Nak Survive Tinggal Sendirian Di KL? Ini Realiti Kos Hidup & Simpanan Yang Anda Perlu Ada

KONGSI

Tidak dinafikan ramai individu bujang yang hidup sendirian di Kuala Lumpur (KL), malah ada remaja di luar bandar yang berhasrat untuk menetap di ibu kota apabila melangkah ke alam pekerjaan nanti. 

Namun, realiti sebenar hidup di KL tidaklah seperti apa yang dibayangkan, ia sebenarnya jauh lebih mencabar sekiranya anda tidak tahu cara untuk ‘survive’.

Antara sewa, utiliti, makanan, pengangkutan, dan bil telefon, sebahagian besar pendapatan anda sudah pun diperuntukkan. Dan jika sesuatu yang tidak dijangka berlaku, seperti bil perubatan atau pembaikan kereta, ia boleh menjadi satu tekanan jika anda tidak bersedia.

Itulah gunanya tabung kecemasan. Anggap ia sebagai jaring keselamatan serta cara yang praktikal untuk menguruskan sebarang musibah tanpa perlu rasa bimbang. Inisiatif untuk menyimpan tiga hingga enam bulan perbelanjaan akan jadi lebih bermakna bila anda memahami kos sebenar kehidupan tinggal bersendirian di KL.

Berapakah Kos Sebenar Tinggal Bersendirian Di KL?

Sebelum anda fikir tentang simpanan kecemasan, berikut adalah gambaran yang lebih jelas tentang perbelanjaan bulanan biasa.

Bagi kebanyakan individu bujang di Kuala Lumpur, inilah rupa bajet anda:

PerbelanjaanAnggaran Kos Bulanan (RM)
Sewa (studio atau unit kecil)1,200 – 2,500
Utiliti (elektrik, air, internet)100 – 250
Makanan800 – 1,500
Pengangkutan (Grab, LRT/MRT, atau bahan api dan parkir)200 – 600
Telefon (pelan pascabayar)50 – 150
Peribadi dan pelbagai (barangan mandi, langganan, perbelanjaan sosial)300 – 500
Jumlah2,650 – 5,500


Secara keseluruhan, perbelanjaan bulanan biasanya adalah antara RM2,650 dan RM5,500, bergantung kepada lokasi dan gaya hidup. Kebanyakan individu muda di KL mampu bertahan dengan RM3,500 hingga RM4,000. Ini adalah jumlah asas yang boleh anda gunakan untuk membina pelan simpanan anda.

Perbelanjaan Yang Sering Membuatkan Orang Terkejut

Kos di luar jangkaan biasanya merupakan perkara yang mengganggu bajet anda. Kos perubatan, walaupun dengan insurans, boleh menelan belanja RM300 hingga RM800 dari poket sendiri setelah faktor bayaran bersama (co-payment) dan rawatan yang tidak dilindungi diambil kira. 

Peranti peribadi juga adalah salah satu perkara yang perlu diambil kira. Laptop yang rosak atau skrin telefon yang retak boleh menelan kos RM1,500 hingga RM4,000.

Pertukaran kerja juga datang dengan kos tersembunyi seperti kospengangkutan ke tempat temu duga, pakaian kerja, dan kadangkala kursus untuk meningkatkan “Curriculum Vitae” (CV) anda.

Begitu juga, berpindah rumah boleh mengikat beberapa bulan sewa dalam bentuk deposit sebelum deposit lama anda dikembalikan, dan hal kecemasan melibatkan ahli keluarga seperti penerbangan saat akhir atau menghulurkan bantuan untuk saudara-mara juga memerlukan wang tunai.

Berapakah Jumlah Tabung Kecemasan Yang Perlu Anda Sediakan?

Nasihat biasa adalah untuk menyimpan tiga hingga enam bulan perbelanjaan. Berikut adalah anggaran untuk tinggal secara solo di KL:

SenarioPerbelanjaan BulananSasaran Tabung Kecemasan
Minimum (3 bulan, keperluan asas sahaja)RM3,000RM9,000
Selesa (6 bulan, perbelanjaan biasa)RM4,000RM24,000
Paling selesa (12 bulan)RM4,000 + RM5,000RM29,000

Jumlah minimum yang praktikal adalah tiga bulan keperluan asas seperti sewa, utiliti, makanan, dan pengangkutan. Simpanan selama enam bulan membolehkan anda mengekalkan sebahagian besar rutin anda meskipun ketika dilanda musibah, apatah lagi jika 12 bulan.

Kestabilan pekerjaan juga penting, terutamanya jika pendapatan anda tidak menentu. Jika anda bekerja dalam bidang jualan dan sangat bergantung pada komisen, simpanan untuk komitmen selamaenam bulan boleh memberi anda lebih ruang untuk ‘bernafas’. Jika anda makan gaji dengan gaji bulanan tetap, bermula dengan tiga hingga empat bulan simpanan dan membinanya dari semasa ke semasa mungkin lebih realistik.

Membina Tabung Kecemasan Dengan Bajet Terhad

Menyimpan RM24,000 memang akan membuatkan anda berasa agak terbeban, namun kuncinya adalah untuk mulakannya dengan jumlah yang kecil dan kekal konsisten.

  • Bermula dengan RM500. Ini cukup untuk menampung kecemasan kecil. Kemudian sasar untuk satu bulan perbelanjaan.
  • Simpanan secara automatik. Tetapkan pindahan RM100 sehingga RM200 setiap hari gaji. Anggap ia seperti bil yang anda tidak boleh langkau.
  • Gunakan ‘durian runtuh’ dengan bijak. Bonus, bayaran balik cukai, dan duit raya atauangpao boleh memberi lonjakan kepada tabung anda.
  • Buat pelarasan gaya hidup. Batalkan langganan yang tidak penting atau jarang digunakan, masak di rumah, atau tukar pelan telefon anda. Perubahan kecil ini boleh menambah simpanan anda.
  • Lihat semula perbelanjaan bulanan. Mengetahui ke mana wang anda pergi boleh mendedahkan peluang untuk menyimpan.

Langkah-langkah ini praktikal dan boleh dilakukan. Matlamatnya bukan untuk menambah tekanan anda untuk setiap wang ringgit, tetapi bagi memberi ketenangan fikiran ketika dilanda ujian.

Simpanan Kecemasan Atau Pembayaran Balik Hutang?

Jika anda mempunyai sebarang hutang, itu perlu diambil kira dalam pelan tabung kecemasan anda juga. Tidak semua hutang harus dilayan sama rata.

Hutang faedah tinggi, seperti kad kredit atau pinjaman peribadi melebihi 10% setahun, secara amnya harus diselesaikan terlebih dahulu sambil mengekalkan simpanan kecemasan minimum RM1,000 hingga RM2,000. Hutang faedah rendah, seperti PTPTN atau pinjaman kereta di bawah 5% setahun, biasanya boleh diuruskan bersama-sama dengan terus membina tabung kecemasan anda.

Jika anda tidak mempunyai hutang, fokus pada tabung kecemasan anda terlebih dahulu, kerana ia menyediakan asas sebelum melabur. Matlamatnya adalah untuk melindungi diri anda. Simpanan kecil boleh mengelakkan anda daripada sakit kepala memikirkan hal kewangan secara berpanjangan.

Di Mana Untuk Menyimpan Simpanan Kecemasan

Tabung kecemasan perlu bersifat mudah diakses tetapi berasingan daripada perbelanjaan harian. Akaun simpanan faedah tinggi menawarkan 2% sehingga 3% setahun dan pengeluaran yang fleksibel. Dana pasaran wang (money market funds) boleh memberikan pulangan yang sedikit lebih tinggi sekitar 3% sehingga 4% setahun dengan akses hari berikutnya untuk bahagian tabung yang anda tidak perlukan segera. Simpanan tetap (fixed deposits), unit amanah, atau saham adalah tidak ideal kerana ia boleh mengunci wang anda apabila anda amat memerlukannya.

Jika Pendapatan Anda Berubah

Sasaran tabung kecemasan anda tidak tetap. Jika pendapatan menurun, selaraskan sasaran anda dengan sewajarnya. Sekiranya anda kehilangan pekerjaan, tukar kepada perbelanjaan paling minimum dan mohon Sistem Insurans Pekerja (EIS) melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), yang boleh memberikan sehingga enam bulan pembayaran pada kadar 80% daripada gaji yang diinsuranskan (dihadkan pada RM4,000/sebulan).

Jika gaji anda dipotong, kira semula perbelanjaan anda dan selaraskan sasaran tabung anda. Walaupun tanpa perubahan pendapatan, menyemak tabung kecemasan anda setiap tahun adalah sesuatu yang bijak, kerana inflasi mengurangkan kuasa membeli dari semasa ke semasa.

Mengira Sasaran Tabung Kecemasan Anda Sendiri

LangkahContoh Pengiraan
Perbelanjaan bulanan asasRM3,800
Darab dengan sasaran bulan× 6 bulan
Subjumlah= RM22,800
Tambah simpanan untuk perbelanjaan besar+ RM4,000
Sasaran tabung kecemasan= RM26,800

Rasa terbeban? Fokus pada tabiat bulanan. Menyimpan RM300 sebulan membolehkan andamencapai RM9,000 dalam masa kira-kira 2.5 tahun, manakala simpanan berjumlah RM500 sebulan membolehkan anda memiliki simpanan sebanyakRM24,000 dalam masa kira-kira empat tahun.

Kuncinya adalah untuk mula menyimpan sekarang! Malah jumlah kecil yang disimpan sekarang boleh menghalang masalah jangka pendek daripada menjadi tekanan jangka panjang.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

5 1 vote
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments