Matawang kripto kini sudah menjadi sebahagian daripada pelaburan harian ramai rakyat Malaysia. Ada yang membeli Bitcoin atau Ethereum dan menyimpannya untuk jangka masa panjang. Ada pula yang membuat beberapa transaksi setiap bulan di platform seperti Luno atau Binance, menukar token apabila harga menaik atau memperoleh ganjaran staking sebagai pendapatan sampingan.
Cukai bagi kripto biasanya akan dipersoalkan, selalunya apabila keuntungan dah mula bertambah. Waktu itu, anda mungkin sudah tahu cara membeli, menjual, melakukan staking, atau menukar token, tetapi masih tidak pasti di mana garisan cukai itu sebenarnya.
Di Malaysia, jawapannya bukan bergantung pada jenis token, tetapi lebih kepada corak aktiviti anda. Membeli dan menyimpan dalam tempoh masa yang panjang biasanya meletakkan anda dalam satu kedudukan. Berdagang secara kerap untuk raih keuntungan, memperoleh ganjaran token secara berterusan atau menerima token melalui aktiviti sampingan boleh meletakkan anda dalam kedudukan yang lain.
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) telah mengeluarkan garis panduan berkaitan transaksi matawang digital pada tahun 2022 dan menerbitkan edisi kedua pada Disember 2025. Jadi, rangka kerja semasa sudah pun digunakan untuk menilai aktiviti-aktiviti ini. Ringkasnya, keuntungan pelaburan jangka panjang biasanya berbeza daripada pendapatan yang diperoleh melalui dagangan aktif, perlombongan (mining), staking, atau aktiviti mencari untung yang serupa.
Kedudukan Cukai Anda Bergantung Pada Corak Aktiviti Anda
LHDN tidak menilai berdasarkan apa gelaran yang diberikan oleh diri anda sendiri, tetapi melihat apa yang anda lakukan sebenarnya.
Tiada peraturan tetap yang menyatakan bahawa bilangan dagangan tertentu akan menjadikan keuntungan anda dikenakan cukai secara automatik. Sebaliknya, LHDN meneliti secara keseluruhannya. Ini termasuk seberapa kerap anda membeli dan menjual, berapa lama anda menyimpan setiap token, sama ada anda berhasrat meraih keuntungan jangka pendek serta sama ada aktiviti anda kelihatan berulang dan tersusun.
Jika anda membeli Ethereum dua tahun lalu dan membiarkannya begitu sahaja, kedudukan anda biasanya kelihatan lebih seperti pelaburan. Jika anda membeli dan menjual dalam beberapa kali seminggu, berpindah dengan pantas antara token dan cuba meraih keuntungan daripada perubahan harga jangka pendek, aktiviti anda mungkin kelihatan lebih seperti dagangan, walaupun ia secara tidak rasmi.
| Jika Aktiviti Anda Kelihatan Lebih Seperti Ini | Ia Biasanya Cenderung Ke Arah |
| Membeli dan menyimpan selama berbulan atau bertahun | Pelaburan |
| Hanya membuat jualan sekali-sekala | Pelaburan |
| Mahu meraih keuntungan untuk jangka panjang | Pelaburan |
| Membeli dan menjual secara kerap untuk keuntungan jangka pendek | Dagangan |
| Mengulangi transaksi yang serupa dengan kerap | Dagangan |
| Melakukannya seperti aktiviti pendapatan sampingan | Dagangan |
Jika anda membuat beberapa dagangan sebulan, sesekali menukar token, dan turut menerima ganjaran staking, kedudukan anda menjadi lebih susah untuk dikelaskan. Dalam situasi sebegini, rekod yang lengkap dan konteks aktiviti keseluruhan anda memainkan peranan yang besar.
Aktiviti Kripto Yang Berbeza Boleh Dikenakan Cukai Dengan Cara Yang Berbeza
Topik ini mungkin kedengaran rumit kerana setiap aktiviti kripto dianggap berbeza dari segi cukai. Membeli dan menahan (hold) adalah satu perkara. Tetapi perlombongan (mining), staking, menerima token sebagai bayaran perkhidmatan, dan dagangan aktif semuanya dinilai secara berasingan.
Mari lihat setiap aktiviti secara berasingan agar anda lebih mudah memahaminya.
| Aktiviti | Kedudukan Cukai Yang Dijangka |
| Membeli dan menyimpan matawang kripto untuk jangka masa panjang | Biasanya tidak dikenakan cukai |
| Membeli dan menjual dengan kerap untuk keuntungan | Berkemungkinan dikenakan cukai sebagai pendapatan |
| Menerima mata wang kripto sebagai gaji atau bayaran perkhidmatan | Dikenakan cukai |
| Melombong (mining) matawang kripto | Dikenakan cukai |
| Menerima ganjaran staking | Berkemungkinan dikenakan cukai |
| Menerima airdrop percuma tanpa sebarang syarat | Umumnya tidak dikenakan cukai apabila diterima |
| Menerima token melalui rujukan, promosi, atau perkhidmatan lain | Berkemungkinan dikenakan cukai |
Jika anda membeli dan menyimpan token untuk jangka masa panjang, kedudukan cukai anda biasanya lebih rendah risikonya. Sebaliknya, jika anda kerap memperoleh nilai melalui dagangan, perlombongan (mining), ganjaran, atau perkhidmatan, pendedahan kepada cukai adalah lebih tinggi.
Pertukaran Token Boleh Dikenakan Cukai
Ramai yang beranggapan cukai hanya dikenakan apabila kripto dijual, ditukarkan ke ringgit, dan wang masuk ke akaun bank. Namun, menurut garis panduan LHDN, skopnya lebih luas daripada itu.
Apabila anda menukar satu token dengan token yang lain, token pertama dianggap telah dijual (disposed of), manakala token kedua dianggap telah dibeli. Contohnya, pertukaran dari Bitcoin ke Ethereum bukan sekadar perubahan dalam portfolio anda, tetapi ia tetap boleh memberi implikasi cukai, bergantung pada bagaimana aktiviti keseluruhan anda dikelaskan oleh LHDN.
| Jenis Pertukaran | Layanan Yang Dijangka |
| Token ditukar dengan token lain | Pelupusan token pertama dan pemerolehan token kedua |
| Token ditukar kepada stablecoin | Masih dianggap sebagai pelupusan |
| Pertukaran sekali-sekala oleh pemegang jangka panjang | Risiko cukai lebih rendah, walaupun masih perlu direkodkan |
| Pertukaran kerap oleh pengguna aktif | Lebih berkemungkinan menjadi sebahagian daripada aktiviti pendapatan bercukai |
Stablecoin adalah token yang direka untuk mengekalkan nilai yang stabil, biasanya dengan mengaitkannya kepada mata wang seperti dolar AS. Namun, menukar token anda kepada stablecoin tidak bermakna anda terlepas dari cukai, ia masih dikira sebagai pelupusan (disposal) di bawah garis panduan LHDN.
Ini penting untuk difahami terutama jika anda kekal dalam ekosistem kripto untuk tempoh yang lama tanpa sekali pun mengeluarkan wang ke akaun bank. Walaupun tiada ringgit yang masuk ke poket anda, anda mungkin sudah mengumpul satu siri transaksi pelupusan yang perlu diteliti terutama jika aktiviti anda kelihatan seperti dagangan di mata LHDN.
Staking, DeFi, Dan Airdrop Boleh Mengubah Gambaran Anda
Dagangan harian bukan satu-satunya cara isu cukai boleh timbul. Staking, aktiviti DeFi, dan airdrop turut boleh memberi kesan kepada kedudukan cukai anda.
Staking bermaksud anda mengunci matawang kripto untuk menyokong rangkaian atau platform blockchain, dan sebagai balasan, anda menerima ganjaran biasanya dalam bentuk token tambahan. Menurut garis panduan LHDN, ganjaran staking umumnya dianggap sebagai pendapatan. Ini bermakna, nilai token yang anda terima pada tarikh penerimaannya mungkin perlu dilaporkan dalam cukai.
DeFi, atau decentralised finance (kewangan terdesentralisasi), merujuk kepada perkhidmatan berasaskan kripto yang membolehkan orang meminjam, mendapatkan pulangan, atau menyediakan kecairan melalui platform blockchain tanpa perlu melalui bank atau broker. Jika anda menempatkan token ke dalam platform sebegini dan menerima yuran, ganjaran, atau governance tokens sebagai balasan, aktiviti itu boleh dianggap sebagai pendapatan bercukai, terutama jika ia berlaku secara kerap dan jelas bertujuan untuk mencari keuntungan.
Airdrop berlaku apabila token percuma dihantar terus ke dompet atau akaun pertukaran anda. Ini boleh berlaku dalam beberapa situasi seperti sebagai promosi untuk menarik perhatian kepada sesuatu projek, selepas hard fork (apabila sebuah blockchain berpecah dan mencipta versi token baharu) atau sebagai ganjaran kepada pengguna yang telah melengkapkan tugas tertentu seperti rujukan, menyiarkan kandungan, atau mempromosikan sesuatu projek.
Oleh kerana airdrop boleh berlaku dalam pelbagai cara, layanan cukai juga berbeza.
| Jenis Penerimaan | Kedudukan Yang Dijangka |
| Airdrop percuma tanpa sebarang syarat | Umumnya tidak dikenakan cukai apabila diterima |
| Token hard fork yang diterima tanpa melakukan apa-apa | Umumnya tidak dikenakan cukai apabila diterima |
| Token yang diterima melalui rujukan, promosi, kandungan, atau sumbangan | Berkemungkinan dikenakan cukai sebagai pendapatan |
Menjual token tersebut kemudian pula boleh menimbulkan isu cukai yang berasingan. Jika token diterima secara percuma, kos asas (cost base) anda mungkin sifar dan ini mengubah cara keuntungan dikira apabila token itu dijual. Sama ada keuntungan tersebut dikenakan cukai masih bergantung pada sama ada aktiviti keseluruhan anda dianggap sebagai pelaburan atau pendapatan oleh LHDN.
Pengiraan Keuntungan Yang Mudah Tetapi Ada Bahagian Yang Sukar
Setelah sesuatu aktiviti ditetapkan sebagai bercukai, pengiraan asasnya mudah sahaja. Anda ambil harga jualan dan tolak kos pemerolehan.
Bahagian yang lebih sukar adalah untuk menentukan unit mana yang telah dijual, terutama apabila anda membeli token yang sama lebih daripada sekali pada harga yang berbeza. LHDN mengesyorkan kaedah First In, First Out, (FIFO). Ini bermaksud unit yang dibeli paling awal dianggap sebagai unit yang pertama dijual.
| Tarikh | Transaksi | Jumlah |
| Januari | Beli 1 ETH | RM8,000 |
| Mac | Beli 1 ETH | RM10,000 |
| Jun | Jual 1 ETH | RM15,000 |
Menggunakan kaedah FIFO, jualan pada bulan Jun dipadankan dengan pembelian pada bulan Januari dahulu. Dalam contoh ini, keuntungannya adalah RM7,000.
Pengiraan itu sendiri sebenarnya tidaklah begitu sukar. Yang lebih mencabar adalah mengekalkan rekod yang tepat apabila aktiviti anda merentasi pelbagai pertukaran (exchange), dompet, swap token, ganjaran, dan yuran. Beberapa dagangan yang kelihatan kecil boleh berkembang dengan cepat menjadi senarai panjang entri dan setiap satu memerlukan tarikh serta nilai ringgit yang tepat.
Jika kos pemerolehan tidak dapat ditentukan, LHDN menyatakan bahawa nilai pasaran semasa pada masa transaksi hendaklah digunakan, berdasarkan kadar dari pertukaran yang boleh diterima. Mengekalkan rekod semasa adalah jauh lebih mudah berbanding cuba membina semula segala-galanya sebelum musim percukaian seterusnya.
Rekod Yang Baik Boleh Menyokong Kedudukan Cukai Anda
Menyimpan rekod bukan sekadar kerja pentadbiran yang membosankan. Dalam konteks cukai kripto, rekod yang lengkap sering menjadi bukti penting untuk menjelaskan sama ada aktiviti anda tergolong sebagai pelaburan atau dagangan.
LHDN menjangkakan rekod aset digital disimpan sekurang-kurangnya tujuh tahun. Ini terpakai walaupun anda percaya keuntungan anda tidak dikenakan cukai. Jika pendirian anda adalah mahu melabur dan bukan berdagang, rekod tersebut mungkin masih diperlukan untuk menyokong pandangan itu.
| Rekod | Mengapa Ia Penting |
| Sejarah transaksi pertukaran (exchange) | Menunjukkan tarikh, jumlah, dan harga |
| Alamat dompet dan log dompet | Menghubungkan aktiviti on-chain dengan pegangan anda |
| Rekod staking, pertukaran token, dan aktiviti DeFi | Membantu menjelaskan pendapatan ganjaran dan pelupusan |
| Nilai ringgit pada masa setiap transaksi | Menyokong pengiraan dan pelaporan |
| Resit untuk yuran dan kos berkaitan | Mungkin berguna apabila potongan relevan |
| Nota yang menjelaskan transaksi utama | Membantu menunjukkan sama ada aktiviti kelihatan seperti pelaburan atau dagangan |
Kebanyakan pertukaran (exchange) membenarkan anda mengeksport sejarah transaksi, lakukan ini secara berkala. Aktiviti DeFi pula memerlukan lebih banyak usaha kerana tiada penyata bulanan yang kemas untuk dirujuk. Dalam kes ini, tangkap layar skrin (screenshot), log dompet, dan rekod yang dieksport boleh menjadi sangat berguna.
Zon Kelabu, Di Situlah Masalah Bermula
Masalah terbesar yang dihadapi ramai orang bukanlah sengaja mengelak daripada dikenakan cukai, tetapi tidak tahu di mana kedudukan aktiviti mereka dari segi cukai.
Portfolio yang hanya mencatat dua pembelian dan satu jualan mudah dikelaskan. Tetapi jika sejarah transaksi anda merangkumi dagangan bulanan, ganjaran staking, pertukaran token, dan aktiviti DeFi, gambarannya menjadi lebih kompleks dan sukar dinilai dengan cepat. Dalam situasi sebegini, rekod yang lengkap amat penting kerana LHDN menilai corak aktiviti keseluruhan anda, bukan hanya satu transaksi.
LHDN juga telah menunjukkan bahawa pendapatan aset digital kini merupakan isu penguatkuasaan yang aktif, bukan sekadar teori. Jika aktiviti anda lebih besar, lebih kerap, atau tersebar merentasi beberapa sumber pendapatan, menyemak kedudukan anda lebih awal jauh lebih mudah berbanding cuba menjelaskan sejarah transaksi yang tidak teratur kemudian.
Pemfailan Cukai Jadi Lebih Mudah Bila Aktiviti Anda Jelas
Cukai jauh lebih mudah diurus apabila rekod anda menggambarkan aktiviti yang jelas dan konsisten. Portfolio yang mencatat tempoh pegangan yang panjang dengan hanya beberapa jualan sekali-sekala lebih mudah dikelaskan sebagai pelaburan. Sebaliknya, sejarah yang dipenuhi dagangan berulang, pendapatan ganjaran, dan pertukaran token yang kerap lebih cenderung dianggap sebagai aktiviti pendapatan oleh LHDN.
Pendapatan bercukai jenis ini perlu diisytiharkan melalui Borang B, iaitu borang untuk individu yang mempunyai pendapatan perniagaan, dengan tarikh akhir penghantaran pada 30 Jun setiap tahun.
Jika anda sudah aktif dalam kripto selama setahun atau dua tahun tanpa memberi perhatian kepada aspek cukai, langkah pertama yang perlu diambil sebenarnya mudah. Eksport sejarah transaksi anda sekarang, susun aktiviti ke dalam kategori yang jelas, dan nilai dengan jujur sama ada portfolio anda lebih mencerminkan pelaburan jangka panjang atau keuntungan jangka pendek.
Pelaburan Jangka Panjang Dan Aktiviti Pendapatan Aktif Dinilai Secara Berbeza
Pendekatan cukai kripto Malaysia pada asasnya memisahkan pegangan jangka panjang daripada aktiviti yang kelihatan seperti pendapatan berterusan. Jika anda membeli dan menahan dari masa ke masa, risiko cukai anda biasanya lebih rendah. Jika aktiviti anda merangkumi dagangan yang kerap, ganjaran staking, perlombongan, bayaran berasaskan token, atau pendapatan DeFi yang tetap, risiko cukainya lebih tinggi.
Semakin tersusun portfolio anda, berulang, dan berorientasikan keuntungan, semakin sukar untuk mendakwa bahawa aktiviti itu sekadar pelaburan biasa. Apabila sampai ke tahap itu, perlindungan terbaik bukan keyakinan atau andaian semata-mata, tetapi rekod yang lengkap tentang apa yang anda lakukan, bila anda melakukannya dan mengapa ia wajar dianggap sebagai pelaburan.
Jika anda ingin lihat senarai lengkap setiap pelepasan cukai yang tersedia tahun ini, panduan cukai pendapatan peribadi YA 2025 kami yang komprehensif sedia membantu anda.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Steffi Manisha Arokiam adalah Pengarah Cukai di ThinkTx Consultants dan beliau bertanggungjawab menerajui urusan Harga Pemindahan (Transfer Pricing) dan e-Invois firma tersebut. Beliau menasihati individu dan perbadanan dalam pelbagai hal ehwal percukaian, termasuk Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT), duti setem, cukai harta pusaka, dan mobiliti global bagi ekspatriat. Beliau dikenali kerana berjaya menggabungkan kepakaran teknikal yang teguh dengan pendekatan praktikal berasaskan penyelesaian. Dengan kepakaran ini, Steffi dapat membantu para pelanggan mengendali isu-isu cukai yang kompleks dengan jelas dan yakin.
Sebagai seorang pembimbing yang dihormati dalam bidang percukaian, Steffi telah mengarang pelbagai jenis artikel teknikal dan buletin profesional. Hasil kerja beliau telah diterbitkan oleh International Bureau of Fiscal Documentation (IBFD) dan Wolters Kluwer (CCH), di mana beliau memberikan pandangan tentang perkembangan cukai kontemporari. Beliau juga pernah dijemput dalam temu bual mengenai percukaian kripto bersama BFM 89.9.
Keahlian Profesional
- Ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA)
- Ahli Chartered Tax Institute of Malaysia (CTIM)
- Akauntan Profesional Piagam ASEAN (ASEAN Chartered Professional Accountant – ASEAN CPA)
- Ahli Persatuan Fiskal Antarabangsa (IFA)
- Jurulatih Profesional yang diperakui oleh HRD Corp
