Guna Kad Kredit di Luar Negara? Fahami Caj Transaksi Luar Negara yang Dikenakan

KONGSI

Bila melancong ke luar negara atau membeli-belah di laman sesawang antarabangsa, ramai tak sedar bahawa terdapat caj tambahan yang dikenakan. Setiap kali kad kredit digunakan untuk membuat pembayaran dalam mata wang asing, anda biasanya akan dikenakan caj transaksi luar negara (foreign transaction fee) sekitar 1% hingga 2.5%.

Bagi mereka yang kerap berbelanja di luar negara atau secara atas talian antarabangsa, caj kecil ini boleh terkumpul dengan cepat. Dengan memahami cara caj ini dikenakan dan memilih kad kredit yang sesuai, anda boleh berjimat ratusan ringgit setiap tahun.

Apa Itu Caj Transaksi Luar Negara dan Berapakah Caj yang Biasanya Dikenakan Kad Kredit Malaysia?

Caj transaksi luar negara ialah caj yang bank kenakan apabila anda gunakan kad kredit untuk bayaran dalam mata wang selain Ringgit Malaysia (RM atau MYR). Ini termasuk perbelanjaan fizikal di luar negara seperti di kedai atau restoran, serta pembelian dalam talian antarabangsa walaupun anda berada di Malaysia.

Secara ringkasnya, caj ini terdiri daripada dua bahagian utama:

Caj rangkaian: Visa dan Mastercard akan mengenakan sekitar 1% untuk proses penukaran mata wang. Caj ini memang tidak boleh dielakkan bagi kebanyakan kad kredit.

Caj tambahan bank: Setiap bank akan menambah caj mereka sendiri, biasanya sekitar 1% hingga 1.5%. Bagi sesetengah kad premium yang menggunakan rangkaian American Express, caj ini boleh menjadi lebih tinggi sehingga 2.5%.

Oleh itu, jika anda lihat iklan kad kredit menyatakan caj transaksi luar negara 1%, selalunya ia merujuk kepada caj bank. Bila digabungkan dengan caj rangkaian, jumlah sebenar yang anda bayar boleh mencecah sekitar 2% hingga 2.5%.

Contohnya, jika anda berbelanja RM10,000 ketika di luar negara, anda sebenarnya membayar tambahan dalam RM200 hingga RM250 hanya untuk caj transaksi.

Yang Mana Lebih Berbaloi: Bayar Guna Mata Wang Tempatan atau Ringgit Malaysia?

Salah satu kesilapan paling biasa yang dilakukan oleh pelancong adalah menerima Dynamic Currency Conversion (DCC). Peraturannya mudah, sentiasa pilih untuk bayar dalam mata wang tempatan.

Apabila anda berada di luar negara dan mesin pembayaran (ATM) menawarkan pilihan untuk bayar dalam MYR, sebaiknya tolak pilihan tersebut. Walaupun ia nampak mudah kerana jumlah dalam MYR dipaparkan secara terus, namun kadar pertukaran yang digunakan biasanya jauh lebih mahal berbanding kadar yang ditawarkan oleh Visa atau Mastercard.

Dalam sesetengah kes, anda juga masih akan dikenakan caj tambahan DCC. Ini bermakna anda membayar lebih melalui kadar pertukaran yang tidak menguntungkan dan caj tambahan sekaligus.

Jika anda berbelanja sekitar RM5,000 dan menerima DCC, perbezaan kos boleh mencecah RM100 hingga RM200 berbanding jika anda membayar dalam mata wang tempatan.

Prinsip yang sama terpakai di ATM. Jika mesin bertanya sama ada anda mahu pengeluaran dengan penukaran atau tanpa penukaran, sentiasa pilih tanpa penukaran.

Bagaimana Kadar Pertukaran Mata Wang Mempengaruhi Caj Kad Kredit Anda?

Ramai beranggapan kadar pertukaran mata wang adalah punca utama kos tinggi apabila berbelanja di luar negara. Hakikatnya, ia bukanlah masalah sebenar.

Visa dan Mastercard menggunakan kadar pertukaran harian yang hampir dengan kadar pasaran sebenar, iaitu kadar yang biasanya anda lihat di Google atau laman penukaran mata wang. Kadar asas ini adalah telus dan berpatutan kepada pengguna.

Kos tambahan datang daripada caj rangkaian dan caj bank yang dikenakan selepas itu. Dua caj inilah yang menyebabkan perbelanjaan luar negara menjadi lebih mahal, bukan kadar pertukaran itu sendiri.

Kad Kredit Terbaik untuk Perbelanjaan Luar Negara

Tiada kad kredit utama di Malaysia yang menawarkan caj transaksi luar negara sifar sepenuhnya. Namun, terdapat beberapa kad yang mengehadkan caj bank mereka kepada sekitar 1%, menjadikannya lebih menjimatkan untuk digunakan di luar negara.

Kad yang paling sesuai bergantung kepada tabiat perjalanan dan corak perbelanjaan anda.

Untuk Nilai Maksimum dan Fleksibiliti Pembayaran Luar Negara

Kad Kredit Alliance Bank Visa Infinite
Kad ini menawarkan anda 10 kali Three-Year Bonus Points (TBP) untuk setiap RM1 yang dibelanjakan di luar negara, yang boleh mengimbangi caj transaksi 2.25%. Dengan penebusan mata ganjaran yang cekap, anda boleh mendapat pulangan bersih sekitar 0.25% atau lebih. Kad ini juga menyokong pelan pembayaran fleksibel 0% faedah untuk transaksi luar negara, termasuk tiket penerbangan dan tempahan hotel, serta akses percuma ke lounge (balai tamu) lapangan terbang.

Untuk Perbelanjaan Tinggi dan Ganjaran Maksimum

Kad Kredit HSBC Visa Signature
Walaupun yuran tahunannya lebih tinggi, kad ini memberi 8 hingga 10 kali mata ganjaran yang boleh mengimbangi caj transaksi 2.25% jika anda berbelanja cukup serta menebus mata dengan strategi yang betul, terutamanya untuk penerbangan dan hotel.

Untuk Perbelanjaan Sederhana dan Penggunaan Ringkas

Kad Kredit RHB World Mastercard
Tiada yuran tahunan seumur hidup, struktur pulangan tunai (cashback) yang mudah, dan caj transaksi 2.25% menjadikannya sesuai untuk pengembara yang tidak mahu pening kepala dengan penebusan mata ganjaran.

Untuk Pengumpul Mata Penerbangan (Air Miles)

UOB PRVI Miles Card
Jika matlamat anda adalah mengumpul mata penerbangan untuk penerbangan ganjaran (award flights), kadar perolehan 5x UNIRinggit bagi perbelanjaan luar negara menjadikannya pilihan paling berbaloi.

Untuk Pengembara yang Ingin Berjimat

Kad Kredit-i Bank Rakyat Platinum Explorer
Menawarkan caj transaksi efektif yang rendah sekitar 1.25% dan akses percuma ke lounge lapangan terbang, sesuai untuk mereka yang mengutamakan kos rendah berbanding ganjaran.

Untuk Pengembara Mewah

Kad Kredit CIMB Travel World Elite
Untuk mereka yang berpendapatan tinggi dan kerap melancong jarak jauh, kad ini menawarkan 10 kali mata ganjaran dan akses ke lounge Plaza Premium First. Walaupun yuran tahunannya sebanyak RM1,215, namun ia sangat berpatutan jika anda memenuhi syarat pendapatan tahunan RM250,000 dan perbelanjaan tahunan RM240,000 ke atas.

Strategi terbaik untuk kebanyakan pengembara adalah dengan memiliki dua kad kredit. Satu kad kredit mata ganjaran untuk pembelian besar seperti tiket penerbangan dan hotel. Manakala, satu lagi kad kredit dengan caj rendah untuk perbelanjaan harian di luar negara.

Perlukah Anda Maklumkan kepada Bank Sebelum ke Luar Negara?

Walaupun kebanyakan bank kini mempunyai sistem pengesanan yang lebih pintar, tetapi untuk lebih selamat, anda digalakkan untuk memaklumkan kepada bank sebelum ke luar negara.

Jika kad anda tiba-tiba digunakan di negara lain tanpa sebarang notis, sistem keselamatan bank mungkin menganggapnya sebagai transaksi mencurigakan dan menyekat kad tersebut. Ini boleh menyusahkan anda, terutamanya jika anda sedang bercuti dan perlu membuat pembayaran segera.

Dengan memaklumkan kepada pihak bank lebih awal, anda boleh mengurangkan risiko kad disekat semasa berada di luar negara.

Caj yang Kecil Boleh Bertambah dengan Cepat

Caj transaksi luar negara mungkin nampak kecil pada setiap transaksi, tetapi kesannya besar dalam jangka panjang. Sebuah keluarga yang membelanjakan RM15,000 untuk percutian luar negara boleh membayar sekitar RM300 hingga RM375 hanya untuk caj transaksi menggunakan kad kredit biasa.

Kesilapan paling mahal adalah menerima DCC. Dengan hanya memilih untuk bayar dalam mata wang tempatan dan menggunakan kad kredit yang sesuai, anda boleh mengurangkan kos ini dengan ketara.

Akhir sekali, memilih kad kredit yang betul berdasarkan kekerapan melancong dan cara anda berbelanja membantu anda menyimpan lebih banyak wang untuk perkara yang benar-benar penting semasa bercuti.

Bandingkan kad kredit pelancongan terkini di RinggitPlus untuk mencari kad yang paling sesuai dengan tabiat perbelanjaan anda.

Untuk lebih banyak tip kewangan yang praktikal dan relevan, sertai saluran rasmi WhatsApp RinggitPlus.

*Maklumat artikel disahkan setakat 29 Disember 2024. Kadar, caj dan promosi tertakluk kepada perubahan. Sila semak terma terkini dengan pihak bank atau pengeluar kad.

5 1 vote
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments