6 Jenis ‘Red Flag’ Dalam Hubungan Melibatkan Kewangan

KONGSI

Wang merupakan salah satu punca utama keretakan sesebuah hubungan di Malaysia. Namun, kebanyakan pasangan hanya mula berbincang soal kewangan selepas terikat dengan komitmen besar bersama. Menurut 2025 RinggitPlus Malaysian Financial Literacy Survey (RMFLS), 54% rakyat Malaysia berasa cemas atau kecewa dengan situasi kewangan mereka, dan lebih separuh daripada mereka hidup cukup-cukup makan dari gaji ke gaji. Ini bermakna memilih pasangan untuk kongsi kewangan bukan perkara kecil, kerana kesilapan mereka boleh terus menjejaskan kewangan anda. 

Kemampuan mengesan tanda amaran (red flag) kewangan lebih awal sebelum mula mengambil pinjaman bersama atau membuka akaun kongsi boleh menyelamatkan anda daripada tekanan kewangan di kemudian hari.

Apa Yang Dianggap Tanda Amaran Kewangan dan Apa Yang Bukan

Tidak semua pertelingkahan berkaitan wang itu adalah tanda amaran. Pasangan memang selalu tidak sependapat tentang perbelanjaan. Mungkin salah seorang mahu menyimpan, manakala seorang lagi lebih suka berbelanja untuk merasai pengalaman sekarang. Itu hanyalah perbezaan sikap mengenai kewangan dan ia boleh diselesaikan asalkan kedua-dua pihak berkomunikasi secara terbuka.

Jika anda beranggapan setiap perbezaan biasa sebagai tanda amaran, itu akan membuatkan anda berasa risau tanpa sebab. Tetapi, kalau anda abaikan tanda amaran sebenar dan anggap ia sekadar personaliti individu sahaja, akibatnya ramai individu menjadi penjamin untuk pasangan yang sudah bertahun-tahun tidak membayar hutang. Jadi, tanya diri anda “adakah ini sekadar perbezaan pendapat tentang keutamaan atau ia adalah corak tingkah laku yang boleh terus memudaratkan saya apabila kewangan kedua-dua pihak disatukan?”.

Tanda Amaran 1: Enggan Berbincang Tentang Kewangan

Berbicara tentang wang mungkin terasa kekok, terutamanya pada peringkat awal hubungan, dan itu adalah perkara biasa. Namun, perkara yang dibimbangkan adalah apabila pasangan mengelak daripada sebarang perbincangan mengenai kewangan secara konsisten, tidak kira sejauh mana hubungan sudah terjalin.

Berahsia tentang situasi kewangan biasanya akan memburukkan lagi keadaan. Malah, ia akan menjadi semakin teruk sebaik sahaja komitmen bersama mula wujud dalam hubungan. Sebagai contoh, apabila anda menjadi penjamin untuk pinjaman pasangan, anda bersetuju secara sah untuk menanggung dan membayar penuh pinjaman tersebut jika peminjam utama gagal membayarnya. Anda sebenarnya tidak perlu bertukar penyata gaji pada temu janji ketiga, tetapi apabila mula merancang untuk berkahwin atau membeli hartanah bersama, kedua-dua pihak sepatutnya jujur tentang situasi kewangan masing-masing. 

Tiada siapa yang suka jadi orang pertama yang membuka topik tentang wang dalam hubungan. Namun, rasa janggal dalam satu perbincangan jujur adalah lebih baik daripada berhadapan dengan kesukaran merungkai kekusutan kewangan bersama di kemudian hari. 

Tanda Amaran 2: Berbelanja Melebihi Kemampuan

Ada cara yang praktikal untuk menilai situasi kewangan pasangan sebelum memulakan sebarang perbincangan yang agak sukar. Bank-bank di Malaysia secara umumnya menggunakan Nisbah Khidmat Hutang (Debt-to-Service Ratio, DSR) iaitu peratusan pendapatan bulanan bersih seseorang yang digunakan untuk membayar balik hutang sebagai ukuran utama kesihatan kewangan.

Kebanyakan bank menetapkan 60% sebagai had maksimum apabila menilai permohonan pinjaman. Pasangan yang sudah pun berada pada atau berhampiran julat tersebut sebelum mengambil kira perbelanjaan bersama mungkin berada dalam situasi kewangan yang lebih tertekan daripada apa yang ditunjukkan dari gaya hidupnya.

Memiliki hutang itu sendiri tidak menjadi tanda amaran secara automatik. Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk pengajian atau pinjaman kereta untuk kenderaan dengan harga mampu milik adalah perkara biasa bagi kebanyakan rakyat Malaysia. Persoalan yang penting adalah sama ada hutang tersebut mampu diuruskan dan sama ada pasangan anda bersikap jujur mengenainya. Jika perbelanjaan secara konsisten melebihi pendapatan tanpa ada simpanan atau harta keturunan keluarga yang dapat menjelaskannya, jurang tersebut wajar diselidik terlebih dahulu sebelum anda berkongsi akaun bank. 

Anda boleh semak DSR dengan segera menggunakan Kalkulator DSR kami yang mudah.

Tanda Amaran 3: Sejarah Gagal Bayar atau Lalai Bayaran

Di Malaysia, tunggakan pinjaman dan bil yang tidak dibayar akan direkodkan dalam laporan Central Credit Reference Information System (CCRIS) anda. CCRIS diuruskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menjejaki rekod pembayaran komitmen kewangan anda sepanjang 12 bulan yang lalu. 

Rekod yang buruk tidak kekal selamanya, dan anda boleh pulih daripada kesukaran kewangan. Namun, ia memberi gambaran bagaimana seseorang menguruskan tanggungjawab mereka pada masa lalu. Jika anda memohon pinjaman perumahan bersama, rekod kedua-dua pihak akan dinilai. Ini bermakna sejarah kredit pasangan boleh mempengaruhi sama ada permohonan anda diluluskan serta kadar faedah yang akan dikenakan. 

Tanda Amaran 4: Diminta Menjadi Penjamin Di Peringkat Awal Hubungan

Sekiranya pasangan anda meminta anda menjadi penjamin atau peminjam bersama pada peringkat awal hubungan, ia merupakan tanda amaran yang serius tidak kira bagaimana permintaan itu disampaikan. Seorang penjamin bertanggungjawab sepenuhnya secara sah untuk menjelaskan seluruh baki pinjaman jika peminjam utama gagal membayarnya. Ini boleh merosakkan rekod kredit anda sendiri dan menjejaskan kelayakan anda untuk membuat pinjaman pada masa hadapan. 

Bank-bank yang dikawal selia oleh BNM mempunyai penilaian kelayakan pinjaman mereka yang tersendiri. Individu yang kukuh dari segi kewangan dan layak secara bersendirian tidak sepatutnya memerlukan pasangan sebagai penjamin terutamanya sebelum hubungan itu mencapai tahap kepercayaan dan ikatan undang-undang yang kukuh. Corak ini juga kerap wujud dalam kes penipuan kewangan (scam), terutamanya yang bermula menerusi aplikasi janji temu atau media sosial. 

Tanda Amaran 5: Membuat Keputusan Besar Dalam Kewangan Tanpa Berbincang

Di bawah undang-undang sivil Malaysia, aset yang diperoleh sepanjang tempoh perkahwinan biasanya dianggap sebagai harta bersama dalam prosiding perceraian. Ini bermakna apa sahaja yang diperoleh semasa berkahwin adalah milik bersama. Bagi umat Islam di Malaysia pula, perkara ini tertakluk kepada prinsip harta sepencarian

Secara ringkasnya, keputusan kewangan pasangan anda sepanjang perkahwinan boleh menjadi beban tanggungjawab anda juga, sama ada anda terlibat dalam membuat keputusan itu ataupun tidak. Pasangan yang menandatangani sewaan, mengambil pinjaman besar, atau membuat pelaburan besar tanpa sebarang perbincangan bukannya sekadar bersikap melulu. Ini sebenarnya memberi isyarat bahawa mereka tidak menganggap ketenangan kewangan anda sebagai satu tanggungjawab bersama.

Tanda Amaran 6: Kerap Berjudi atau Perbelanjaan Kompulsif

Kerap berjudi hingga menjejaskan kewangan, menggunakan wang pinjaman, atau menyembunyikan aktiviti itu daripada pasangan adalah isu yang amat serius. Perjudian kompulsif ialah ketagihan tingkah laku dan selalunya menjadi semakin melampau berbanding pulih dengan sendiri. Perkara yang sama berlaku kepada tabiat berbelanja secara kompulsif atau gemar mengejar skim pelaburan yang menjanjikan jaminan pulangan, merupakan ciri utama penipuan kewangan. Corak tingkah laku sebegini jarang sekali berubah menjadi baik tanpa bantuan profesional. 

Perbezaan Antara Tanda Amaran dan Sebab Untuk Putuskan Hubungan

Bukan semua tanda amaran bermakna hubungan tersebut perlu diputuskan. Masalah kewangan boleh diselesaikan dan ramai pasangan berjaya mengatasinya terutamanya apabila kedua-duanya jujur tentang situasi kewangan masing-masing serta bersedia untuk bertanggungjawab memperbaiki keadaan. 

Perkara yang biasanya mengubah tanda amaran menjadi punca keretakan (dealbreaker) terbahagi kepada tiga perkara. Pertama ialah sengaja menyembunyikan fakta, di mana pasangan tahu mereka mempunyai hutang besar, masalah perjudian, atau rekod culas membayar tetapi memilih untuk merahsiakannya daripada anda. Kedua ialah enggan berubah, di mana masalah itu diakui tetapi langsung tidak bersedia untuk menanganinya. Ketiga ialah skala masalah, di mana situasi tersebut terlalu parah sehingga menjejaskan kestabilan kewangan anda sendiri secara serius. 

Anda juga perlu jujur dengan diri sendiri tentang sejauh mana kemampuan anda untuk bertahan. Menyokong pasangan yang sedang bergelut melalui fasa kewangan yang sukar adalah dua perkara yang sangat berbeza berbanding menanggung liabiliti undang-undang atas keputusan yang langsung tidak berkait dengan anda. Perbezaan tabiat kewangan ialah satu cabaran, tetapi ketidakjujuran dalam kewangan ialah jenis masalah yang berbeza sama sekali.

Bagaimana Cara Untuk Mendapatkan Bantuan

Jika anda atau pasangan sedang bergelut dengan masalah hutang atau tekanan kewangan, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menawarkan perkhidmatan kaunseling secara percuma dan sulit. Selain itu, perancang kewangan berlesen yang berdaftar dengan Financial Planning Association of Malaysia (FPAM) juga boleh membantu pasangan merangka pelan kewangan yang praktikal bersama, sama ada anda baru ingin bermula atau sedang uruskan keadaan selepas masalah itu berlaku.

Ikuti kami di saluran WhatsApp rasmi untuk tips dan kemas kini kewangan terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen