kegunaan di dunia sebenar sebelum digunakan oleh Hanyecz untuk membeli dua piza tersebut. 

Hari ini, 10,000 BTC bernilai…hampir AS$300 juta.

Tidak dilupakan, Hanyecz mendakwa dia telah membelanjakan sejumlah 100,000 Bitcoin untuk piza secara keseluruhan, bersamaan dengan hampir AS$3 bilion mengikut nilai Bitcoin hari ini. Nilainya juga mencecah lebih dua kali ganda daripada AS$3 bilion (sekitar AS$6.8 bilion) pada harga tertinggi Bitcoin sepanjang masa, iaitu sekitar AS$68,000, pada November 2021.

Kepentingan Hari Bitcoin Piza

Pada permulaan awal kripto, transaksi mata wang kripto pertama yang dilakukan oleh Hanyecz menjadi detik penting dalam naratif desentralisasi kewangan atau decentralised finance (DeFi), di samping menunjukkan potensi DeFi. Malah, boleh dikatakan bahawa tanpa transaksi untuk pembelian piza tersebut, keseluruhan landskap kripto hari ini mungkin jauh berbeza. Transaksi tersebut merupakan bukti bahawa DeFi boleh membantu menyelesaikan masalah dunia sebenar.

Asasnya, DeFi berusaha untuk mendemokrasikan transaksi kewangan dengan menghapuskan pergantungan kepada perantara pihak ketiga seperti bank dan institusi kewangan lain. Ini dilakukan melalui teknologi yang dipanggil blockchain yang bergantung kepada rangkaian komputer desentralisasi dan bukannya pelayan tunggal. Inovasi baharu seperti kontrak pintar membolehkan transaksi yang lebih rumit diselesaikan dalam sekelip mata. Jika urus niaga piza tersebut tidak berlaku, kelajuan inovasi yang boleh kita lihat dalam kripto pada tahun-tahun selepasnya mungkin tidak akan berlaku.

Setelah Bitcoin dicipta, banyak token lain juga telah muncul kerana komuniti kripto berusaha untuk mencipta pelbagai penyelesaian untuk dunia sebenar melalui teknologi blockchain. Antara yang terkenal termasuklah Ether, Bitcoin Cash, dan Ripple. Token-token alternatif lain yang mungkin anda pernah dengar juga termasuklah Stellar, Cardano, Solana, serta token meme seperti Dogecoin dan Shiba Inu. Apabila semakin banyak transaksi aset digital dilakukan di seluruh dunia, “stablecoin” turut diperkenalkan untuk memudahkan proses pembelian token. Secara amnya, nilai stablecoin akan ditetapkan berdasarkan aset lain (selalunya wang fiat seperti Dollar AS). Oleh itu, “stablecoin” menjadi satu kaedah yang lebih mudah untuk melabur dalam kripto.

Disebabkan mata wang kripto – dan DeFi, secara amnya – kini telah menarik begitu banyak perhatian, boleh dikatakan bahawa dunia akan dapat melihat lebih banyak inovasi dan perkembangan dalam masa terdekat. Sementara itu, belikanlah sekeping piza untuk diri anda dan raikan Hari Bitcoin Piza, sempena peranan Laszlo Hanyecz sebagai individu pertama yang menggunakan mata wang kripto untuk membeli sesuatu.

5 1 vote
Article Rating

SHARE

Comments (0)

Subscribe
Notify of

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
Top Bahasa Malaysia Articles
Post Image
Panduan Memfail Cukai Pendapatan Individu 2023 (Tahun Taksiran 2022)
Alex Cheong Pui Yin
- 20th April 2023
Musim memfail cukai pendapatan kini kembali, dan semestinya kami kembali semula dengan panduan tahunan ini untuk memudahkan proses […]
Post Image
Cara Menuntut Pelepasan Cukai Pendapatan Untuk Premium Insurans Anda
ringgitplus
- 19th April 2023
Terdapat beberapa jenis pelepasan cukai yang boleh anda tuntut untuk mengurangkan pendapatan bercukai anda, lalu membayar cukai yang […]
Post Image
Kriteria Untuk Memilih Rumah Idaman Keluarga
ringgitplus
- 25th August 2023
Pembelian rumah bukan perkara kecil, bahkan boleh dianggap antara keputusan paling besar yang kita akan lakukan dalam hidup […]
Post Image
#JimatWangBersamaHann: Berhenti Membayar Faedah Kad Kredit Dan Jimat Ribuan Ringgit
ringgitplus
- 22nd May 2023
(Baca dalam Bahasa Inggeris di sini.) Saya selalu menasihatkan keluarga serta kenalan saya untuk beralih daripada want tunai […]

Related articles

Related Posts Image
Related Posts Image

Kriteria Untuk Memilih Rumah Idaman Keluarga

Jacie Tan -
2nd February 2021
Related Posts Image
Related Posts Image