Kelebihan dan Cara Guna Pelan Pembayaran Mudah
Nak beli peti sejuk idaman berharga RM3,000 tapi tak nak bayar sekaligus? Di sinilah gunanya pelan bayaran mudah atau Easy Payment Plan (EPP). Dengan EPP, anda boleh bayar secara ansuran bulanan biasanya dengan kadar faedah yang sangat rendah atau tiada faedah langsung (0%) bergantung pada bank dan kad kredit anda. Tempoh bayaran pula fleksibel, biasanya antara 3 hingga 36 bulan.
Konsepnya sangat mudah. Anda guna kad kredit untuk beli barang, kemudian bayar secara ansuran bulanan tanpa perlu risau tentang baki penuh bila bil sampai. Kalau tak guna EPP dan tak bayar penuh, anda mungkin dikenakan caj faedah tinggi antara 15% hingga 18% setahun.
EPP ni boleh dianggap macam pinjaman peribadi jangka pendek tanpa faedah. Malah, anda boleh simpan duit yang sepatutnya dibayar sekaligus ke dalam akaun simpanan dan dapatkan faedah daripada situ. Bijak, kan?
EPP boleh bantu anda jimat duit
Cuba bayangkan situasi ini. Darren nak beli laptop gaming baru berharga RM5,000. Agak mahal sebenarnya, tapi dia pemain mainan video tegar. Dia ada beberapa pilihan cara bayar:
Tunai atau Kad Debit
Kalau guna tunai atau kad debit, duit sebanyak RM5,000 akan terus ditolak dari akaun bank dia.
Kad Kredit
Kalau guna kad kredit biasa, dia tetap kena bayar RM5,000 secara penuh bila bil kad sampai hujung bulan.
EPP
Tetapi kalau guna EPP dengan 0% faedah selama 12 bulan, dia hanya perlu bayar RM416.67 sebulan.
Selebihnya? Dia boleh simpan duit tu dalam akaun simpanan yang bagi pulangan faedah sehingga 2% setahun. Malah kalau Darren pandai susun, dia boleh letak dalam simpanan tetap dan dapat lebih daripada 3% setahun. Wah, beli barang mahal tapi dapat jana duit lebih!
Tapi, anda kena ingat perkara ini
Sebelum anda terus guna EPP, pastikan anda faham syarat dan risikonya terlebih dahulu. Jangan terus tertarik dengan ayat “0% faedah” tanpa semak butiran kecil.
Pastikan ia benar-benar “0%”
Kadang-kadang, peniaga caj yuran tambahan (biasanya antara 3% – 4%) walaupun kononnya ia pelan 0% faedah. Contohnya, caj 4% untuk komputer riba RM5,000 sama dengan RM200 dan ini menjadikan EPP anda tak lagi ‘percuma’. Jadi sebelum bayar, tanya dulu jika ada caj yang tersembunyi.
Terlepas atau terlewat bayar
Kalau anda terlepas tarikh bayar ansuran bulanan, bank boleh batalkan 0% tersebut dan terus kenakan caj faedah seperti kad kredit biasa.
Jadi, walaupun EPP nampak mudah, anda masih kena pastikan bayaran dibuat tepat pada masa setiap bulan.
Syarat Minimum Perbelanjaan
Bank biasanya tetapkan jumlah minimum untuk layak guna EPP. Contohnya, Citibank perlukan anda berbelanja sekurang-kurangnya RM500 untuk aktifkan Flexi Payment Plan, manakala UOB letakkan perbelanjaan minimum RM1,000. Kalau anda tak capai minimum tersebut, EPP tak aktif dan anda akan kena bayar penuh apabila bil sampai.
Beli di kedai yang sertai pelan EPP
Bukan semua kedai terima EPP. Jadi, sebelum swipe atau tap kad kredit anda, cari tanda “0% Easy Payment Plan” di kaunter. Atau lebih mudah, semak senarai peniaga yang ambil bahagian di laman web bank anda.
Kalau kedai tu tak tersenarai, jangan risau. Ada alternatif lain!
Contohnya, Maybank tawarkan Ezy Cash Plan dimana satu lagi bentuk pinjaman jangka pendek macam EPP. Anda boleh pinjam duit untuk buat pembelian dan bayar balik dalam 6 bulan dengan faedah 0%. Tapi ada bayaran awal iaitu caj pemprosesan 3.88% yang dikenakan sekali sahaja.
